Sayyidina Ali Bin Abi Talib(4)


09/05/2006

Demikian sebahagian rentetan perjuangan Sayyidina Ali yang turut terjun ke medan peperangan bersama Rasulullah SAW. Sayyidina Ali terkenal sebagai seorang yang sangat pemurah. Sewaktu hidupnya, beliau yang miskin, sangat suka membantu janda-janda dan anak-anak yatim tanpa pengetahuan mereka. Beliau selalu meletakkan makannan di pintu-pintu rumah mereka di waktu malam.

Setelah beliau meninggal, barulah mereka tahu bahawa selama ini mereka mendapat makanan dari Sayyidina Ali kerana setelah beliau tiada maka mereka tidak lagi mendapat makanan di pintu rumah mereka.

Sayyidina Ali adalah seorang Sahabat Rasulullah SAW yang sangat cerdik dan luas ilmunya. Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa Sayyidina Ali adalah gudang ilmu. Setelah kewafatan Khalifah ketiga yakni Khalifah Uthman Ibnu Affan maka Sayyidina Ali dilantik sebagai Khalifah yang keempat.

Kata Sayyidina Ali: Allah SWT mengetahui betapa aku tidak suka memimpin pemerintahan atau memegang kekuasaan di kalangan umat Nabi Muhammad SAW sebab aku mendengar sendiri baginda bersabda, " Tidak ada seorang penguasa pun yang memerintah umatku, yang kelak tidak akan dihadapkan kepada rakyatnya, untuk diperlihatkan catatan-catatan perbuatanya. Jika dia seorang yang adil, maka selamatlah. Tapi jika dia seorang yang berlaku zalim, akan tergelincirlah ke dalam Neraka.

Allah SWT mentakdirkan Sayyidina Ali meninggal dunia pada 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah. Ketika beliau sedang berjalan menuju ke masjid untuk sembahyang Subuh, tiba-tiba muncul Abdul Rahman bin Muljam dengan pedang terhunus. Pedang itu telah mencederakan Sayyidina Ali dengan parah hingga beliau rebah.

Sayyidina Ali kemudiannya telah diusung pulang ke rumahnya oleh Sahabat. Ketika itu ramai yang ingin membalas dendam tetapi Sayyidina Ali sendiri dengan lapang dada dan ikhlas langsung tidak menyebut tentang balas dendam. Umat Islam merasa sedih melihat keadaan sayyidina Ali yang semakin lemah.

Sayyidina Ali tahu bahawa sudah hampir masanya untuk beliau menyusuli Rasulullah SAW dan tiga orang Khalifah baginda sebelum ini. Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu, Sayyidina Ali sempat berwasiat: Ku wasiatkan kepada kalian supaya tetap bertaqwa kepada Allah. Janganlah kalian mengejar-ngejar dunia walau dunia mengejar kalian dan janganlah menyesal jika ada sebahagian dunia itu terlepas darimu. Hendaklah kalian mengatur baik-baik urusan kalian dan jagalah hubungan persaudaraan antara kalian. Ketahuilah, pertengkaran itu merosakkan agama dan ingatlah bahawa tidak ada kekuatan apa pun selain atas perkenan Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. Perhatikan Al Quran, jangan sampai kalian mendahulukan orang lain dalam mengamalkannya. Perhatikan tetangga kalian sebab mereka adalah wasiat Nabi kalian.

Sekian.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer