Sayidina Talhah


12/06/2006

Buktikan Cintanya Kepada Rasulullah SAW
Saidina Talhah bin Ubaidullah adalah salah seorang dari 10 Sahabat Rasulullah S.A.W. yang dijamin Syurga. Di awal keislamannya, dia mendapat tentangan hebat bukan sahaja dari masyarakat musyrik, bahkan juga dari ibu kandungnya sendiri. lbunya berharap agar Saidina Talhah akan menjadi pemimpin kepada kaumnya kerana dia memiliki peribadi yang mulia dan bakat kepimpinan yang tinggi. Dia pernah diseksa kerana memeluk Islam tetapi dia menghadapi seksaan itu dengan penuh kesabaran tanpa sedikit pun menjejaskan imannya. Sebaliknya pedih seksaan yang menimpanya itu menyuburkan lagi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sewaktu peperangan Uhud, Sayidina Talhah telah menerima gelaran "syahid yang hidup" daripada Rasulullah S.A.W. Dalam peperangan itu, barisan tentera Muslimin telah kucar-kacir kerana tentera pemanah mengingkari perintah Nabi Muhammad S.A.W. agar tidak meninggalkan tempat mereka. Di waktu suasananya sungguh gawat, baginda Rasulullah S.A.W. sendiri berada di dalam keadaan bahaya. Kira-kira duabelas orang tentera Islam berada berdekatan baginda untuk menjaga keselamatan utusan Allah itu. Di antaranya ialah Sayidina Talhah sendiri.

Beberapa orang tentera musuh telah berusaha untuk membunuh baginda Rasulullah kerana mereka tahu jika baginda meninggal tentulah Islam tidak akan berkembang lagi. Tentera-tentera Islam telah berusaha bermatian-matian mempertahankan baginda. Dengan penuh berani mereka menghadapi pihak musuh sehingga akhirnya seorang demi seorang tentera Islam yang mengeliling Rasulullah itu menemui syahid.

Akhirnya yang tinggal hanyalah Sayidina Talhah. Sebagai bukti cintanya kepada RasulullahS.A.W. beliau telah bersungguh-sungguh mempertahankan baginda dari pihak musuh. Lemparan lembing musuh yang bertubi-tubi telah ditangkis oleh Saydina Talhah menggunakan tangan dan badannya. Beberapa batang jarinya putus.

Pada ketika itu juga gigi manis Rasulullah S.A.W. telah patah, dahi dan bibirnya luka terkena tetakan. Darah berhamburan di wajah baginda. Melihatkan keadaan yang amat menyedihkan itu, Sayidina Talhah dengan penuh semangat menyerbu musuh-musuh Islam dan menolak mereka jauh dari Rasulullah. Beliau menaikkan baginda ke atas sebuah batu dengan menjadikan bahunya sebagai anak tangga. Setelah itu beliau meneruskan perjuangannya menentang tentera-tentera musyrikin sehingga mendapat luka parah. Di badannya terdapat tusukan pedang, tombak dan anak panah. Kakinya telah terpotong dan beliau jatuh ke dalam sebuah lubang, terbaring tidak sedarkan diri. Ketika Sayidina Abu Bakar dan Saidina Abu Ubaidah mendekati Nabi S.A.W, baginda meminta mereka membantu Sayidina Talhah yang sedang pengsan.

Begitulah pengorbanan Sayidina Talhah bin Ubaidullah terhadap Allah dan Rasul-Nya. Meskipun mengalami kecederaan yang teruk namun hatinya puas dan bersyukur kerana Rasul yang dicintainya terselamat dari dibunuh oleh pihak kafir.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer