Roh Amal


11/09/2006

Islam itu ada lahir, ada batin. Ada jasad, ada roh. Ada rangka, ada nyawa. Islam itu ada kulit, ada isi. Batin Islam atau roh Islam atau nyawa Islam atau intipati (lubbun) Islam itulah yang dikatakan ruhul amal. Yakni roh dalam kita bekerja, roh dalam kita bertindak, roh dalam kita melaksanakan sesuatu, roh dalam kita berjuang dan berjihad, roh dalam sebarang usaha ikhtiar kita, walau dalam apa bidang sekalipun seperti bidang ibadah, bidang dakwah, ekonomi, politik, pembangunan, pertanian, kesihatan dan lain-lain.

Roh amal inilah yang hendak dijaga sungguh-sungguh kerana ia merupakan nyawa dan penentu amal lahir. Syariat lahir yakni kerja, usaha dan tindakan yang dapat dilihat dengan mata lahir. Roh amal itulah tempat pandangan Allah kerana ia merupakan intipati amal Islam (lubbun) atau intipati ibadah.

Roh amal inilah yang Allah nilai. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasul dalam sabdanya:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu. (Riwayat At Tabrani)

Ertinya, amalan lahir yang kita buat seperti rukuk, sujud, berdiri dan bacaan-bacaan dalam sembahyang, semuanya Allah tidak pandang kalau rohnya tidak ada. Begitu juga percakapan kita yang didengar oleh manusia, perjuangan kita dengan menggunakan tangan dan kaki, pergi ke sana dan ke mari, bermacam-macam bentuk pembangunan yang kita hasilkan dalam bidang ekonomi, pertanian dan sebagainya, itu semua tidak ada nilaian di sisi Allah kalau rohnya tidak ada.

Jadi Allah tidak melihat dan memandang gambaran lahir tetapi Allah melihat hati kita. Roh usaha kita itu yang Allah pandang, di samping usaha itu perlu dibuat. Roh amal itu yang dipandang oleh Allah, di samping amal itu perlu dibuat. Roh jihad itulah yang Allah nilai, di samping jihad itu perlu dilaksanakan. Roh puasa itulah yang Allah beri markah, di samping puasa itu perlu dibuat. Begitulah seterusnya. Jadi dalam kita beramal, kedua-duanya yakni lahir dan batin mesti kita buat, tetapi penilaian Allah pada yang batin.

Islam ada rangka, ada nyawa. Kedua-duanya perlu tetapi nyawa itulah yang dinilai oleh Allah. Jadi kalau usaha kita, ibadah kita, pembangunan kita, jihad kita atau apa sahaja yang kita cetuskan, rohnya tidak ada, ia samalah seperti manusia yang sudah tidak ada nyawa. Ertinya sudah dianggap bangkai. Manusia, walau bagaimana cantik sekalipun, kalau sudah tiada nyawa maka dia akan ditanam, tidak perlu disimpan lagi. Orang hormat kepada ratu cantik kerana rohnya atau kerana nyawanya masih ada. Bila tidak ada roh, tidak ada siapa pun minat.

Justeru itu, kita beribadah mesti berserta roh. Kita berdakwah mesti berserta roh. Kita berjihad mesti berserta roh. Begitu juga kita bermusafir, bergaul, berilmu, berpadu, berdoa, berzikir, berekonomi, membangunkan pertanian, membangunkan kesihatan, berkumpul dan sebagainya semuanya mesti berserta roh. Hinggakan diam kita pun mesti ada roh.

Jadi roh amal perlu kita jaga kerana ia merupakan nilaian Allah SWT, di samping soal-soal lahir wajib juga dilaksanakan dan ia tidak boleh diabaikan.

Apa yang dimaksudkan dengan roh amal atau nyawa pada amal, pada usaha kita, pada perbuatan kita atau pada ibadah kita itu? Sebagai contoh, berikut adalah beberapa amalan yang boleh kita nilai sama ada wujud atau tidak rohnya.

Contoh-contohnya :
ROH SEMBAHYANG
Kalau kita bersembahyang, roh sembahyang itu antaranya ialah:
Khusyuk
Faham apa yang kita baca
Hati merasa hina dan kerdil di hadapan Allah serta merasakan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.

Bila ada roh yang begitu rupa dalam sembahyang, baru boleh dikatakan kita bersembahyang. Barulah amal sembahyang itu Allah terima. Kalau tidak ada, maka sujud kita, berdiri kita dan kefasihan lidah kita membaca ayat-ayat tiada erti apa-apa. Duduk berdiri kita dalam sembahyang sudah tiada erti apa-apa kalau roh sembahyang atau nyawa sembahyang kita sudah tidak ada. Sembahyang yang sudah tidak ada roh adalah sembahyang bangkai.

ROH BERILMU
Kita belajar hingga dapat ilmu. Maka ilmu yang kita miliki itu dikira ada roh apabila:
Ia sentiasa mengingatkan kita bahawa kita mempunyai banyak tanggungjawab kepada Allah yang mesti kita laksanakan. Jadi kalau kita memiliki ilmu yang begitu banyak tetapi ia tidak mengingatkan kita bahawa kita ada tanggungjawab kepada Allah, ini bermakna roh atau nyawa ilmu itu tidak ada. Yang berlaku hanya mental exercise sahaja.

Oleh kerana roh ilmu mengingatkan kita akan bertanggungjawab kepada Allah, maka bila kita ada ilmu, kita akan merasakan tanggungjawab yang makin berat. Makin banyak kita tahu, makin banyak pulalah tanggungjawab. Mengingatkan tanggungjawab adalah peranan hati. Bila kita memiliki ilmu, ia mengingatkan kita akan perintah-perintah Allah sama ada yang wajib mahu pun yang sunat yang hendak kita tegakkan. Yang haram dan makruh hendak kita tinggalkan.

Di antara roh ilmu lagi, bila kita memilikinya ilmu itu akan mendorong hati kita cintakan Akhirat dan cintakan Allah. Ia mendorong hati kita benci dengan dunia (yang tidak memberi manfaat untuk Akhirat). Walaupun kita berjuang di dunia, menegakkan hukum Allah di dunia, mengatur masyarakat di dunia, mengambil kekayaan-kekayaan yang Allah halalkan di dunia, semuanya itu diperintahkan oleh Allah, namun hati tetap benci dengan dunia yang sentiasa saja hendak menipu kita.

Tegasnya, roh dalam berilmu itu, ia sentiasa menyedarkan hati kita bahawa dunia ini penipu, jahat dan hendak merosakkan kita. Kalau kita rasa begitu terhadap dunia melalui ilmu kita, maka sudah tentu dunia tidak akan dapat tipu kita. Ambillah dunia yang halal, tetapi ingat kadang-kadang ia boleh merosakkan kita. Carilah harta kekayaan tapi ingat, kadang-kadang ia menjahanamkan kita. Berniagalah sebesar mana pun tidak salah asalkan halal, tapi ingat, jangan sampai ia merosakkan hati kita, merosakkan perpaduan antara kita.

Jadi kalau roh-roh dalam berilmu ini tidak kita miliki ertinya kita baru dapat rangka ilmu atau jasad lahirnya saja. Yakni ilmu tanpa roh, atau dalam kata yang lain, ilmu-ilmu bangkai. Kalau ilmu-ilmu bangkai yang kita dapat, ia tidak boleh menyelamatkan kita daripada rasa sombong, megah, riyak dan lain-lain mazmumah lagi.

Jadi, dalam apa saja yang kita buat, roh amal itu mestilah kita kekalkan. Hinggakan diam pun mesti ada roh. Roh diam itu ialah sewaktu diam itu, kita berfikir. Berfikir tentang kebesaran Allah, tentang diri sendiri sebagai hamba Allah dan khalifahNya, tentang dosa, tentang mati, tentang perjuangan dan tentang Akhirat. Juga berfikir tentang perjuangan, tentang apa lagi pengorbanan yang kita hendak buat dan tentang tanggungjawab yang belum kita laksanakan.

Sebab itulah diam orang mukmin yang bertaqwa itu dianggap ibadah dan diberi pahala, kerana diamnya itu ada roh. Ia kadang-kadang lebih baik daripada orang yang tidak bertaqwa yang nampaknya aktif di tengah gelanggang kehidupan ini.

Jadi amal ibadah kita, perjuangan kita, usaha kita dan lain-lain lagi itu mesti mempunyai roh. Kalau tidak, semua amal kita itu hanya rangka-rangka atau jasad lahir semata-mata. Ia seperti bangkai sahaja. Amal tanpa roh adalah sia-sia kerana yang Allah nilai adalah rohnya, walaupun kita wajib beramal. Oleh itu roh setiap amal hendaklah kita jaga agar ia ada nilai di sisi Allah SWT.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer