Rasullullah Saw Menjadi Model Dan Ikutan


28/03/2006

Salah satu faktor penting kejayaan pendidikan Rasulullah adalah kerana Rasulullah menjadikan dirinya sebagai model dan teladan . Rasulullah itu adalah Al Quran hidup. Apa juga perintah Allah, bagindalah orang yang awal melaksanakannya. Apa juga larangan Allah, baginda dahulu yang meninggalkannya. Dan apa-apa yang dianjurkan oleh Allah nescaya akan baginda lakukan. Bahkan percakapan baginda juga tidak terkeluar dari maksud-maksud tadi.

Hal demikian menyebabkan para Sahabat mudah untuk meniru didikan Rasulullah. Para Sahabat benar-benar terbawa oleh Rasulullah melalui sikap dan percakapan baginda yang sentiasa menuju kepada kehendak-kehendak Allah. Bahkan para Sahabat adalah orang yang ghairah melaksanakan apa yang dikata dan dibuat oleh Rasulullah. Demikianlah berhasilnya pendidikan Rasulullah.

Sekolah atau sistem pendidikan Rasulullah tidak memerlukan pengakuan kelulusan melalui gelaran yang berbagai macam. Kerana penekanan baginda bukan pada menghafal, mengingat dan menulis kembali ilmu yang ada dalam kitab atau dalam kepala. Nilai tertinggi bagi seseorang yang menuntut ilmu, menurut Allah dan Rasul, ialah pada TAQWA. Ukuran taqwa ialah pada akhlak dan amal soleh yang dilakukan oleh seseorang murid, setelah selesai pengajiannya. Dengan pertimbangan demikian, orang yang lahir dari sistem pendidikan Rasulullah ialah orang yamg langsung beramal, bekerja dengan ilmu yang ia dapat, bukan kerana gaji, tapi kerana Allah. Ertinya mereka bekerja dengan penuh tanggungjawab, bersih dari dosa dan maksiat, dan selamat dari mengharapkan sebarang kepentingan duniawi atau peribadi.

Dengan cara pendidikan demikian yang disambung pelaksanaannya oleh Sahabat-Sahabat, maka lahirlah generasi salafussoleh yang jiwa, mental dan fizikal mereka sangat terpimpin. Akhlak dan amal soleh mereka tiada tandingan, sehingga mendorong orang ramai masuk Islam. Mereka dapat menegakkan sistem Islam atau undang-undang Allah dalam kehidupan masyarakat sehingga meliputi hampir 3/4 dunia.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer