Salah Faham Tentang Dosa(2)


16/11/2006

Jenis dosa perjuangan lainnya adalah bila tidak saling berkasih sayang sesama anggota jemaah, tidak tolong-menolong, tidak simpati terhadap kesusahan dan penderitaan kawan. Kalau kita sebagai pemimpin pula, kita kurang peduli atau kurang memperhatikan keperluan dan kebajikan anak-anak buah dari sudut makan minum, tempat tinggal, pendidikan keluarga, persekitaran, pekerjaan, solat, ibadah, akhlak dan lain-lain, itu juga merupakan dosa.

Demikianlah manusia sentiasa terlibat dengan dosa. Ada satu jenis dosa yang lebih besar dari dosa-dosa di atas, tetapi umat Islam secara umum termasuk para ulama dan sarjana Islam kurang begitu memperdulikannya iaitu dosa-dosa batin yang berkaitan dengan Tuhan seperti:
1. Tidak kenal Tuhan
2. Tidak cinta Tuhan
3. Tidak takut Tuhan
4. Tidak merasa kehebatan dan kebesaran Tuhan
5. Tidak bertawakkal kepada Tuhan
6. Tidak merasa Tuhan pemberi rezeki
7. Tidak khusyuk beribadah
8. Tidak yakin dengan Tuhan
9. Tidak ikhlas dengan Tuhan
10. Tidak takut pada ancaman Tuhan
11. Tidak harap pada rahmat Tuhan
12. Tidak redha akan takdir Tuhan
13. Tidak puas dengan pemberian Tuhan
14. Tidak sabar atas ujian Tuhan
15. Tidak syukur atas nikmat Tuhan
16. Tidak terasa di awasi Tuhan
17. Tidak terasa kehebatan Tuhan
18. Tidak rindu dan cinta dengan Tuhan
19. Tidak rindu pada Syurga dan tidak takut pada Neraka
20. Lalai dari mengingat Tuhan dan lain-lain

Padahal Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahannya: "Awal-awal agama adalah mengenal Allah."

Jadi kewajipan awal dalam kehidupan manusia adalah mengenal Tuhan. Kalau manusia tidak kenal Tuhan, maka akan timbul berbagai jenis dosa lain yang mereka buat sama ada secara sedar ataupun tidak sedar. Bila tidak kenal Tuhan, sudah tentu tidak cinta dan tidak takut Tuhan, padahal Tuhan itu patut dicintai dan ditakuti. Bila tidak cinta Tuhan, maka automatik tidak akan cinta kepada sesama manusia. Hidup manusia akan mementingkan diri, keluarga dan kelompok sendiri. Ini juga adalah dosa. Jadi manusia akan terus menerus berdosa tanpa mereka sedar.

Selain itu, bila manusia tidak kenal Tuhan, maka manusia tidak akan takut pada Tuhan, walaupun mereka tahu bahawa Tuhan patut ditakuti. Akibatnya mereka tidak merasa pengawasan ghaib dari Tuhan sehingga tidak takut untuk membuat maksiat dan kejahatan. Akhirnya lahirlah berbagai kejahatan dalam masyarakat yang dibuat oleh orang-orang yang tidak kenal dan tidak takut Tuhan, sekalipun dia seorang ulama, pakar undang-undang dan penegak undang-undang.

Jadi tidak kenal Tuhan adalah punca atau sumber segala dosa dan permasalahan yang menimpa manusia di dunia. Termasuk dalam dosa-dosa ini adalah tidak sabar dan tidak redha dengan ketentuan Tuhan. Bila diuji manusia tidak sabar, berkeluh kesah bahkan ada yang komplen dan menyalahkan Tuhan, merasa Tuhan tidak patut memberinya ujian yang begitu berat. Tidak redha dengan ketentuan, ketika Tuhan uji dengan kesusahan dan kepahitan hidup, mereka cemas, gelisah, hilang pertimbangan dan bertindak di luar syariat.

Sebaliknya ketika Tuhan uji dengan kesenangan dan kemewahan hidup, mereka lupa daratan, hilang pertimbangan serta mudah terjebak dalam tipuan nafsu dan syaitan. Pada hal Maha Suci Tuhan daripada menzalimi hamba-hamba-Nya..Tuhan memberi ujian dengan maksud untuk menghapuskan dosa-dosa hamba-hamba-Nya agar dia tidak diazab di akhirat nanti atau untuk meningkatkan darjat hamba-hamba-Nya jika mereka sabar dengan ujian itu.

Tuhan berjanji akan memberi pahala bighoirihisab (pahala tanpa hisab) kepada mereka yang sabar dengan ujian. Sebaliknya Allah Taala marah kepada orang yang tidak sabar dengan ujian dari-Nya. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah Taala berfirman yang maksudnya: "Barangsiapa tidak redha terhadap takdir yang terjadi dan tidak sabar terhadap bala (cubaan) dari-Ku, maka carilah Tuhan selain Aku." (Riwayat At Tabrani)

Jangan Ambil Ringan Dosa
Jangan anggap kecil dosa yang kita buat sejak kita baligh, sekalipun ia kecil pada pandangan lahir manusia. Bila dikatakan dosa ertinya Nerakalah balasannya. Dosa walau sebesar habuk pun, kalau Tuhan tidak ampunkan, itu menjadi sebab membawa manusia ke dalam Neraka. Jadi jangan anggap ringan terhadap dosa dengan berkata, "Alah... dosa kecil sebesar habuk." Kalau kita faham akibatnya, ini akan mengganggu perasaan kita. Dosa ertinya Neraka. Kalau Neraka, kecil atau besar dosa sama saja.

Terhadap dosa besar seperti berzina, minum arak, mencuri dan lain-lain, kebanyakan manusia mudah terasa berdosa. Kalau dia bertaubat dan meminta ampun, maka akan selesai apabila Tuhan ampunkan. Tetapi dosa kecil sebesar habuk, atau dosa-dosa batin seperti yang diuraikan di atas, manusia tidak nampak dan tidak terasa kecuali oleh orang-orang yang sensitif dengan Tuhan saja. Bila tidak terasa, maka dia akan lupakan dosa-dosa itu dan dia tidak akan bertaubat dan meminta ampun kepada Tuhan. Maka sudah menjadi satu dosa lagi. Dosa di atas dosa.

Kadang-kadang manusia sangat mengambil perhatian tentang dosa-dosa lahir yang besar tetapi dengan dosa kecil atau dosa-dosa batin (dosa besar juga) yang tidak nampak dia tidak ambil peduli. Matilah dia dalam keadaan tidak merasa berdosa. Maka matilah dia dalam kemurkaan Allah. Ini yang Tuhan marah. Kerana itu jangan pandang kecil atau lupa-lupakan dosa.

Mari bertaubat atas dosa-dosa
Kalau kita perhatikan betapa banyak dan menggunungnya dosa-dosa yang kita buat sejak baligh yang belum kita taubatkan. Bahkan kebanyakan dosa-dosa itu tidak kita rasakan sebagai dosa sehinggga kita melupakannya. Kadang-kadang ada yang kita sedar sebagai dosa pun tidak kita taubatkan sungguh-sungguh. Melupakan atau meringankan dosa yang pernah kita buat sejak baligh adalah dosa. Akhirnya dosa kita sudah beranak-pinak.

Jelaslah bahawa sejak baligh lagi manusia sentiasa berada dalam dosa yang menjadi hijab antara dirinya dengan Tuhan, sehingga terhijab seluruh rahmat dan kasih sayang-Nya. Bila ini terjadi, apa saja amal ibadah dan kebajikan yang manusia buat, Tuhan tidak pandang dan tidak terima. Bukan itu sahaja, bahkan di Akhirat kelak, Tuhan akan hukum dengan Neraka yang amat dahsyat. Oleh itu wajib setiap hamba Tuhan itu merasa sentiasa berdosa dan bertaubat dengan segera terutamanya apabila melakukan dosa dan kesalahan yang dia sedari.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer