Sayyidina Ali Bin Abi Talib(1)


06/05/2006

Sayyidina Ali dilahirkan pada hari Jumaat 13 haribulan Rejab, 12 tahun sebelum Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya. Ibunya, Fatimah, telah melahirkan Sayyidina Ali di Kaabah. Ketika itu, Fatimah dan suaminya Abu Talib sedang melakukan tawaf di keliling Kaabah. Fatimah yang sarat mengandung, tiba-tiba terasa sakit hendak bersalin. Abu Talib menyangka, Fatimah hanya keletihan maka dia membawa Fatimah berehat di dalam Kaabah sebelum meneruskan tawafnya. Di waktu itulah lahirnya Sayyidina Ali yang sangat besar jasanya sebagai Sahabat dan menantu Rasulullah, juga Amirul Mukminin bagi umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Kelahiran Sayyidina Ali hanya disaksikan oleh ayah dan ibunya sahaja.

Ketika umur Sayyidina Ali 6 tahun, Mekah sedang dilanda keadaan yang sukar. Orang-orang yang ramai anak, pasti terasa peritnya hendak memberi makan keluarganya. Di waktu itu Rasulullah SAW teringat jasa pak ciknya Abu Talib yang pernah menjaga baginda sewaktu kecil. Kini pak ciknya telah tua sedangkan anak-anaknya ramai. Maka sebagai membalas jasa pak ciknya itu, Rasulullah yang tika itu telah berkahwin dengan Siti Khadijah, telah mengambil Sayyidina Ali tinggal bersamanya.

Sejak itu Sayyidina Ali diasuh oleh baginda sendiri. Betapa besarnya kasih sayang yang dicurahkan oleh Rasulullah kepada Sayyidina Ali lantaran baginda sendiri telah kematian anak-anak lelakinya. Berada bersama keluarga Rasulullah SAW telah memberi kesan yang sangat besar kepada pertumbuhan roh Sayyidina Ali.

Beliau menyaksikan dan mengikuti perkembangan jiwa dan fikiran Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri yang menjadi penghubung antara Sayyidina Ali dan Allah SWT. Di samping perjuangannya di bidang akidah, ilmu dan pemikiran, Sayyidina Ali kwj juga terkenal sebagai seorang pemuda yang memiliki kesanggupan berkorban yang luar biasa besarnya. Ia mempunyai susunan jasmani yang sempurna dan tenaga yang sangat kuat. Sudah tentu, itu saja belum menjadi jaminan bagi seseorang untuk siap mempertaruhkan nyawanya membela kebenaran Allah dan Rasul-Nya.

Imannya yang teguh laksana gunung dan kesetiaannya serta kecintaanya yang penuh kepada Allah dan Rasul-Nya, itulah yang menjadi pendorong utama. Sayyidina Ali kwj tidak pernah menghitung-hitung risiko dalam perjuangan suci menegakkan Islam. Dengan jasmani yang tegap dan kuat, serta iman yang kukuh dan mantap, Sayyidina Ali kwj benar-benar memenuhi syarat-syarat fizikal dan rohaniah untuk menghadapi tahap-tahap perjuangan yang serba berat.

Di saat-saat Islam dan kaum muslimin berada dalam situasi yang kritis dan gawat, Sayyidina Ali kwj selalu tampil memainkan peranan penting. Selama hidup, beliau tidak pernah mengalami hidup selesa. Sejak muda remaja sampai akhir hayatnya, dia keluar masuk dari satu kesulitan kepada satu kesulitan lain. Dari satu pengorbanan kepada satu pengorbanan yang lain pula.

Namun demikian, beliau tidak pernah menyesali nasib, bahkan dengan semangat pengabdian yang tinggi kepada Allah dan Rasul-Nya, beliau sentiasa siap siaga menghadapi segala rintangan. Satu-satunya perkara yang menjadi keinginannya siang dan malam, hanyalah ingin memperoleh keredhaan Allah dan Rasul-Nya.

Kesenangan hidup duniawi baginya tidak penting dibandingkan dengan cinta dan redha dari Allah dan Rasul-Nya yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berani hidup di atas jalan kebenaran. Berkali-kali imannya yang teguh diuji oleh Rasulullah SAW. Setiap kali diuji, setiap kali itu juga Sayyidina Ali lulus dengan meraih markah yang amat tinggi.

Ujian pertama yang maha berat ialah yang terjadi pada ketika Rasulullah SAW menerima perintah Allah SWT supaya berhijrah ke Madinah. Seperti diketahui, di satu malam yang gelap-gelita, komplot kafir Quraisy mengepung kediaman Rasulullah SAW dengan tujuan hendak membunuh baginda, bilamana baginda meninggalkan rumah.

Dalam peristiwa ini, Sayyidina Ali kwj memainkan peranan besar. Belaiu diminta oleh Rasulullah SAW supaya tidur di atas katil baginda dan menutup tubuhnya dengan selimut baginda untuk mengaburi mata orang-orang Quraisy. Tanpa tawar-menawar, Sayyidina Ali kwj menyanggupinya. Ia menangis bukan mencemaskan nyawanya sendiri, tetapi kerana bimbangkan keselamatan Rasulullah SAW yang saat itu berkemas-kemas hendak berhijrah meninggalkan kampung halaman.

Melihat Sayyidina Ali menangis, maka Rasulullah bertanya, Mengapa engkau menangis?
Apakah engkau takut mati?
Sayyidina Ali r.a dengan tegas menjawab, Tidak, ya Rasulullah! Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran, aku sangat khuatir terhadap dirimu. Apakah anda akan selamat, ya Rasulullah?
Ya, jawab Nabi Muhammad SAW dengan tidak ragu-ragu. Mendengar kata-kata yang pasti dari Rasulullah SAW., Sayyidina Ali kwj terus berkata, Baiklah, aku patuh dan kutaati perintahmu. Aku rela menebus keselamatan anda dengan nyawaku, ya Rasulullah!

Sayyidina Ali r.a segera menghampiri katil Rasulullah SAW kemudian menggunakan selimut baginda untuk menutupi tubuhnya. Ketika itu orang-orang kafir Quraisy sudah mula berdatangan di sekitar rumah Rasulullah SAW dan mengepungnya dari setiap penjuru.

Dengan perlindungan Allah SWT dan sambil membaca ayat 9 surah Yasin, baginda keluar tanpa diketahui oleh orang-orang yang sedang mengepung dan mengintip. Orang-orang Quraisy itu menyangka, bahawa orang yang sedang berbaring dan berselimut itu pasti Nabi Muhammad SAW. Mereka yang mengepung itu mewakili suku-suku kabilah Quraisy yang telah bersepakat hendak membunuh Nabi Muhammad SAW dengan pedang secara serentak. Dengan cara demikian, tidak mungkin Bani Hasyim dapat menuntut balas.

Sayyidina Ali kwjtahu apa kemungkinan yang akan menimpa dirinya yang tidur di katil Rasulullah SAW. Hal itu sama sekali tidak membuatnya sedih atau takut. Dengan kesabaran yang luar biasa beliau berserah diri kepada Allah SWT. Beliau yakin, bahawalah Dialah yang menentukan segala-galanya.

Menjelang subuh, Sayyidina Ali kwjbangun. Gerombolan Quraisy terus menyerbu masuk ke dalam rumah. Dengan suara membentak mereka bertanya, Mana Muhammad? Mana Muhammad?

Aku tak tahu di mana Muhammad berada! jawab Sayyidina Ali kwj dengan tenang.
Gerombolan Quraisy itu segera mencari-cari di seluruh rumah itu. Usaha mereka sia-sia belaka. Puak-puak kafir Quraisy itu benar-benar kecewa. Mana Muhammad? Mana Muhammad? mereka mengulangi pertanyaan.
Apakah kamu semua melantik aku menjadi penjaganya? ujar Sayyidina Ali kwj dengan nada memperolok-olok.
Bukankah kamu semua berniat mengeluarkannya dari negeri ini? Sekarang dia sudah keluar meninggalkan kamu semua!

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer