Seorang Hamba Ialah Penghibur


27/06/2006

Kita sebenarnya tidak begitu mesra dengan Islam. Lebih tepat dikatakan kita tidak mesra dengan Tuhan. Maksud tidak mesra ialah setiap hari masa kita banyak terbuang. Kita sangat menjaga sembahyang dan puasa tetapi tidak menjaga hidup yang diluar ibadah tersebut. Mengapa? Selepas sembahyang dan puasa, masa begitu panjang. Masa itulah yang kadang-kadang kita persiakan. Kalaupun kita dapat buat kebaikan di masa itu, kadang-kadang kebaikan itu berlaku secara kebetulan sahaja, secara tidak diniat, tidak dirancang dan tidak diduga. Itupun kalau kita mahu buat.

Sesetengah orang tidak mahu melakukan kebaikan sekalipun ada peluang. Bagi orang yang mahu berbuat, kebaikan itu dibuatnya tanpa dirancang pun. Contohnya selepas sembahyang subuh, kita pun keluar. Mungkin bagi sesetengah orang, petang atau malam baru balik. Kalaupun dia boleh buat baik sepanjang masa selepas sembahyang, itu hanya kerana terserempak. Maksudnya waktu berjalan, terserempak dengan orang susah, kita pun beri bantuan. Kita memberi kerana dia minta. Memang dapat pahala tetapi kebaikan itu tidak dirancang.

Sedangkan orang yang begitu mesra dengan Tuhan, bangun tidur sahaja, dia sudah niat untuk membuat bermacam-macam kebaikan dari bangun tidur hingga tidur semula pada malam nanti. Semoga Tuhan akan memberi dia peluang untuk membuat kebaikan-kebaikan itu. Dia mencari-cari pasal untuk buat kebaikan. Ertinya kebaikan itu dirancangnya. Dari bangun tidur dia sudah fikir apa lagi kebaikan yang Tuhan suka, yang dia hendak buat. Orang soleh dahulu, terutama yang tidak ada tugas khusus, dia keluar rumah, mencari-cari kebaikan apa yang dilakukan. Contohnya dalam berjalan-jalan, dia terjumpa sebuah rumah yang tangganya hendak patah, dia akan betulkan. Nampak pula atap rumah orang bocor, dia meminta izin untuk dibaiki. Kalau pergi ke masjid yang kotor, dia bersihkan. Dia memang sudah rancang dan niat hendak buat sebanyak mungkin kebaikan. Bila berjalan lagi, terjumpa orang sedang menanam pokok. Dia meminta izin untuk tolong merumput atau membubuh baja. Di tempat makan pula, dia belanja orang makan. Begitulah orang soleh dahulu. Sengaja mencari pasal untuk melakukan kebaikan sebanyak mungkin. Itulah orang yang mesra dengan Tuhan. Kebaikan itu sudah mendarah daging. Bukan macam kita yang hanya buat baik waktu terserempak. Jauh bezanya budaya hidup salafusoleh dengan kehidupan kita.

Kita hendak berkhidmat sesuai dengan tujuan Tuhan utuskan manusia ke dunia ini iaitu sebagai hamba. Selain beribadah untuk Tuhan, kita perlu berkhidmat dengan manusia. Tamsilannya seperti hamba-hamba yang baik bekerja di istana Raja. Raja itu mereka hormat dan muliakan. Tentu berbeza layanan hamba kepada raja dan terhadap rakyatnya. Dengan raja, dia hormat dan besarkan. Dengan rakyat, dia melayan dengan baik. Para hamba ini sentiasa hendak menghiburkan para tetamu atau rakyat yang datang ke istana raja kerana itu yang raja suka. Jadi di sini baru kita faham, hamba raja membesarkan raja, di sudut lain menghiburkan rakyat.

Tuhan utus kita sebagai hamba. Kalau begitu Tuhan itu perlu dibesarkan kerana Dia maha besar. Tuhan perlu diagungkan kerana Dia maha agung. Hendaklah Tuhan disucikan kerana Tuhan memang maha suci dari segala ciptaan-Nya. Itulah cara kita melayan Tuhan. Tetapi Tuhan tidak mahu kita melayan hamba-hamba-Nya sama seperti cara kita melayan-Nya. Itu akan menjadi syirik samada syirik kahfi atau syirik jali.

Dengan hamba-hamba Tuhan, kita perlu hiburkan. Macamana kalau hamba di istana Raja itu hanya menghiburkan rakyat waktu terserempak? Hamba mesti jadi penghibur bukan kerana disuruh atau terserempak. Lepas satu, satu kerja dibuatnya. Begitulah sifat hamba yang duduk di istana raja. Begitulah kita duduk di bumi Tuhan. Kita mesti membesarkan Tuhan dan Tuhan mahu kita menghiburkan orang lain.

Menjadi hamba itu ertinya menjadi penghibur. Jadi perlu dicari-cari jalan untuk menghiburkan orang. Hiburan itu bukan nasyid sahaja. Kalau bawa kereta di jalan raya, berilah laluan pada orang sekalipun itu jalan kita. Orang yang bersalah dengan kita, cepat kita maafkan. Itu lebih mahal dari memberi makan. Sebab orang yang bersalah itu takut kalau kita berdendam. Kalau kita maafkan, bukankah itu hiburan untuknya? Kalau kita belanja satu dua orang setakat yang kita mampu, tentu terhibur orang. Jumpa orang susah, beri seringgit seorang pun, mereka akan terhibur. Kalau kita bersalah, kita pergi minta maaf, itu akan menghiburkan orang yang kita bersalah terhadapnya.

Kadang-kadang kita salah faham tentang istilah hamba Tuhan. Kalau kita faham apa hamba raja buat, kita kiaskan sahaja. Hari ini kita baca ayat Quran, Tidak Aku jadikan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku tetapi kita tidak faham peranan hamba. Sebab itu bila dikatakan hamba, peranannya terbahagi dua iaitu habluminallah dan habluminnas. Yang habluminnallah kita faham tetapi habluminnas, kita samar-samar.

Sepatutnya sesama makhluk, kita jadi penghibur. Itulah peranan hamba. Tetapi adakah kita sudah menjadi penghibur? Kebanyakan kita menyusahkan orang. Kita cacatkan hati orang lain, orang cacatkan kita. Kita sakitkan hati orang dan orang sakitkan hati kita. Kita menganggu perasaan orang dan sebaliknya. Beginilah dunia hari ini. Manusia tidak berperanan sebagai penghibur. Sehingga di sesetengah tempat itu, kita hendak bergaul tidak kena, tidak bergaul pun tidak kena juga. Tidak mungkin kita hendak hidup seorang diri. Bila bergaul, semuanya menyusahkan kita.

Sesetengah orang sombong, ada yang tidak pedulikan orang. Sampai kita hendak berjumpa manusia pun takut. Orang mahu berjumpa pun takut. Sedangkan memang tidak ada orang yang boleh hidup seorang diri kerana banyak keperluan hidup disiapkan oleh orang lain. Manalah seseorang itu mampu untuk menjadi petani, kemudian menjadi nelayan pula. Sebenarnya kita sentiasa memerlukan orang dan orang lain memerlukan kita. Tetapi apa yang berlaku, dalam kita mahu keperluan dipenuhi, banyak hati yang sakit hingga sakit jiwa dibuatnya. Orang tidak hiburkan kita dan begitu juga sebaliknya.

Nampaknya peranan manusia sebagai hamba itu telah ditukar. Cuba lihat bagaimana Rasulullah menghibur orang. Dia menghiburkan orang yang memusuhinya. Sangat mencuit perasaan. Rasulullah itu bapa penghibur. Di kalangan hamba-hamba Tuhan, dia menjadi ketua hamba. Jadi dia bapa penghibur hingga musuh sendiri dihiburkan. Kita sudah tukar peranan daripada menjadi penghibur, kita menyusahkan orang. Tafsiran ayat tentang peranan sebagai hamba sudah tidak tepat.

Jadi mulai sekarang, kita perlu fikirkan bagaimana untuk jadi penghibur. Samada orang hendak hiburkan kita atau tidak, itu tanggungjawab mereka. Kalau mereka tidak tunaikan tanggungjawab mereka, itu hal mereka. Tetapi kalau kita tidak hiburkan orang, itu satu kesalahan. Ini adalah sebuah tajuk yang ringan dan mudah difahami tetapi payah untuk dilaksanakan.

Hakikat manusia sebagai hamba itu cukup jelas di sini. Kita sudah dilatih dengan sekularisma sehingga kita dibentuk menjadi tuan di bumi ini, bukan menjadi hamba. Perasaan kita adalah perasaan tuan. Apakah kita mampu menukar watak dan sikap kita sehingga kita mampu menjadi hamba yang menghiburkan?

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer