Siapa Ibu Mithali?


06/02/2006

Terselit juga rasa cemburu bila membaca tentang anugerah ibu mihtali yang dipaparkan di dada-dada akhbar. Rasa-rasanya seluruh negara mengkagumi ibu-ibu tersebut yang merupakan ibu-ibu pilihan dari kalangan berpuluh ribu ibu-ibu yang ada di Malaysia. Syabas diucapkan kepada mereka yang dikurniakan anugerah ini. Moga-moga tidak sia-sia segala pengorbanan dan penat lelah mereka dalam membesarkan anak-anak mereka sehingga dewasa.

Antara ibu yang pernah dianugerahkan gelaran ibu mithali di Malaysia ialah:

i.Hajah Enjah Mohd Ariff. Dia merupakan ibu mithali Malaysia yang pertama. Dia dipilih menjadi ibu mithali kerana dapat membesarkan anaknya sehingga menjadi orang yang berjaya walaupun ketiadaan suaminya. Suaminya meninggal dunia sewaktu anak-anak masih kecil. Ketabahannya menempuh hidup susah sehingga dia terpaksa menjual nasi lemak untuk menyekolahkan anak-anaknya menjadi cirri utama dia dipilih menjadi ibu mithali. Dia juga dipuji kerana masih mahu masuk sekolah dewasa setelah berusia 91 tahun. Dia gigih hendak mengatasi masalah buta huruf.

ii.Hajah Ayot atau Rokayah Rajak dari Semariang Sarawak. Dia mempunyai 16 orang anak yang kesemuanya berjaya dibesarkan sehingga menjawat jawatan yang baik. Dia dipuji kerana tabah menempuh hidup yang susah untuk membesarkan dan memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya.

Tidak dinafikan, bukannya mudah untuk membesarkan anak-anak yang ramai sehingga kesemua mereka memegang jawatan yang baik, seperti peguam, doktor dan sebagainya.
Tetapi yang lebih mengkagumkan lagi ialah tokoh-tokoh ibu mithali yang termaktub dalam lembaran sejarah kegemilangan Islam. Antara tokoh-tokoh ibu mithali tercatat dalam sejarah Islam ialah:

1) Ibu Imam Syafie.

2) Ibu yang menangisi kerana tidak ada anak lelaki lagi yang dapat dikorbankan utk jihad fisabilillah.

Sekali baca sahaja, kita boleh lihat keluarbiasaan yang ada pada diri mereka. Mereka terpilih untuk menghiasai lembaran sejarah Islam kerana memiliki kekentalan jiwa dan cita-cita yang sungguh tinggi dan mulia. Mereka langsung tidak menampakkan apa-apa kepentingan peribadi dalam mendidik anak-anak mereka. Malah mereka rela terkorban dan hidup susah asalkan anak mereka dapat menyumbangkan sesuatu yang besar untuk agama tercinta. Besarnya jiwa mereka, maka layaklah mereka menjadi tokoh ibu mithali yang sebenarnya.

Adakah ibu yang boleh melakukan sedemikian rupa di waktu ini? Iaitu ibu yang sanggup melihat diri dan anaknya sendiri terkorban demi mengagungkan Tuhan dan agama-Nya yang mulia? Rupa-rupanya berjaya mendidik anak agar terjamin masa depan kita dan anak-anak kita masih terlalu jauh dari melayakkan seseorang mendapatkan gelaran ibu mithali menurut kacamata agama. Kerana inilah, sejarah Islam tidak merakamkan tentang ibu yang berjaya mendidik anaknya menjadi orang yang berpangkat, berharta dan kaya raya sebagai tokoh ibu mithalinya.

Tuhan tidak memandang kepada rupa lahir dan harta kekayaan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Allah tidak memandang rupa lahir kamu tetapi Allah memandang amalan dan hati kamu.

Dalam Islam, berjayanya seorang ibu ialah bilamana dia berjaya mendidik anaknya menjadi sebaik-baik hamba Tuhan, yang beramal dengan sebaik-baik amalan dan berjuang untuk menegakkan agama-Nya. Kalaupun anaknya itu tidak berharta, tetapi ibu itu tetap dianggap berjaya kalau dia berjaya mendidik anaknya menjadi hamba Allah yang taat setia dan sanggup berkorban apa sahaja untuk Tuhannya . Apalah ertinya menjadi doktor atau peguam tetapi derhaka kepada Tuhan? Apalah ertinya menjadi hartawan yang kaya raya tetapi masih sanggup melihat orang lain hidup susah dan menderita?

Ibu mithali dalam Islam sebenarnya tidak akan rugi apa-apa sekiranya anak-anaknya itu tidak dapat membalas jasanya di usia tua. Mendidik anak sehingga menjadi hamba Tuhan yang sebaik-baiknya pastinya akan memberikan ganjaran yang tiada tandingnya di Akhirat nanti. Inilah ibu mithali yang perlu kita contohi, iaitu ibu yang lebih melihat kepentingan Tuhan dan agama-Nya serta kehidupan di Akhirat yang kekal abadi.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer