Persoalan Menopause


05/09/2005

SOALAN:

Pada umumnya lelaki dan perempuan, pada usia-usia tertentu berlaku mudah tersinggung dan mudah marah. Para perempuan, sekitar usia menopause begitu juga lelaki sekitar 65 tahun. Itu ikut kajian psikologi. Apakah pemarah ini merupakan satu gejala sakit jiwa? Bagaimana kita hadapinya? Sepatutnya kami mujahadah, tetapi bagaimana cara mujahadahnya?

JAWAPAN:

Tuhan itu maha adil sebenarnya. Lahir-lahir sahaja manusia ke dunia, manusia dibekalkan 2 benih yang telah sedia ada yakni benih positif dan negatif. Benih mahmudah ada, benih mazmumah pun ada. Allah menyebut,"Kami tunjukkan 2 jalan yakni jalan kufur dan jalan syukur." Hendak ikut jalan kufur, benihnya sudah ada. Begitu juga jalan syukur, benihnya juga sudah ada.

Tapi ambil perhatian, kalau pilih jalan kufur Tuhan tidak redho. Maka jalan syukur itu perlu disuburkan. Sebab dalam diri manusia itu asas kasih sayang, asas simpati, asas pemurah dan lain-lainnya sudah ada.

Siapa yang hendak ikut jalan syukur, suburkan benih mahmudah itu. Siapa yang hendak ikut jalan kufur silakan. Tetapi Tuhan tidak redho. Benihnya juga sudah ada. Ada rasa marah, ada hasad, ada bakhil dan lain-lain. Bila dirangsang oleh benda-benda positif, suburkanlah. Kalau terangsang denganbenda-benda negatif, jangan suburkan.Tahanlah sehingga suatu masa nanti akan stabil di mana yang akan berperanan adalah sifat-sifat positif sahaja. Yang negatif sudah terbendung. Walaupun ada tetapi sudah tidak berperanan. Sebab itu manusia perlu didikan dari kecil. Bila sudah dewasa, sudah baligh, tinggal suburkan sahaja. Bukan baru hendak mujahadah.

Tapi kalau sudah dewasa, baru hendak kenal dan mujahadah, teruk sikitlah. Jasad yang rohani ini macam tenaga lahirlah. Kalau hendak angkat lembu yang sudah besar tidak larat. Bagaimana kita akan larat untuk angkat lembu? Kalau sejak dari lahir, tiap-tiap hari kita angkat anak lembu itu. Jangan miss angkat. Insya Allah, bila ia sudah besar pun, kita boleh angkat. Jasad batin lagi berat sebab tidak nampak. Kalau tidak ada latihan dari kecil, beratlah.

Mengikut kajian sains, perempuan yang sudah putus haid, dia akan kekurangan atau kelebihan hormon tertentu. Hormon itu sendiri orang tidak pernah gambarkan apa bentuknya. Adakah hormon itu perkara rohaniah? Saintis pun tidak pasti apakah sebenarnya hormon itu.

Apa yang ada dalam Islam itu, istilahnya ditukar supaya jangan terasa itu dari Islam tetapi dari saintis. Bila perempuan sudah menopause, itu menggambarkan manusia sudah sampai tahap paling tinggi kematangannya sama ada positif atau negatif. Tetapi majoritinya, oleh kerana yang diasahnya adalah yang negatif, bila sampai menopause, telah sampai kemuncaklah apa yang disuburkan selama ini. Berapa orang yang boleh matangkan sifat-sifat positif? Dalam 1000, mungkin hanya seorang.

Bila dikaji saintis, bila sampai umur 50-60 tahun jadi pemarah. Itu kerana yang dia asah selama 50 tahun itu adalah yang negatif. Dia tidak jumpa yang positif. Lalu saintis putuskan orang yang menopause itu pemarah. Padahal sebelum itu memang ada marah tetapi waktu menopause itu lebih pemarah.Oleh kerana ego itu telah diasah sama dengan usia jasad lahirnya, lantas ahli sains putuskan bila putus haid maka manusia jadi pemarah.

Selalu juga di ruangan wanita, ada pihak mempromosikan persiapan untuk hadapi menopause, yang dianggap begitu malang. Walhal Tuhan yang menyusun hidup kita dari lahir hingga mati.Takkan Tuhan sengaja hendak susahkan hidup wanita diakhirnya.Seorang perempuan yang kalau dia sudah memilih akhirat sebagai kerinduannya, yang sentiasa menungu hari matinya agar dapat berjumpa Tuhan, yang memilih Allah sebagai idola, bukan suaminya, sebenarnya menopause itu bukan sesuatu yang menakutkan.

Dari kecil, majoriti manusia, yang diasah padanya adalah benda negatif. Cinta dunia, cinta duit, cinta pangkat, disuburkan sehingga sampai waktu menopause. Maka itulah kemuncaknya. Waktu itu, apa yang kita cintai mungkin akan terlepas. Sebab itu datang sifat marah. Patut boleh bersama suami, sudah tidak ada peluang. Jangan-jangan suami kahwin lagi. Maka waktu itudatang kemuncak marah. Cuba tanam cinta dengan Tuhan dari tadika. Nanti waktu menopause itu adalah kemuncak cinta dengan Tuhan, hendak bersama suami pun sudah tidak minat. Betapalah kalau dia sudah merasa dekat dengan mati.

Ahli sains tidak bertemu perkara ini. Mereka kaji dan mendapati semua orang menopause pemarah. Lantas diberi jawapan, yang pasti, bila wanita menopause akan jadi pemarah. Sebenarnya sebab dari kecil lagi ditanam cinta dunia hingga kemuncak.

Sepatutnya manusia gembira dengan menopause. Tuhan bermaksud baik bila wanita menopause. Yang pertama, wanita tidak perlu cuti sembahyang lagi. Wanita akan merasa Tuhan mahu sentiasa bertemu dengannya. Bertemu dengan Tuhan lebih indah lagi dari bertemu dengan suami. Yang kedua, waktu menopause itu, perasaan wanita itu sudah mula memikirkan mati. Menyuburkan perasaan itu adalah lebih baik dari mengangan-angankan sesuatu yang sudah berlaku.

Katalah waktu hendak mati itu kebetulan cinta kita dengan kereta, bila ditanya dalam kubur, siapa Tuhan kamu? Jawapan kita, "kereta." Waktu disoal mungkar dan nakir, jawapan yang akan datang adalah apa yang ada dalam hati. Yang jawab bukan mulut kita tetapi iman kita.

Tentang bagaimana hendak mujahadah, perlulah pengajian yang mendalam. Mujahadah ini sepertilah jogging yang dibuat orang untuk kesihatan tubuhnya. Mujahadah adalah satu exercise yang perlu dibuat untuk kesihatan rohnya. Kalau kita bersenam untuk mengeluarkan peluh dan toksin, mujahadah ini adalah untuk keluarkan syaitan dan nafsu yang selalu merosakkan perasaan kita. Caranya dengan menggunakan Allah. Senaman fizikal guna tenaga fizikal. Untuk lawan nafsu syaitan, kena gunakan Allah, Rasul dan guru mursyid. Sebenarnya kalau hendak berjaya dalam mujahadah ini perlu ada cinta dan takut dengan Allah yang dipandu oleh mursyid.

SEKIAN.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer