Sayangi Keluarga Anda(7)

Kuliah Perjuangan


16/02/2006

Kes 6 : Setuju Bermadu (bhgn 1)
Pak Agus, 35 tahun, berasal dari Surabaya, Indonesia. Usia rumah tangganya sudah menjangkau usia 10 tahun. Seorang ahli perniagaan lulusan Jerman. Sangat ingin memiliki lagi seorang isteri. Pertemuan berlangsung di Hotel Equatorial Bangi, Selangor. Isteri Pak Agus turut serta dalam pertemuan tersebut. Isteri Pak Agus, Ibu Marlina, tidak menentang suaminya untuk berpoligami, bahkan menerimanya secara positif. Namun ibu Marlina inginkan penjelasan dalam beberapa aspek terutamanya tujuan berpoligami, kasih sayang dan keadilan.

Sebelum Pak Agus dan Ibu Marlina diberikan penjelasan terhadap tiga aspek yang menjadi kemusykilan selama ini, mereka terlebih dahulu di bawa melihat senario umat Islam masa kini. Umat Islam sudah jauh terpesong dari kefahaman tentang ajaran Islam yang sebenar. Bukan sahaja dalam soal poligami yang menjadi momokan masyarakat Islam, bahkan perkara-perkara asas, pokok dan terpenting dalam ajaran Islam pun sudah tidak difahami, jauh sekali daripada menghayatinya.

Contohnya dalam soal akidah pokok yang terkandung dalam Rukun Iman pun tidak lebih dari hanya menghafalnya tanpa difahami. Dalam soal percaya kepada Tuhan, rata-rata mempelajarinya melalui ilmu Tauhid, hanya setakat mengesahkan akidah sahaja, tidak lebih dari itu. Termasuk para ulama yang memperkatakan tentang Tuhan hanya di sudut mengesahkan akidah. Amat jarang, bahkan hampir tiada yang memperkatakan tentang Tuhan di sudut peranan dan kerjaNya. Jarang bahkan hampir tiada yang bercakap tentang rasa bertuhan, cinta dan takutkan Tuhan. Jarang, bahkan hampir tiada yang menghuraikan tentang Tuhan Maha Baik, Tuhan Pembela, Tuhan segala-galanya dalam hidup manusia. Tiada yang memahamkan manusia bahawa mendapat Tuhan ertinya mendapat segala-galanya, kehilangan Tuhan ertinya kehilangan segala-galanya. Tidak ada yang menjelaskan tentang janji Tuhan berserta dengan segala yang ada kaitan dengan janji Tuhan itu. Tidak ada yang mendorong manusia agar menjadikan Tuhan itu sebagai pemangkin sehingga melahirkan manusia yang berjiwa besar.

Sebenarnya kalau diperhalusi, di sudut akidah itu sendiri pun masih boleh dipertikaikan. Umpamanya kalau seseorang itu menghayati akidah, tidak adalah orang yang risau tentang rezeki, tiada yang takut untuk berjuang dan berkorban, tiada yang hatinya resah, kecewa dan putus asa, tiada yang takut untuk berlaku pemurah, tiada yang mempertikaikan perkara dan peristiwa yang sudah berlalu iaitu yang sudah menjadi takdir Tuhan.

Perkara utama lain, ambil satu contoh iaitu solat. Rata-rata orang yang solat tidak mengetahui mengapa Tuhan perintahkan mengerjakan solat. Yang melakukan solat hanya menyempurnakan gerakan lahir yang tidak beserta dengan hati atau rasa. Belum terbukti pula solat itu dapat membina peribadi agung, sehingga Tuhan jadikan manusia lain tunduk kepada peribadi-peribadi yang sangat dinaungi oleh Tuhan yang Maha Agung.

Memiliki rasa bertuhan hingga takut dan cinta kepada-Nya, rasa bertuhan itu disuburkan lagi melalui solat. Natijah yang boleh dilihat ialah umat Islam berkasih sayang, bersatu padu, memiliki rasa bersama dan bekerjasama, bertolak ansur, bersih dari dosa dan mazmumah, berakhlak mulia dan berdisiplindan berbagai-bagai lagi sifat positif. Selepas itu tanpa diasak-asak, tanpa berhabis masa, tenaga dan wang ringgit, umat Islam otomatik akan maju, membangun dan bertamadun. Inilah di antara senario umat Islam kini. Nanti akan lebih mudah memahami aspek-aspek yang berkaitan poligami.

Barat sudah begitu lama memburuk-burukkan poligami, sehingga sudah menjadi mind set di kalangan umat Islam sendiri bahawa poligami mesti dihapuskan. Alasannya poligami menzalimi wanita, isteri menjadi hamba seks, tidak ada jaminan suami berlaku adil, tidak cukup nafkah, berkrissi, bergaduh, anak madu adalah anak tiri dan berbagai-bagai lagi. Akhirnya poligami yang begitu mulia, bermanfaat dan bermaksud baik, ditolak oleh masyarakat Islam sendiri. Berbagai akta, undang-undang dan peraturan dikenakan bagi mereka yang ingin berpoligami. Syarat-syarat yang ketat itu sebenarnya bertujuan untuk menjadi batu penghalang kepada poligami. Umat Islam sendiri sudah hilang pertimbangan sehingga tidak berupaya menghujah kembali segala momokan Barat terhadap poligami. Sedangkan kalau berfikir secara sepintas lalu pun sudah boleh memberi hujah balas. Umpamanya, bukankah aneh dalam masyarakat Barat yang sangat anti poligami itu penuh dengan keruntuhan rumah tangga, seks bebas, bersekedudukan tanpa kahwin, pelacuran, perempuan simpanan, homoseks dan lesbian. Poligami ditentang habis-habisan, sebaliknya suami memiliki berpuluh-puluh perempuan simpanan dipersetujui. Kalaupun bukan atas dasar iman dan taqwa, fitrah semulajadi pun tidak boleh terima suami makan di luar.

Rumahtangga poligami berkrisis, satu isu yang sengaja dibesar-besarkan, diheboh-hebohkan supaya masyarakat memandang negatif dan menolak poligami. Persoalannya adakah rumahtangga monogami tidak berkrisis? Bolehkah alasan berkrisis itu untuk menolak poligami? Kalau begitu monogami juga kena tolak kerana rumahtangga monogami juga berkrisis.

Pak Agus dan Ibu Marlina sudah dapat menerima senario umat Islam kini. Mereka turut mengakui bahawa bukan sahaja aspek cabang speerti poligami yang sudah disalah ertikan oleh umat Islam, bahkan soal Tuhan yang pokok itu pun sudah terpinggir dan tidak dipedulikan. Ertinya sudah ramai umat Islam sendiri terputus dari Tuhan. Tuhan sudah tidak ada lagi ada kaitan dengan kehidupan. Tuhan sudah tidak dibawa ke mana-mana. Tuhan sudah tidak dibawa campur tangan dalam kehidupan.

Ulasan ringkas dari Pak Agus itu membantu memudahkan lagi mereka memahami poligami yang menjadi persoalan masyarakat termasuk mereka berdua.

Penjelasan selanjutnya difokuskan kepada poligami.

PERTAMA : Apabila manusia merasakan Tuhan itu segala-galanya, yang utama dan paling penting, Tuhan menjadi cita-cita dan matlamat hidup, menjadi pemangkin dalam segala aspek. Apabila manusia benar-benar ingin menjadikan Tuhan sebagi darah daging, dan hidup mati maka semua urusan kehidupan termasuk poligami adalah soal kecil dan remeh sahaja. Pengorbanan, risiko, beban dan cabaran dalam poligami itu kecil sahaja kalau dinisbahkan kepada pengorbanan nyawa. Sedangkan siapa sahaja yang cita-cita dan matlamatnya adalah Tuhan, nyawa pun dengan penuh rela dikorbankan.

Kesimpulannya ialah bukan sahaja soal poligami, apa jua masalah, risiko, beban dan cabaran dalam kehidupan masa kini puncanya ialah melupai Tuhan, tidak dikaitkan dengan Tuhan. Apabila Tuhan bukan cita-cita dan matlamat, maka jiwa menjadi lemah dan kerdil. Masalah, beban dan risiko yang sedikit dan kecil pun dirasakan banyak, besar dan berat. Orang yang berjiwa besar dan kuat, masalah yang besar dan berat pun dirasakan sedikit dan ringan. Bahkan adakalanya masalah itu tidak dirasainya sebagai masalah sebaliknya di situ ada peluang untuk mendapat keuntungan. Keuntungan yang bersifat rohaniah dan maknawiyah yang menambah taqwa.

KEDUA : Tujuan poligami ada yang berbentuk lahiriah dan ada yang berbentuk maknawiyah (abstrak). Pak Agus dan Ibu Marlina lebih berminat untuk mengetahui tujuan poligami yang berbentuk maknawiyah.

a. Gelanggang mujahadah
Untuk mendapatkan Tuhan atau sifat taqwa, seseorang itu perlu menyuburkan segala sifat mahmudah dan megikis sifat mazmumah. Untuk menyuburkan sifat mahmudah itu mesti melalui cabaran. Bila ada cabaran barulah wujud mujahadah.
Cabaran untuk mewujudkan mahmudah seperti tawakal, ikhlas, berkasih saying, qanaah, zuhud, tawadhuk dan lain-lain mesti menghadapi manusia, bukan kepada haiwan, tumbuhan atau benda mati.contohnya untuk berlaku sabar, pemurah, berkasih saying, tawadhuk, bukan kepada kucing, tiang, dinding, lantai, tikar, pokok balak, pinggan mangkuk dan sebaginya. Begitu juga dalam usaha menghilangkan mazmumah seperti ego, riyak, hasad dengki, bukan melalui mujahadah kepada haiwan, tumbuhan dan benda-benda mati lainnya. Ianya mesti kepada manusia.

Mujahadah juga perlu berterusan hingga akhir hayat. Di sini jelas bahawa mujahadah kepada manusia yang berterusan ialah melalui madu sendiri. Apa situasipun bersama madusemuanya samada membuang mazmumah atau menyuburkan mahmudah. Menghadapi madu sentiasa dalam kena bersabar, kena ikhlas, kena tawadhuk, kena berkasih saying, pemurah dan bertolak ansur. Kalau madu baik macam adik-beradik, kena bersyukur banyak-banyak.. kalau madu banyak meragam dan banyak kerenah, kenalah sabar menghadapi kerenahnya, dan sekaligus sabar mendidiknya.

Dalam hungan yang pasang surut, ada lebih, ada kurang, kena terima bahawa begitulah Tuhan jadikan manusia, sentiasa berubah-ubah hati. Kenalah pula bertolak ansur, redha dan mengekalkan kasih sayang, lemah lembut dan lunak. Situasi apapun yang datang dalam hidup bermadu, semuanya adalah peluang-peluang menambah taqwa. Kalau dapat difahami dan dihayati, indahnya kata-kata Tuhan dalam hadis Qudsi: Maksudnya: Aku malu dengan hamba-Ku yang apabila diberi nikmat dia bersyukur, apabila diberi ujian dia bersabar, apabila ditimpa musibah dia redha, apabila berdosa dia bertaubat

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer