Peringatan Bagi Pemimpin

02/03/2006

 

Terdapat keterangan Hadis yang popular apabila menyentuh mengenai kepimpinan iaitu maksudnya:
" Dua golongan yang apabila baik maka baiklah rakyat iaitu pemimpin dan ulama.  

Amat mudah untuk memahami maksud keterangan Hadis tersebut, iaitu pemimpin dan ulama itu umpama kayu, manakala rakyat adalah bayangnya. Apabila kayu itu lurus, maka luruslah bayangnya. Apabila kayu itu bengkok, maka bayangnya turut bengkok.

Apabila sesebuah negara yang rakyatnya rata-rata jahat, hilang kawalan, ketenteraman musnah, berleluasanya kemungkaran dan maksiat, itu tandanya bahawa pemimpin dan ulamanya sudah jahat.
Kejahatan pemimpin dan ulama yang paling besar dan utama ialah bilamana tidak membawa hati rakyat kepada Tuhan, tidak membawa hati rakyat mengenali Tuhan, tidak lagi membawa hati rakyat kepada rasa bertuhan.

Natijah hati yang sudah tidak takut dan cinta kepada Tuhan ialah nafsu yang berkuasa. Sedangkan nafsu sangat mengajak manusia kepada kejahatan. Apabila Tuhan tidak lagi dibesarkan, tidak diutamakan, tidak diagungkan, bahkan sangat tidak dipedulikan, diabaikan dan dilupakan, maka syariat Tuhan juga turut dibiarkan. Syariat Tuhan pun terbarai.
Syariat Tuhan yang sangat sempurna dalam mengatur kehidupan manusia itu apabila diketepikan atau dipinggirkan, sudah tentu ideologilah yang mengambil tempat. Sedangkan ideologi atau isma-isma manusia itu penuh dengan cacat cela, bahkan telah terbukti amat membawa kecelakaan kepada manusia itu sendiri.

Manusia sudah pun mengharungi kerosakan yang amat parah, kesan dari angkara ideologi dan teori-teori akal itu. Namun, itu tidak membuatkan manusia mahu menukar sistem hidup yang rosak itu kepada sistem hidup bersyariat yang selamat lagi menyelamatkan. Kerana menukar cara hidup dan sistem hidup kepada syariat itu, sangat ditentukan sejauh mana manusia kembali kepada Tuhan. Selagi hati manusia menolak Tuhan, selama itulah syariat Tuhan turut diremehkan dan dipinggirkan.

Amat sukar untuk melaksanakan syariat Tuhan tanpa terlebih dulu hati manusia memiliki rasa bertuhan. Siapa yang sekadar memperjuangkan syariat Tuhan tanpa lebih dahulu memperjuangkan Tuhan, pasti menemui kegagalan.

Terdapat juga golongan yang yakin tentang syariat Tuhan, lantas mereka perjuangkannya. Mereka juga berjaya menghujahkan betapa cantik dan sempurnanya syariat Tuhan, bahkan sedikit sebanyak mereka juga mengamalkan syariat itu. Namun amat mudah pula terbarai. Tidak dapat bertahan dengan syariat apabila mengalami risiko. Prinsip bersyariat itu tidak utuh, mudah berubah mengikut keadaan atau menjadi longgar disebabkan oleh sesuatu kepentingan.

Selain dari itu, apa yang sering berlaku ialah mengamalkan syariat terpilih. Kalau ada untung maka diamalkan. Kalau boleh menjejaskan pengaruh, atau menyebabkan orang benci, atau merugikan, maka ditinggalkan. Ini semua adalah manifestasi dari tidak kuatnya rasa bertuhan.

Rasul-rasul diutus dengan misi paling utama ialah membawa hati manusia rasa bertuhan, bukan sekadar mengenali Tuhan. Kerana apabila manusia benar-benar memiliki rasa kehambaan yang mendalam dan sekaligus memiliki rasa bertuhan yang mendalam, maka mudah saja mengamalkan syariat Tuhan. Bahkan mereka merasa seronok, lazat, manis, indah, bahagia dalam bersyariat. Sebaliknya pula, sekiranya berlaku perlanggaran syariat walaupun kecil saja, maka hatinya merasa gelisah. Andainya ini berlaku maka mereka bukan saja hidup bersyariat bahkan memperjuangkannya dan sanggup mati kerananya.

Lihat sejarah Rasulullah SAW yang dalam tempoh dua puluh tiga tahun perjuangan baginda SAW, tiga belas tahun daripadanya digunakan untuk memperjuangkan Tuhan yang satu. Ini berbanding dengan sekadar sepuluh tahun untuk menegakkan syariat yang beribu-ribu itu.

Mengapa berlaku begitu? Kerana apabila hati manusia asyik dengan Tuhan, mabuk dengan Tuhan, takut dan cinta kepada Tuhan, maka apa saja yang datang dari Tuhan amat mudah diikuti. Merekalah yang digambarkan oleh Tuhan sebagai orang yang samiatan wataatan yakni sangat mendengar dan sangat patuh. Mereka jugalah yang Tuhan gambarkan sebagai hati mereka gementar apabila disebut nama Allah SWT, lantas apabila mendengar ayat-ayat Allah SWT mereka tunduk dan patuh, ertinya sangat kuat mematuhi perintah Tuhan (lihat surah Al Anfaal: 2).

Inilah rahsia besar yang mesti dipunyai oleh para pemimpin dalam mengendalikan rakyat. Inilah saja satu-satunya jaminan untuk mensejahterakan rakyat. Inilah satu-satunya jalan yang menyelamatkan rakyat dunia dan Akhirat.

Andainya ini tidak berlaku, di Akhirat nanti para pemimpin akan dilemparkan ke Neraka yang penuh seksa, azab dan sengsara. Seluruh persoalan rakyat akan tertanggung ke atas bahu pemimpin.

Sebelum menerima habuan Akhirat, di dunia lagi Tuhan sudah tunjukkan dengan didatangkan berbagai-bagai keperitan, penderitaan, ketakutan dan kesusahan. Porak-peranda, berkrisis, bermusuhan, bergaduh dan berperang. Apa yang dibuat serba tidak menjadi. Ditimpa masalah yang berlapis-lapis, kusut dan berserabut. Pemimpinnya zalim, ulamanya rosak, orang kayanya tamak dan kedekut, orang miskinnya hasad dengki. Suami atau bapa sudah tidak bertanggungjawab, isteri pula sangat ingkar, remajanya berpeleseran, wanita hilang sifat malu, anak-anak sangat derhaka.

Semua ini berlaku adalah berpunca dari kemurkaan Tuhan . Tuhan biarkan dan Tuhan lupakan kerana manusia melupai Tuhan, kerana manusia sudah tidak membawa Tuhan dalam segala urusan . Bahkan para pemimpin dan ulama, terutamanya di akhir zaman ini paling menghalang manusia kepada Tuhan. Para pemimpin dan ulamalah yang paling merosakkan hati manusia kerana mereka menyekat hati manusia dari rasa bertuhan dan rasa kehambaan.

Mengapa pemimpin rosak dan mengapa ulama rosak? Kerana antara kedua golongan ini sangat rapat hubungannya dengan peranan masing-masing.

Rosaknya pemimpin kerana ulama sudah tidak mendidik, tidak memberi tunjuk ajar dan tidak membimbing para pemimpin . Dalam hal ini amat perlu ulama bersikap berkecuali. Ulama mesti punya prinsip yang tegas. Dan prinsip inilah membolehkan ulama berperanan memberi teguran dan tunjuk ajar terhadap siapa saja terutamanya pemimpin. Peranan ulama ialah memperkatakan dan menegakkan yang hak tanpa mengenal batas, sempadan, kategori dan golongan masyarakat kerana perintah Tuhan itu tidak membezakan kedudukan manusia.

Rosaknya ulama pula kerana pemimpin sering memperalatkan ulama untuk mencapai tujuan dan maksud pemimpin. Pemimpin sepatutnya mengambil panduan dan nasihat para ulama. Sebaliknya ulama diperalatkan untuk menjadi jurubicara bagi pihak pemimpin.

Ulama sering dipaksa untuk mengeluarkan hujah bagi menyokong keputusan dan tindakan pemimpin. Akhirnya ulama hanya menjadi pengampu dan penjilat yang mengambil upah sekadar untuk membenarkan kata-kata pemimpin. Ulama hilang taring, hilang wibawa dan hilang fungsi.

Ulama sudah tidak dihormati lagi kerana mereka bukan lagi memperjuangkan ajaran Tuhan dan Rasul-Nya, tetapi telah memperjuangkan kehendak nafsu dan syaitan yang disogokkan oleh para pemimpin. Yang ditakuti oleh ulama bukan lagi Tuhan dan Neraka tetapi takut kepada pemimpin, takut kehilangan jawatan dan habuan. Ulama yang sudah dicucuk hidung oleh pemerintah ini akan hanya bersuara untuk keuntungan tuannya saja walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan agama dan rakyat, sehingga rakyat terabai dan menjadi rosak kerana merasai bertuhan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer