Rahsia Kelemahan Umat Islam Di Akhir Zaman


23/05/2006

Utusan Malaysia. Isnin 22 Mei 2006 : Suasana masjid di rumah atasi murid tidak tahu solat :-

Kuala Lumpur 21 Mei - Masalah 51,000 murid sekolah tahun 2 hingga 6 di Terengganu yang tidak tahu menunaikan solat dapat di atasi dengan membudayakan masjid di rumah......................

Begitulah antara komen seorang mufti berhubung situasi yang kritikal
berhubungkait dengan masalah murid sekolah tahun 2 hingga 6 yang tidak
tahu menunaikan solat di mana menurut statistik, ianya merupakan 1/3
daripada jumlah keseluruhan murid-murid yang bersekolah di negeri
Terengganu. Itu belum diambil kira jumlah keseluruhan pelajar di negara
ini yang melebihi 5 juta orang termasuk di peringkat menengah. Tidak
pula dinyatakan statistiknya. Tetapi perkara ini amatlah membimbangkan
kerana sekiranya solat yang menjadi tiang agama kepada seseorang Muslim sudah diabaikan dan dicuaikan pastilah implikasi yang akan berlaku amat besar terhadap umat Islam. Kalau diambil daripada statistik yang tidak tahu sembahyang sudah besar, apatah lagi bagi mereka yang tidak dapat menghayati solat, dalam ertikata lain tidak dapat "menghadirkan diri" (khusyu`) mereka ketika menyembah Allah di dalam sembahyang. Pastilah jumlahnya lebih besar daripada jumlah mereka yang tidak tahu sembahyang tadi.

Masakan tidak, kalau dilihat pada satu perspektif sahaja, pasti kita semua akan mengakuinya berdasarkan jawapan yang sudah ada di hadapan mata kita sendiri. Buktinya ialah, makin ramai sembahyang, tetapi makin ramai pula yang kuat mengumpat. Makin ramai orang sembahyang makin ramai pula yang hasad dengki, mengadu domba, pemarah, bakhil, tamak, cinta dunia, gila pangkat, gila nama dan berbagai-bagai sifat-sifat negatif yang rata-rata terpancar pada peribadi umat Islam secara globalnya dewasa ini.

Pasti akan ada yang bertanya, apa hubungkait antara solat dengan orang yang bakhil, cinta dunia, gila pangkat, pemarah dan sebagainya.

Sekiranya persoalan ini timbul maka semakin jelaslah bahawa umat Islam tidak faham kenapa mereka bersembahyang dan mengapa mereka diperintahkan oleh Allah SWT mendirikan solat dan barangsiapa yang lalai (tidak khusyuk) di dalam solat mereka, maka Allah Taala akan humbankan ke dalam neraka "Wail" iaitu satu kawah di antara kawah-kawah neraka.

Pastilah dan tentulah ada mesej besar dari Tuhan agar umat Islam wajib menunaikan solat dari mula akil baligh hinggalah ke saat-saat akhir kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi Rasul mengatakan bahawa solat itu merupakan tiang agama, barangsiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agamanya dan barangsiapa yang telah meninggalkan solat maka dia telah meruntuhkan agamanya. Dan ini ditambah lagi melalui sabda Baginda Rasul, barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia adalah kafir yang nyata.

Begitulah beratnya persoalan solat ini sehinggakan amalannya tidak sama
berat hukumannya dengan Rukun Islam yang lain, seperti puasa, zakat dan naik haji di mana tidaklah sampai jatuh kafir sekiranya culas dalam
menunaikannya.

Bilamana dikatakan agama, ramai di kalangan umat Islam beranggapan bahawa agama itu hanya menyentuh aspek-aspek ibadah khusus semata-mata tanpa dikaitkan dengan soal-soal kehidupan yang lain seperti, berekonomi, bersosial, berhibur, belajar, berkebudayaan dan sebagainya. Malah ramai yang meyakininya begitu. Buktinya berapa ramaikah di kalangan umat Islam termasuk ulama samada di dalam atau di luar negara mengambil demokrasi sebagai sistem di dalam kehidupan mereka? Berapa ramaikah di kalangan umat Islam telah menerima undang-undang berasaskan ciptaan akal manusia berbanding apa yang telah terkandung di dalam Al-Quran? Berapa ramaikah yang menerima, mengajar malah memperjuangkan sistem pendidikan sekular yang memisahkan antara alam dengan penciptanya sehinggakan mana-mana anak-anak yang belajar di dalam sistem pendidikan yang didirikan sekarang tidak lagi kenal Tuhan yang mencipta alam ini. Bertambah parah lagi bagi mereka yang menuntut di sekolah-sekolah aliran agama, ilmu agama yang dipelajari gagal dijadikan pakaian dalam kehidupan sementelahan mereka juga belajar agama untuk mendapat gelaran atau title ustaz , ulama`, alim agama dan sekiranya mendapat kelulusan yang baik boleh mendapat kerja di mana-mana institusi agama atau setidak-tidaknya menjadi penda`wah bebas menjadi matlamat mereka.

Semuanya terlibat dengan sekular yang menjadi fahaman dan darah daging umat Islam akhir zaman. Bukan setakat belajar tidak ada kaitan dengan Tuhan, malahan apa jua perkara yang dilakukan, tidak diniatkan untuk Tuhan, maka jadilah sekular. Ini diceritakan oleh Tuhan kepada kita melalui kisah sejarah Qabil dan Habil di mana salah seorang memberikan korban yang kurang elok untuk Tuhan manakala seorang lagi memberikan korban yang terbaik.

Berbalik kepada persoalan solat, agama dan kehidupan. Bilamana dikatakan agama, pada sisi Tuhan ialah cara hidup. Cara kita bersosial, cara kita bertoto-kromo ( bertata-susila ) berinteraksi dengan Tuhan dan sesama manusia, pastilah Islam sebagai agama yang lengkap daripada Tuhan telah memberikan garis panduan yang lengkap kepada kita. Dalam kita hendak melaksanakan Islam sebagai cara hidup ini pastilah ada banyak ujian dan dugaan. Paling-paling tidak daripada Kafir Harbi dan munafiq yang memusuhi orang beriman. Maka dengan itu umat Islam perlukan kekuatan. Kekuatan ini pastilah datangnya daripada Tuhan. Dan sekiranya hendak memperolehi kekuatan ini ini pastilah ada kaedah atau formulanya.

Itulah dia melalui solat. Dengan solat yang sempurna lagi dihayati akan
memberikan umat Islam kekuatan yang luar biasa serta bisa membina peribadi yang agung kerana dia dinaungi oleh Tuhan yang Maha Agung.
Bilamana Tuhan yang Maha Agung telah menaungi umat Islam sebagai bangsa yang agung, maka bangsa-bangsa lain akan duduk bernaung di bawah bangsa Islam yang agung ini. Perkara ini tidak pernah dilihat menjadi agenda yang utama di dalam mana-mana persidangan umat Islam pun di seluruh dunia hatta di bawah OIC sendiripun yang merupakan badan penaung kepada negara-negara umat Islam sedunia, persoalan solat ini tidak pernah diperbincang dan diperkatakan. Bertahun lamanya persidangan dan perbincangan diadakan, jutaan duit sudah dibelanjakan, ribuan cerdik pandai agama memerah otak dengan pelbagai pandangan untuk mengembalikan martabat dan maruah umat Islam di mata dunia, seruan demi seruan dibuat kepada PBB agar dibela umat Islam. Namun hakikatnya umat Islam makin terhina dan makin tertindas diperlakukan oleh musuh-musuh Islam tanpa ada belas dan simpati.

Masakan tidak, solat yang menjadi tiang kepada agama, sudah menjadi perkara yang bukan pokok di dalam kehidupan umat Islam. Soal solat adalah soal individu, soal peribadi yang tidak ada kena mengena dengan soal bagaimana hendak menyelesaikan masalah penjajahan zionis ke atas rakyat Palestine, tidak ada kena mengena dengan pembersihan etnik Bosnia oleh Serbia, tidak ada kena mengena dengan penjajahan Amerika ke atas Iraq, tidak ada kena mengena dengan umat Islam yang menjadi umat kelas kedua selepas bangsa barat. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh sebahagian besar delegasi dari pelbagai negara umat Islam di seluruh dunia yang menyertai sidang OIC samada di Malaysia, mahupun di negara-negara lain. Sama sahaja corak dan identitinya. Malah yang lebih malang lagi, ada yang sudah tidak solat lagi. Bagaimanakah hendak dikembalikan maruah umat Islam sekiranya Tuhan sebagai tempat rujuk segala hal telah kita pinggirkan dan alpakan? Inilah yang menjadi persoalannya. Persoalan sikap terhadap mana yang utama dan mana yang kurang utama.

Sekiranya solat itu benar-benar difahami dan dihayati, pastilah kita akan mengucapkan rasa terima kasih dan syukur kita kepada Tuhan kerana telah mengurniakan solat kepada kita sebagai jalan untuk kita melepaskan rasa rindu, harap dan cinta kita kepadaNya. Hanya dengan jalan solat sahaja seseorang Islam itu mampu meningkatkan peribadinya menjadi peribadi agung, peribadi yang bertaqwa, peribadi yang kuat keyakinan, kental jiwa, kuat kemahuan, kuat prinsipnya, kuat disiplinnya, kreatif, kuat mujahadahnya dan lain-lain sifat-sifat positif yang dijana daripadanya. Umpama generator yang mampu membekalkan tenaga elektrik kepada manusia untuk berbagai manfaat yang diperlukan manusia.

Di samping itu apabila umat Islam memelihara soal solat yang difardhukan
ke atas mereka, maka Tuhan akan memelihara keperluan umat Islam, dalam ertikata lain Tuhan akan menjadi penaung kepada sesuatu bangsa yang memelihara solat mereka. Bilamana Tuhan sudah menaungi kita, maka secara otomatik bangsa-bangsa lain akan bernaung di bawah kita, tidak kira apa agama dan bangsa mereka. Ini bermakna sekiranya umat Islam sudah dijajah oleh bangsa lain, pasti ada sesuatu yang tidak kena atau tidak bertepatan dengan solat mereka. Masakan Tuhan yang menaungi umat Islam yang telah menyempurnakan solat mereka, membiarkan sahaja mereka diperlakukan sewenang-wenangnya oleh bangsa lain tanpa dibela sebagaimana Tuhan membela umat Islam di zaman salafussoleh dahulu.

Sejarah telah memaparkan kepada kita bilangan umat Islam yang kecil, tapi dibela Tuhan, mampu mengalahkan tentera musuh yang bilangannya jauh lebih besar dan lebih lengkap persenjataan mereka seperti peperangan Badar, Khandak, peperangan Yarmuk dan lain-lain sejarah peperangan lagi. Tidak cukup dengan itu, 3/4 dunia jatuh di bawah telapak kaki umat Islam ketika itu dengan mengambil masa yang singkat dan paling kurang pertumpahan darah yang berlaku.

Itu sekiranya hendak dilihat pada satu sudut. Sekiranya umat Islam benar-benar memahami dan menjiwai solat yang didirikan, pastilah ia akan dapat memahami tuntutan-tuntutan dalam mendirikan solat itu sendiri. Sebagai contoh air untuk mengambil wudhuk. Di zaman moden sekarang tidak ramai lagi orang menggunakan perigi sebagai sumber mendapatkan air. Mereka perlukan pili air. Pili Air ini bersumberkan daripada takungan air yang besar yang dibina pada satu-satu kawasan yang juga bersumberkan daripada empangan sebagai tempat tadahan air yang besar. Maka apabila keperluan umat Islam sudah besar dalam memenuhi tuntutan solat dalam hal mengambil wudhuk, maka pastilah perlunya ada teknologi yang perlu dicipta untuk membuat paip, pam air bahkan sehingga untuk membina empangan. Dalam mencipta teknologi tersebut, mestilah ada ilmu.

Maka dari situ akan terbangunlah institusi ilmu untuk memenuhi
keperluan umat Islam, maka akan terbinalah kilang-kilang untuk membuat
paip air, maka akan lahirlah cerdik pandai dalam bidang geologi untuk
melombong bijih besi ataupun tembaga. Di sini kita boleh lihat, daripada soal mengambil wudhuk sahaja, umat Islam mampu menjana satu pembangunan material yang saling kait-mengait antara satu sama lain demi memenuhi tuntutan solat tadi. Ini bermakna dari sudut itupun tamadun material sudah terbangun dengan penghayatan solat. Belum sudut-sudut yang lain.

Pendek kata, dari solatlah kita mampu berdikari dalam banyak hal tanpa bergantung pada orang lain. Tapi realitinya tidak berlaku sekarang. Umat Islam amat ketinggalan dalam berbagai sudut. Hatta hendak menyelesaikan "masalah" dalam bilik tidur pun terpaksa menumpang dengan Pfizer ( Viagra ), walhal sekiranya kita selesaikan masalah solat, nescaya kita akan selesai dengan masalah dunia yang kecil ini.

Seperkara lagi, Tuhan akan membiarkan umat Islam tanpa dibela sekiranya umat Islam terlibat dengan dosa, dan dosa itu pula tidak ditaubatkan mengikut kaedah Tuhan. Dosa pula berpunca daripada sifat Mazmumah yang ada dalam diri umat Islam. Maka dengan solat yang benar-benar dihayati dan dijiwai, akan membakar Mazmumah yang ada di dalam diri manusia seraya dengan itu akan terbinalah peribadi yang mulia. Peribadi yang mulia ini sebagaimana yang umum ketahui, adalah satu ciri yang amat asing pada manusia akhir zaman ini. Peribadi mulia, apabila orang lain berbuat jahat, maka dia membalas dengan kebaikan. Apabila orang berada di dalam kesusahan, dia akan membantu sedaya upaya sehingga selesai masalah orang itu, apabila orang lakukan kesalahan, maka dia sentiasa sudi memberikan maaf, apabila orang tertindas, dia akan membela, apabila orang miskin dia hebat menderma, apabila memberi khidmat, dia tidak berniat meminta upah atau imbuhan. Semuanya dilakukan untuk memberikan khidmat dan menghiburkan manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Semuanya adalah untuk dipersembahkan kepada Tuhan yang menciptakan alam ini. Bersesuaian dengan ikrar yang diucapkan setiap kali solat, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam.

Ini dapat dipertontonkan daripada peribadi Rasul junjungan yang sangat indah dan sangat menawan hati siapa yang melihatnya, walaupun musuh yang sangat berdendam dengan Baginda, tetap mereka mengatakan peribadi Baginda adalah sangat agung yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia. Pernah satu ketika di zaman Rasul, seorang Yahudi yang buta setiap hari menghamburkan kata-kata makian terhadap Baginda Rasul, namun setiap hari itu jugalah Baginda menyuapkan makanan ke dalam mulut Yahudi tadi tanpa berkata walau sepatahpun. Baginda lakukan dengan penuh kasih sayang dengan harapan Yahudi buta itu akan diberikan cahaya iman oleh Tuhan. Apabila wafat Baginda, barulah diketahui oleh Yahudi tadi, yang selama ini yang menaburbakti kepada beliau adalah orang yang sangat dimusuhinya iaitu Baginda Rasul. Lantas mengucap kalimah syahadah Yahudi itu lalu meninggal dunia.

Maka kerana itu umat Islam sepatutnya tidak mengabaikan soal solat ini.
Bayangkan sekiranya satu watikah diberikan sendiri oleh raja atau
presiden kepada kita, kita akan merasa besar dan menjaganya dengan
sungguh-sungguh, inikan pula perintah Tuhan terhadap sembahyang ke atas umat Islam diberikan tanpa ada perantaraan Jibril. Terus daripada Tuhan. Pastilah ianya perkara besar yang perlu kita fahami sungguh-sungguh peranan dan falsafahnya. Kenapa ianya tidak membangunkan insan, kebesarannya, mengapa solat itu berat hendak dilaksanakan dan sebagainya, semuanya perlu diketahui.

Perlu ada ilmu yang khusus tentang solat ini bukan sekadar soal kifayat, soal sah batal, bahkan perlu diberikan motivasi kepada umat Islam supaya mereka benar-benar menghargai pemberian agung daripada Tuhan ini supaya tidak dipandang remeh dan enteng lantas sentiasa memelihara keagungannya. Apabila setiap individu umat Islam membaiki kualiti solat mereka mengikut piawaian Tuhan, maka kita tunggulah bantuan Tuhan untuk membela kita, kita tunggulah satu perubahan besar berlaku pada umat Islam di dunia ini.Maka kita akan lihat pula kejatuhan musuh-musuh Islam yang selama berabad-abad ini menindas dan menghina umat Islam semahu-mahu mereka.

Pokoknya pelihara solat kita. Jadi persoalan tidak tahu solat di kalangan murid-murid sekaligus dapat diselesailan bilamana bukan sahaja ibubapa, bahkan setiap individu menjadi sumber inspirasi kepada mereka untuk belajar menyembah Tuhan yang Agung hasil kerana model yang dipertontonkan di hadapan mereka untuk ditiru bahkan menimbulkan satu keseronokan pula bilamana dapat berbakti pada Tuhan sebagai hambaNya.

Kesimpulannya daripada solatlah akan lahirnya rasa berTuhan dan
berbagai-bagai rasa kehambaan pada setiap individu yang mendirikannya
secara tepat. Maka untuk itu sekiranya hendak mempelajari lebih
terperinci lagi segala falsafah yang diperkatakan samada motivasi solat
membina peribadi agung, mahupun penghayatan solat itu sendiri, sila
layari www.rufaqadaily.com atau www.rufaqa.com untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Walluhua`lam.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer