Semua Manusia Perlukan Kasih Sayang(3)

Kuliah Umum


03/03/2006


7. Mengenang budi dan jasa
Orang yang memiliki sifat kasih sayang sanggup membalas kejahatan dengan kebaikan. Orang yang memusuhinya didoakan agar diberi petunjuk dan pimpinan Tuhan. Betapalah terhadap orang yang berbudi dan berjasa, tentu lebih-lebih lagi dikenangnya hingga akhir hayat. Siapa sebenarnya yang berbudi dan berjasa kepada kita? Terdapat dua kelompok iaitu yang secara langsung, diketahui dan disedari dan dapat dirasai yang mereka itu berbudi dan berjasa kepada diri kita. Antaranya ialah ibu dan ayah, guru-guru, pemimpin, pemandu, tukang rumah, pembantu rumah, tukang kebun. Satu kelompok lagi yang tidak terkira ramainya dan berlaku tanpa disedari, tidak secara langsung dan kadang-kadang tidak dapat dirasai jasa mereka. Jasa mereka tidak ketara. Antaranya ialah petani, nelayan, buruh pengangkat sampah, elektrik dan air yang tersalur ke rumah, pakaian, kenderaan, kemudahan infrastruktur dan sebagainya. Lantaran itulah maka amat wajar memberi kasih sayang kepada semua orang kerana mungkin mereka semua terlibat berjasa kepada kita secara tidak langsung.

Buah daripada sifat kasih sayang ini maka lahirlah masyarakat yang sangat memiliki rasa bersama dan bekerjasama, bertolong bantu, berlapang dada dan bertolak ansur antara satu sama lain, tidak menyinggung perasaan orang lain atau tidak mengguris hati. Tidak mudah `merempuh` sebarangan terhadap perbezaan pendapat. Tawadhuk, tidak ego, tidak sombong dan tidak mementingkan diri, kerana merasakan bahawa tiada siapa dapat hidup sendirian melainkan sandar menyandar, saling memerlukan, saling berbudi dan berjasa.

Untuk dapat memiliki ciri-ciri kasih sayang, setiap anggota masyarakat perlulah berusaha bersungguh-sungguh melakukan sekurang-kurangnya tiga perkara:

1. Mencintai Tuhan
Apabila mencintai Tuhan, otomatik kasih sayang akan terjadi. Orang yang mencintai Tuhan termasuk mencintai setiap ciptaan Tuhan terutamanya manusia. Sedangkan haiwan, tumbuhan dan benda-benda lain seperti rumah, kereta, harta benda pun manusia sayangi, betapalah manusia yang memang memiliki perasaan. Selain itu, apabila mencintai Tuhan, sebagai respon daripada-Nya atau sebagai balasan daripada-Nya, maka Tuhan pertautkan hati-hati dengan perasaan saling berkasih sayang.

2. Korbankan Perasaan
Maksud mengorbankan perasaan ialah apa sahaja sifat-sifat keji atau mazmumah atau sikap negatif hendaklah ditahan, dipendam atau ditelan. Biarpun sedikit menderita, sakit dan terseksa perasaan kerana membendung perasaan, namun terpaksa dipendam untuk mengelak daripada terkena kepada orang lain. Sifat-sifat mazmumah itu ibarat racun yang merosakkan masyarakat. Sekiranya semua anggota masyarakat mampu menelan kepahitan ini, harmonilah kehidupan keluarga dan masyarakat.

Manakala semua sifat-sifat mahmudah, sifat-sifat terpuji atau positif hendaklah dilepaskan. Ertinya yang terzahir atau yang terlihat pada peribadi ialah tabiat, sikap, akhlak yang baik-baik sahaja. Andainya sanggup korbankan perasaan sendiri, nescaya akan berlakulah saling berkasih sayang sesama anggota masyarakat.

3. Role Model Pemimpin Kasih Sayang
Mesti ada role model terutamanya pemimpin. Siapakah itu pemimpin? Iaitu sesiapa yang status sosialnya paling atas. Umpamanya ayah dalam keluarga, guru-guru di sekolah, penghulu di peringkat mukim, wakil rakyat di peringkat kawasan pilihan raya, menteri besar di peringkat negeri dan seterusnya. Sama jugalah pemimpin dalam jemaah, persatuan, syarikat dan sebagainya.

Pemimpin mesti menjadi role model dalam kasih sayang. Antara pemimpin dengan pengikut umpama kayu dengan bayangannya. Apabila bayang kayu itu bengkok, sudah pasti kayunya bengkok. Oleh itu untuk melahirkan masyarakat berkasih sayang, mesti ada dalam masyarakat itu pemimpin yang memiliki ciri-ciri kasih sayang dan sekaligus mendidik, mengajar, membimbing para pengikutnya dengan kasih sayang. Perbandingarmya, kalau pemimpin hendak memberi duit, dia kenalah ada duit. Mustahil pemimpin yang tiada ciri-ciri kasih sayang hendak memberi sesuatu yang tiada pada dirinya, sebaliknya mengharapkan wujudnya pengikut yang berkasih sayang.

Persoalan kasih sayang adalah faktor yang amat penting ntuk mewujudkan masyarakat harmoni, termasuklah dalam kehidupan keluarga dan rumah tangga. Dalam bab ini persoalan kasih sayang dihurai secara umum, tidak difokuskan - cara khusus kepada keluarga. Sebenarnya rumahtangga atau keluarga itu merupakan institusi masyarakat yang paling kecil. Mengambil panduan ini dan dipraktikkan dalam masyarakat yang kecil, maka akan lebih mudah pula apabila hendak dibawa ke dalam masyarakat yang lebih besar. Kalau ciri-ciri rumah tangga kasih sayang tidak ada, maka akan lebih sukar ntuk dipraktikkan dalam masyarakat yang lebih besar. Dan panduan yang sama juga boleh dibawa ke peringkat negara dan seterusnya ke peringkat ummah.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer