Pengurusan Manusia Asas Pengurusan Ekonomi


15/05/2006

Langkah elak TNB muflis -- Kerajaan arah kurangkan separuh rizab bekalan elektrik
Oleh: ABDUL RAZAK DIN

BERUAS 14 Mei - Kerajaan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengurangkan rizab tenaga elektrik negara kepada 20 peratus berbanding 40 peratus sekarang bagi mengelakkan syarikat utiliti nasional itu muflis.

Dengan keputusan ini, seorang penganalisis tenaga meramalkan TNB mampu mengurangkan beban tanggungannya dengan "begitu signifikan``.

Rizab tenaga elektrik ialah tenaga simpanan yang tidak digunakan, tetapi dikeluarkan bagi menampung keperluan mengejut dan terdesak. "Ia diibaratkan dua atau tiga tayar ganti di dalam but kereta, sedangkan satu saja sudah memadai," kata penganalisis itu.

Negara kini mengeluarkan sebanyak 26,000 megawatt tenaga elektrik, dengan kapasiti pengeluaran TNB 18,000 megawatt dan 8,000 megawatt lagi dibekalkan oleh Penjana Tenaga Bebas (IPP).

Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, rizab bekalan elektrik negara sebanyak 40 peratus yang ditetapkan itu adalah terlalu besar dan ia memerlukan kos yang tinggi untuk menstabilkannya di samping satu pembaziran yang besar kerana tidak digunakan.

"Kos tersebut mengurangkan keuntungan syarikat utiliti tersebut di samping wang tersebut tidak dapat diperuntukkan untuk menyenggara pembekalan elektrik di negara ini," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis memungut derma di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pei Ching di sini malam tadi.

Keng Yaik bagaimanapun tidak menyatakan mekanisme pengurangan itu akan dilakukan - sama ada rizab TNB atau IPP atau daripada kedua-duanya.

Menurut penganalisis itu lagi, apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana pengurangan itu akan dilakukan.

Menurutnya, IPP mempunyai perjanjian dikenali sebagai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang tidak boleh dirunding semula. Sekiranya rundingan semula dijalankan ia hanyalah atas dasar persefahaman bersama dan tidak melibatkan PPA.

"Atas dasar itu, ia boleh dilakukan, tetapi jika rundingan semula dijalankan, mungkin ia akan melibatkan pemanjangan kontrak antara TNB dan IPP-IPP berkenaan," katanya.

Buat masa ini TNB membayar RM4 bilion setahun untuk tenaga rizab yang dijana oleh IPP - tanpa mengira sama ada kapasiti itu digunakan atau tidak.

Setakat ini sebanyak sembilan IPP bernaung di bawah lima syarikat konsesi iaitu YTL Power Generation, Malakoff Bhd., Powertech, Sime Darby dan Genting Sanyen.

Keng Yaik memberitahu, beliau menjangkakan TNB terpaksa menanggung kos rizab bekalan elektrik sebanyak RM6 bilion apabila dua lagi IPP baru iaitu di Jimah Baru dan Tanjong Bin beroperasi.

Sehubungan itu juga, kerajaan tidak membenarkan lagi pembinaan janakuasa baru oleh TNB dan IPP sehinggalah isu rizab bekalan elektrik negara yang tinggi itu diselesaikan.

Beliau menambah, kerajaan juga akan berunding semula dengan kesemua IPP untuk mencari kaedah mengurangkan kapasiti caj elektrik terlalu tinggi dibekalkan kepada TNB yang telah dimeterai sebelum ini.

"Kerajaan sanggup memberi pampasan dalam bentuk kewangan atau lain-lain insentif kepada IPP bagi mengatasi kerugian yang dialami oleh IPP berkenaan."

"Kita akan berunding semula dengan IPP dalam hal ini dan kita sanggup memberi apa juga pampasan kepada mereka," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan telah memberi amanah kepadanya untuk mengadakan rundingan tersebut tetapi ia tidak bermakna perjanjian konsesi antara TNB dengan IPP akan dikaji semula.

Jelasnya, pada asasnya kerajaan mahu TNB dan IPP mencari kata sepakat supaya kedua-dua pihak mendapat keuntungan dan pada masa yang sama tidak membebankan pengguna serta rakyat.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Keng Yaik berunding dengan IPP berhubung bayaran yang dikenakan terhadap TNB bagi memastikan kadarnya lebih munasabah dan tidak membebankan syarikat tenaga itu.

Pada 13 April lalu, TNB menyatakan kedudukan kewangannya paling meruncing dalam sejarah dan hasil kewangannya bagi tempoh enam bulan berakhir 28 Februari 2006 dengan mencatatkan kerugian ekonomi RM1 bilion.

Antara penyumbang masalah itu ialah tanggungan membebankan TNB yang terpaksa membayar lebih RM4 bilion setahun kepada IPP tanpa mengira sama ada kapasiti digunakan sepenuhnya atau tidak.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, beliau tidak mahu wujud satu pihak yang mendapat keuntungan berlebihan manakala satu lagi mengalami kerugian dalam kerjasama antara TNB dan IPP.

Keng Yaik memberitahu, kerajaan telah mendapat formula untuk mengkaji semula tarif elektrik dengan mengenakan kadar yang lebih kepada penggunaan yang tinggi.

Tambah beliau, kerajaan juga akan mengkaji semula secara keseluruhan industri tenaga di negara ini dan perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

ULASAN:
ASAS PENGURUSAN EKONOMI HADHARI

Pengurusan ekonomi dalam konteks Islam Hadhari bermakna roh atau spirit dari ajaran Islam itu sendiri yang mahu diterapkan di dalam sistem ekonomi.

Menurut Islam, asas bagi tegaknya sesuatu sistem ialah manusia itu sendiri. Justeru ekonomi, asasnya juga adalah manusia bukannya wang ringgit atau hal yang lain. Ekonomi dalam Islam, asasnya bukan aset, juga bukan barangan bahkan bukan modal tetapi manpower atau tenaga manusia.

Mengapa manpower itu dianggap asas ekonomi Islam? Sebab yang hendak menggerakkan ekonomi itu adalah manusia. Manusialah yang menjadi faktor utama dalam menjana ekonomi dengan berkesan. Secara logiknya, katalah sesebuah negara itu, asetnya banyak atau bahan-bahan mentahnya banyak tetapi tenaga manusia tidak ada, bagaimana hendak diuruskan dan diproses bahan-bahan itu? Bahan-bahan mentah yang begitu banyak belum menjadi aset ekonomi selagi ianya belum diproses oleh tenaga manusia. Kalau ada tenaga manusia pun, ia ada hubungan pula dengan kepakaran. Kalau ramai rakyat (manusia) di dalam sesebuah negara itu tetapi tidak ada kepakaran, bagaimanakah emas, bijih, perak, minyak dan lain-lain bahan galian hendak dijadikan aset yang bernilai? Tidak ada ertinya juga. Negara itu kaya dengan khazanah tetapi hanya benda terpendam yang belum menjadi aset ekonomi dan kekayaan negara.


Selanjutnya, kalau pun ada tenaga manusia, yang ada kepakaran sehingga mampu memproses bahan-bahan semulajadi yang Tuhan beri kepada sesebuah negara, untuk bangsa negara itu, hingga hasil itu dapat dijadikan kekayaan, kalau-pun berhasil, ada masalah lain pula. Mungkin nanti cara mengagihkannya tidak betul. Kalau pun bahan mentah itu mampu dijadikan kekayaan, masih akan jadi masalah kepada negara atau kepada rakyat sebab pengagihan tidak seimbang. Maka jadilah golongan yang kaya semakin kaya manakala yang miskin semakin menderita. Khazanah atau kekayaan negara hanya dibolot oleh beberapa orang sahaja. Tuhan tidak zalim. Bahan mentah yang ada dalam sesebuah negara itu sebenar-nya cukup untuk keperluan setiap rakyat sekiranya diagihkan dengan sistem yang tepat dan mengikut cara yang Tuhan mahu. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Tidak ada sesuatu yang melata di bumi melainkan ke atas Allahlah rezekinya dan Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat menyimpannya. Segala yang tersebut itu ada di dalam Kitab yang Nyata." (Surah Hud: 6)

Dengan kata lain, setelah menggali bahan-bahan mentah itu lalu menjadi kekayaan, ada sistemnya lagi yang perlu diambil kira iaitu sistem dalaman diri manusia. Mereka yang mengendalikan kekayaan itu, bolehkah mengagihkan kekayaan tersebut secara adil kepada rakyat? Kalau ketika itu di dalam dirinya datang rasa tamak, maka kekayaan hanya terkumpul pada beberapa individu sahaja, lalu rakyat dan masyarakat akan terbiar. Negara itu dilihat kaya tetapi hanya namanya sahaja yang masyhur sebagai negara yang kaya. Lantaran tiada pengagihan yang baik, maka rakyat tetap miskin.

Cara pengagihan yang tidak betul ini adalah kerana dua sebab iaitu:
1. Kerana sistemnya.
2. Sebab manusia itu sendiri.

Justeru itu dapatlah dirumuskan di sini bahawa ada empat faktor utama yang perlu diambilkira dalam asas pengurusan ekonomi sesebuah negara, iaitu:

1. Sumber manusia
2. Kepakaran dan kemahiran
3. Sistem yang diguna pakai
4. Pembinaan insan

Kejayaan mengurus ekonomi negara bergantung kepada sejauh mana sumber manusianya mampu mengendalikan sistem ekonomi negara tersebut dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab. Dengan kata lain, bagaimana setiap individu sama ada pemimpin, pengendali ekonomi, pelabur dan pekerja dapat menjadikan Tuhan sebagai Pemantau bagi segala gerak-gerinya.

Di dalam menghayati konsep Islam Hadhari dari sudut pengurusan ekonomi ini, kita tidak dapat lari dari merujuk kepada sejarah Rasulullah SAW dan Khulafa` ur Rasyidin. Apa yang kita lihat, oleh kerana bijaksananya Baginda Rasulullah SAW dan Khulafa`ur Rasyidin, sebelum memikirkan kekayaan, mereka fokuskan insaniah masyarakatnya terlebih dahulu sebab kekayaan itu ditentukan oleh insaniah. Sejauh mana mereka cinta dan takutkan Tuhan, sejauh itulah mereka mampu mengagih-agihkan kekayaan. Bukan sahaja mengagihkan kerana kewajipan menunaikan zakat semata-mata bahkan kerana insaniah mereka begitu murni dan kerana cinta dan takut mereka kepada Tuhan maka mereka sentiasa mencari peluang untuk mengagihkan kekayaan kepada orang yang memerlukan. Mereka rajin dan ghairah menderma dan bersedekah. Sebarang keperluan masyarakat yang perlu dibantu, mereka akan bantu. Di mana ada keperluan fardhu kifayah yang hendak dibangunkan, mereka akan berlumba-lumba menjayakannya. Itu bagi orang yang mampu yakni orang yang mempunyai kekayaan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer