Remaja Harapan Negara, Bangsa Dan Agama


23/04/2006

Najib minta pelatih bertenang
KUALA LUMPUR 22 April - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pergaduhan tidak sepatutnya berlaku di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau, Kluang, Johor sehingga mengakibatkan kematian seorang pelatih kem itu.

``Saya sedih dengan kejadian yang berlaku. Tidak sepatutnya berlaku kejadian seperti itu dalam kem kita,`` katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Najib diminta mengulas pergaduhan antara dua pelatih PLKN sehingga menyebabkan kematian Haziq Jaafar, 17, semalam.

Timbalan Perdana Menteri juga menasihatkan pelatih kem itu serta kem-kem lain supaya bertenang dan tidak melakukan perkara yang boleh mengeruhkan lagi suasana.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata tindakan lanjut berhubung perkara itu telah diambil dan laporan polis juga telah dibuat.

``Perkara ini telah menjadi kes polis dan sedang dalam siasatan,`` katanya.

Najib turut menyuarakan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Di Johor Bahru, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow berkata ibu bapa tidak sepatutnya bimbang dan takut untuk menghantar anak mereka menyertai PLKN.

Beliau berkata kejadian seperti itu tidak dapat dielakkan dan mungkin berlaku secara tidak sengaja serta boleh berlaku di mana-mana dan tidak sahaja di kem-kem PLKN.

``Saya harap kejadian itu dan liputan media mengenainya tidak menimbulkan rasa takut di kalangan ibu bapa untuk terus membenarkan anak mereka menyertai program ini,`` katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Fu yang menyuarakan rasa kesalnya atas kejadian itu berkata kes itu harus dijadikan iktibar dan penguatkuasaan di kem-kem PLKN di seluruh negara akan dipertingkatkan.

``Kes yang berlaku ini tidak bermakna program ataupun modul yang dititikberatkan harus diubah. Kita tidak boleh menyalahkan program ini. Program ini sudah semestinya mendatangkan banyak manfaat kepada para remaja,`` katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Johor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata polis hari ini menahan reman pelatih berusia 17 tahun dari Kempas, Johor yang dipercayai terbabit dalam kes itu selama 10 hari untuk membantu siasatan.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan rumah allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik ketika jenazah mula diusung untuk dikebumikan.

Kaum keluarga, jiran, beberapa jurulatih PLKN serta anggota Parlimen Tenggara Datuk Dr Adham Baba, turut menziarah jenazah.

Jenazah Hazid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, Kota Tinggi selepas solat Asar hari ini.

- Bernama

ULASAN:
Putera-puteri pemuda-pemudi adalah pemimpin pelapis di masa depan. Mereka pemimpin pelapis bagi sebuah negara, bangsa dan agama demi kebahagiaan dan keselamatan. Mereka yang akan mengambil alih pimpinan negara, mengganti pemimpin yang ada sekarang.

Kalau pemimpin yang ada tidak pandai mendidik, menjaga mereka, pemimpin yang akan datang dari mereka akan merosakkan negara, bangsa dan agama Islam.Mereka adalah aset bagi satu bangsa dan negara. Aset yang lebih berharga daripada aset semulajadi yang menjadi khazanah negara. Bahkan aset yang mati dan beku itu, aset yang menjadi man power itulah yang akan menggerak dan mentadbirnya.

Kalau mereka telah rosak kerana kecuaian pemimpin yang ada, kekayaan negara di masa hadapan merekalah yang akan membolotnya. Bagaimana menjaga mereka sebagai aset negara dan bangsa?

1. Bangunkan akal mereka dengan berbagai-bagai bidang pengetahuan dan pengalaman untuk agama, bangsa dan negara.
2. Jagalah kesihatan mereka hingga fizikal mereka terpelihara, cergas dan berguna.
3.Didiklah nafsu mereka agar tidak rakus dengan nikmat dunia dan tidak sombong dengan kerjayanya
4.Bangunkan roh mereka dengan mengenalkan Tuhan, takutkan Tuhan, cintakan Tuhan, tanamkan rasa bertuhan. Hati mereka akan bersih dari noda-noda dunia dan mereka akan menjadi manusia berakhlak mulia.

Akhlak yang mulia adalah bunga diri dan bunga bangsa. Hati mereka yang bersih itulah ketahanan diri mereka daripada godaan dunia dan betina. Jika mereka berhadapan dengan kesusahan dan penderitaan, jiwa mereka tahan. Mereka akan sabar menerima ujian sama ada daripada manusia mahupun kejadian bencana alam.

Gejala-gejala negatif daripada luar buatan musuh mereka dapat hindarkan kerana ketahanan jiwa mereka begitu kebal dan tebal.Pemimpin yang ada sekarang diharap ambil perhatian terhadap anak-anak muda kerana jika tersilap mendidik mereka, merekalah yang akan menghancurkan agama, bangsa dan negara mereka.

Satu bangsa kalau sudah tersilap, untuk memulihkannya semula memakan masa ratusan tahun lamanya.Aduh berapa generasi yang akan rosak dibuatnya. Moga-moga Tuhan lindungi kita semua.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer