Rasailah Kasih Sayang- Nya (allah) Yang Agung(1)


20/03/2006

Secara ilmunya, kita tahu bahawa Tuhan itu kasih kepada makhluk-Nya. Bahkan kasih sayangTuhan itu meliputi seluruh makhluk di bumi ini termasuklah manusia, haiwan, tumbuhan, malaikat, makhluk yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa. Termasuk juga segala ciptaan Allah di alam ghaib, misalnya malaikat, golongan jin dan sebagainya.

Melalui ilmu juga, kita tahu yang kasih sayang Allah pada hamba-hamba ciptaan-Nya itu sangat hebat, berbeza dengan kasih sayang yang dicurahkan oleh manusia. Kasih sayang Allah itu tanpa batasan dan had nya. Kasih sayang-Nya pula tiada apa-apa kepentingan . Bahkan kasih sayang-Nya tidak meminta balasan . Jika dibandingkan kasih seorang ibu terhadap anaknya, kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya lebih lagi dari itu. Sebab itulah dikatakan kasih sayang Allah itu tiada tandingan.

Walaupun kita tahu Tuhan kasih kepada makhlukNya. terutama kepada manusia, tapi sejauh mana kita dapat merasakan di dalam hati betapa besar dan agungnya kasih Tuhan itu. Sehingga dengan itu kita juga turut kasih dan jatuh cinta kepada-Nya. Untuk membuktikan kasih Tuhan itu sememangnya sentiasa tercurah setiap detik dan ketika kepada hamba-hamba-Nya,marilah kita mengkaji lambang-lambang kasih sayang Tuhan itu. Mari kita kaji dan selidik apa yang berlaku di dalam kehidupan harian kita.
Antaranya:

* Pernahkah kita terfikir mengapa Tuhan menciptakan alam yang luas terbentang di sekeliling kita, gunung-ganang yang menghijau, sungai yang mengalir, matahari yang memancarkan cahayanya pada waktu siang, sementara bulan mengambang begitu indah dan bercahaya pada waktu malam? Bukankah itu semua disediakan untuk manusia menikmati kehidupan di muka bumi ini. Tuhan jadikan alam ini begitu indah untuk manusia mendapat ketenangan dan kerehatan. Sebab itu tidak hairan bagi mereka yang inginkan ketenangan dan lari dari kesibukan hiruk-pikuk di bandar, akan memilih kawasan peranginan atau kawasan alam semulajadinya belum diterokai manusia. Melihatkan panorama alam yang hijau pun sudah terasa nikmat dan tenang di hati.

* Begitu juga mendengar sesuatu yang sedap didengar umpamanya mendengar desiran angin, ombak yang memukul pantai atau bunyi kicauan sang burung yang berterbangan mencari rezeki pun kadangkala boleh menghiburkan hati . Apalagilah mendengar suara yang merdu, terasa nikmat mendengarnya. Tidak hairanlah sewaktu Nabi Daud bertasbih memuji Allah, bukan sahaja manusia terpesona bahkan burung-burung yang sedang berterbangan juga terhenti kerana merdunya suara Nabi Daud itu. Tidakkah ini juga merupakan lambang kasih sayang Tuhan kepada manusia?

* Seterusnya mari kita lihat lagi lambang kasih sayang Tuhan. Setiap detik kita menghirup oksigen yang kerananya kita dapat meneruskan kehidupan . Masuknya oksigen dan keluarnya karbon dioksida sewaktu kita bernafas, sedikit pun tidak kita sedari. Tetapi cuba bayangkan, jika tiba-tiba hidung tersumbat dan tercungap-cungap mulut menggantikan fungsi hidung, waktu itu baru terasa betapa nikmatnya dapat menghirup oksigen. Bukankah itu juga tanda cinta Tuhan kepada makhluk-Nya.

* Sewaktu badan letih, mata pun terasa mengantuk. Kita ditidurkan-Nya. Cuba bayangkan apa akan terjadi bila badan terlalu letih, lemah tidak bermaya, tetapi puas hendak dilelapkan mata, tidak juga mahu tidur. Walaupun mata tertutup rapat tapi fikiran masih terus berfikir. Bagaimana kita rasakan? Tentulah pada keesokan harinya kita tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang hendak dilakukan kerana badan terlalu letih. Yang membimbangkan waktu itu perasaan pun susah hendak dikawal. Maklumlah seharian tidak dapat rehat. Waktu itu barulah kita dapat rasakan, rupa-rupanya untuk tidur pun tidak berupaya kita lakukan kalau Tuhan tidak izinkan. Betapalah kalau tidak tidur berhari-hari lamanya, bertambah-tambah peninglah kepala. Barulah kita terasa, tidur itu pun merupakan kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer