Pendidikan Yang Berkesan


16/04/2006

Pendidikan adalah aspek yang amat luas. Selama ini kita memahami pendidikan itu ialah memasuki alam persekolahan. Ini adalah tanggapan yang tersasar atau kurang tepat. Apabila kita memperkatakan tentang pendidikan, ertinya kita mestilah fokus kan kepada manusia itu sendiri. Dalam mendidik manusia, kita kena mengenali manusia itu. Siapa sahaja yang terlibat dalam mendidik manusia, sama ada ibu bapa, guru-guru, para ulama, pendakwah atau pemimpin, mereka mesti memiliki ilmu yang berkaitan dengan manusia. Barulah pendidikan itu tepat kepada sasaran yang sebenar.

Bersama penciptaan manusia, Tuhan sudah bekalkan dengan tiga benih: 1. Benih malaikat , iaitu benih kepada sifat-sifat baik, positif, terpuji atau juga disebut dengan istilah mahmudah. Benih malaikat ini hendaklah disuburkan. Hendaklah dididik, diasuh, dipimpin, dipupuk hingga menjadi tabiat, tingkah laku atau akhlak .

2. Benih haiwan , iaitu segala sifat-sifat tamak, rakus, mementingkan diri, berkrisis, hidup dikuasai nafsu semata-mata, melanggar peraturan, tiada disiplin, tiada berperasaan. Kehidupan haiwan hanyalah makan, minum dan hubungan kelamin. Tidak bertamadun dan hanya menunggu mati. Benih haiwan ini perlu dikawal, dikekang dan didisiplinkan dengan syariat, undang-undang dan peraturan.

3. Benih syaitan , iaitu segala sifat-sifat jahat, negatif, sifat keji, sifat buruk atau disebut mazmumah. Benih syaitan ini seperti ego, sombong, menghasut, hasad dengki, iri hati, mengadu domba, menzalimi, pemarah, buruk sangka, bakhil, cinta dunia dan lain-lain. Benih syaitan ini hendaklah dibakar dan dimusnahkan sepenuhnya, dikikis dan disingkirkan hingga tidak berbaki.

Apa yang perlu dilakukan agar subur benih malaikat, terkawal benih haiwan dan tuntasnya benih syaitan? Jawapannya mudah sahaja iaitu kenalkan manusia kepada Tuhan . Rasulullah SAW mengambil masa 13 tahun memperjuangkan Tuhan yang satu (Esa) berbanding sepuluh tahun memperjuangkan syariat Tuhan yang beribu-ribu. Tempoh yang panjang itu agar manusia kenal Tuhan iaitu memiliki rasa berTuhan terutamanya takut dan cinta kepada Tuhan. Takut dan cinta kepada Tuhan itu menjadikan manusia kuat dalam menyuburkan benih malaikat. Hasil dari takut dan cinta kepada Tuhan itu manusia sangat menjunjung syariat dan perintah Tuhan. Hidup menurut syariat dan peraturan Tuhan itu otomatik bermaksud terdisiplin segala benih haiwan.

Syaitan pula tidak takut kepada manusia bahkan menentang Tuhan. Namun Tuhan yang memberi jaminan kepada sesiapa yang bertaqwa, iaitu orang yang takut dan cinta kepada Tuhan, bahawa makar syaitan gagal menggoda mereka. Sekaligus musnah semua benih syaitan yang ada dalam diri manusia.

Bagi ibu bapa, memperkenalkan Tuhan kepada anak-anak bermula sejak dari pertemuan benih. Takut dan cintanya ibu bapa kepada Tuhan itu ada kesan atau ada contact dengan `roh benih yang bakal Tuhan pilih untuk dijadikan janin .Begitulah seterusnya ketika janin dalam kandungan, sangat dipengaruhi oleh ibu bapa yang takut dan cinta kepada Tuhan. Ianya ada kesan kepada roh janin atau bayi dalam kandungan. Ketika dalam kandungan itu, ibu bapa perlu tubi bayi itu dengan ketaqwaan mereka. Ditubi melalui berbagai amalan taqwa kepada Allah SWT. Perlu ditubi dengan segala akhlak-akhlak yang mulia.

Selepas lahir, bayi itu perlu ditubi lagi dengan memperdengarkan kalimah Allah. Dalam tempoh anak itu membesar, hendaklah dikaitkan dengan Tuhan dalam apa aspek pun . Melalui cara ini anak-anak tersebut akan dapat melihat dan merasai kebesaran Tuhan. Jadilah mereka sebagai orang yang hidup bersama Tuhan. Inilah namanya proses didikan yang berlaku umpama menitiskan air di atas batu.

Kalau sudah dewasa, lebih-lebih lagi sudah tua, baru hendak bermula, atau baru berpeluang mendengar tentang Tuhan, ketika itu baru hendak mengenal Tuhan, maka memang sukar untuk memulihkan rasa takut dan cinta kepada Tuhan itu. Keadaan ini seperti mencurang air sebaldi ke atas batu. Tidak berkesan apa-apa kepada batu tersebut.

Setelah usia remaja atau dewasa, ketika itu perlu kepada guru yang boleh mendidik hati supaya takut dan cintakan Tuhan, maka perlu mendapatkan guru, ulama atau pendidik yang takut dan cinta kepada Tuhan. Barulah ada keberkatan dan akan berkesan kepada hati. Kalau pendidik tidak bertaqwa, bukan sahaja tidak berkesan bahkan boleh menjadi hijab atau terdinding dari memperoleh rasa takut dan cinta kepada Tuhan.

Inilah anak kunci kejayaan dalam mendidik manusia. Kejayaan mendidik manusia menjadi bertaqwa, buahnya ialah manusia itu akan menjadi selamat dan menyelamatkan, banyak memberi manfaat kepada manusia lain, menjadi penyelamat, penghibur dan pembela kepada manusia lain.

Tidak kira bidang atau profesion apa, bagi orang bertaqwa, semuanya dibuat atas nama Tuhan, bermatlamatkan Tuhan. Lenyap segala cinta dunia dan kepentingan diri. Semuanya terarah kepada mentaati Tuhan dan berbakti kepada manusia. Inilah yang dimaksudkan dengan manusia yang berjaya di dunia dan di Akhirat.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer