Penghibur Sejati


31/05/2006

Apa itu penghibur sejati? Sudah tentulah seorang yang boleh menggembirakan dan menenangkan orang lain yang sedang menghadapi masalah atau dilanda keresahan. Malah, dia mampu memberikan jalan keluar atau penyelesaian kepada kebuntuan orang lain. Paling tidak, dia dapat memberikan kepuasan kepada orang yang dihiburkannya itu. Puas bermakna, selepas mendapat hiburan dari mereka, jiwa yang kosong terasa dipenuhi, hati yang gundah-gulana jadi tenang.

Tetapi realitinya hari ini, walaupun ramai yang `bersaing` di dunia seni untuk menjadi penghibur sejati, hakikatnya terlalu sedikit yang dapat melakukan Orang yang dihiburkan hanya berjaya diajak untuk melupakan masalah atau lari dari masalah yang sedia ada. Dalam lain perkataan, "escapism" sahaja yang boleh ditawarkan oleh penghibur dunia masa kini.

Mengapa terjadi demikian? Ini kerana hiburan yang pada awalnya diharapkan dapat memenuhi keperluan fitrah, memberikan ketenangan dan kebahagiaan hati manusia, sebenarnya hanya mampu untuk memenuhi kepuasan nafsu semata-mata. Dan sememangnya nafsu manusia itu tidak pernah puas sampai bila-bila. Banyak mana pun hiburan yang diberikan, ia tidak ada had maksimanya. Maka, tidak hairanlah, corak dan gaya hiburan yang ada asyik berubah malah ada yang semakin hari semakin melampau, atas nama `hiburan` katanya.

Kalau kita benar-benar hendak menjadi penghibur sejati, ataupun hendak mendapatkan hiburan sejati, kita perlu rujuk kepada konsep hiburan yang diajarkan dalam Islam. Islam sebagai agama fitrah, agama yang syumul, agama yang mencakupi seluruh aspek kehidupan memberikan satu kaedah dan panduan mendapatkan hiburan yang sejati, hiburan tersendiri yang membawa umatnya menghayati kehidupan bersyariat dan kembali kepada fitrah iaitu mengagungkan dan membesarkan Tuhan.

Bayangkan betapa besarnya peranan seorang penghibur sejati. Bukan sahaja dia boleh menghilangkan rasa gundah-gulana yang dideritai oleh orang yang dihiburkannya, malah dia dapat membantu mereka menyelesaikan masalah mereka. Dan jasa yang lebih besar yang dia dapat lakukan ialah membawa orang yang dihiburkannya kepada Tuhan. Bila Tuhan sudah dikenali dan dimiliki, tiada sebarang masalah duniawi yang dapat menggugat kebahagiaan. Hiduplah mereka dalam kebahagiaan yang sebenarnya di dunia ini sebelum mengecapi kehidupan yang jauh lebih bahagia di Akhirat nanti.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer