Rasulullah Saw Pembawa Rahmat Tuhan Untuk Manusia


08/02/2006

Di antara rahmat Allah kepada Rasulullah SAW sebagai pemimpin kepada semua kaum dan bangsa ialah Nabi Muhammad bukan sahaja mampu mempersatukan di antara puak-puak, kabilah-kabilah, kaum, golongan dan bangsa di dunia,tapi berjaya menanamkan kasih sayang di antara hamba dengan tuan, di antara Badwi dengan orang pekan, di antara orang miskin dengan orang kaya.Mampu mendidik orang cinta-mencintai satu sama lain walaupun berlainan kaum dan warna kulit. Boleh cinta-mencintai di antara Arab dengan Ajam, di antara bangsa Timur dengan bangsa Barat.Di antara orang biasa dengan pembesar-pembesar kaum dan bangsa.

Yang lebih aneh dari itu boleh berkasih sayang di antara rakyat dengan para pemimpin. Setelah tercetus kasih sayang, cinta-mencintai lahirlah satu bangsa yang bersatu padu. Akibat dari kasih sayang dan cinta-mencintai lahir pulalah buah akhlak yang mulia di antaranya:

Malu, pemurah, tawadhuk, mengutamakan orang lain, bertimbang rasa, perikemanusiaan yang tinggi, bekerjasama. Secara otomatis pula tidak berlaku hasad dengki, pemarah, khianat, penipu, pembohong, berdendam, pergaduhan dan perbalahan

Ya Rasulullah sungguh besar jasamu! Jasamu patut dikenang oleh setiap orang di setiap zaman.

Ya Allah ya Tuhanku! Bila lagikah Engkau hendak lahirkan seorang pemimpin yang boleh membawa kasih sayang.Yang dapat mempersaudarakan dan menyatukan semua golongan manusia seolah-olah hidup macam satu keluarga.

Manusia hari ini di dunia ini di dalam penderitaan kerana kehilangan kasih sayang di kalangan manusia. Mereka satu sama lain sentiasa di dalam perpecahan dan perbalahan. Satu sama lain sentiasa curiga-mencurigai bahkan prejudis sesama sendiri.

Mereka sentiasa jatuh-menjatuhkan di antara satu sama lain, kata-mengata, hina-menghina, fitnah-memfitnah berlaku setiap hari. Aduh, manusia sudah hidup terseksa dengan perbuatan mereka sendiri.Tuhan segerakanlah datangkan seorang pemimpin sebagai penyelamat. Agar dengan pimpinannya manusia satu sama lain dapat dipersaudarakan semula.


Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer