Pendorong Ibadah 3


31/03/2006

TAFAKUR :Nikmat di luar diri kita

Fikirkan dan hitungkan pula nikmat-nikmat Allah yang berada di luar diri kita. Hitung berapa banyak harta, duit, rumah, kereta, perabot, pinggan, mangkuk, periuk belanga, kain baju, kasut, barang kemas, makanan yang kita simpan dan berapa jenis lauk yang dimakan untuk satu hari, berapa banyak kenderaan kita, kebun, anak-anak, isteri-isteri, kawan-kawan, pengikut-pengikut, pembantu-pembantu, udara yang dihirup, bumi yang dipijak, cahaya matahari yang kita dapat manfaat darinya. Rasakan di hati bahawa alangkah banyaknya kurniaan Allah pada kita selama ini.

Kemudian pandang ke langit. Lihatlah besarnya ciptaan Tuhan itu. Tergantung tanpa tiang. Walhal rumah kita yang kecil pun ada tiangnya. Bumi yang terhampar tempat kita berpijak, sangat berguna pada kita. Saksikanlah matahari yang turun naik, yang cahayanya sangat memberi manfaat, yang menjadikan silih bergantinya siang dan malam, memberi peluang untuk kita berkerja dan rehat. Menjadikan waktu yang bermusim juga sangat berfaedah pada manusia. Air yang disedut naik, hujan yang turun, ini memberi bekalan air untuk seluruh kehidupan. Memeriahkan alam dengan cahaya. Tenaga solar serta tenaga elektriknya. Rasakan ke dalam hati kita betapa pentingnya ini semua. Rasakan betapa perlunya nikmat-nikmat ini dalam kehidupan kita.

Fikirkanlah! Bolehkah manusia mencipta tanah, api dan air itu? Dapatkah kita tumbuhkan pokok? Yang kayunya kita gunakan untuk membuat rumah itu? Dapatkah kita buat segala keperluan-keperluan asas yang jadi peralatan hidup kita itu? Bolehkah kita hidup tanpa kita gunakan barang-barang ciptaan Allah itu? Tentu tidak. Oleh itu datangkan rasa insaf pada diri kita bahawa kita tidak mampu mengadakan itu semua.

Bila kita sedar begitu barulah kita terasa perlunya Allah itu pada kita. Barulah kita terasa patut kita menyembah-Nya. Barulah terasa patut kita taat perintah-Nya. Kalau begitu bukankah patut kita patuh kepada-Nya. Bukankah patut kita jadikan Allah itu Tuhan kita. Tidaklah kita hendak bertuhankan diri kita lagi. Inilah pendorong untuk kita beribadah.

Bila kita bawa berfikir tadi barulah kita terasa Tuhan itu terlalu berjasa dan pemberi. Barulah terasa patutnya kita bersyukur pada Allah kerana segala-galanya adalah ciptaan-Nya dan pemberian-Nya. Bukan kita buat sendiri. Inilah pendorong.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer