Pemimpin, Doktor Masyarakat

Kuliah Perjuangan


25/09/2005

Manusia tidak berusaha mencari doktor masyarakat
Sudah menjadi fitrah semulajadi manusia, bahawa tiada manusia yang suka kepada sakit, tidak kiralah apa jenis sakit. Kerana sakit itu mengganggu kesihatan badan bahkan setengah orang yang lemah iman mengganggu fikiran dan jiwanya. Hingga dengan sakit itu manusia tidak boleh bekerja, tidak boleh berehat, tidak boleh cergas, tidak boleh berfikir.Orang yang lemah jiwanya disebabkan sakit selalu sahaja, fikirannya kusut, jiwanya tidak tenteram, keluh-kesah dan gelisah sahaja. Bahkan setengah orang dengan sebab sakit, marah-marah sahaja, membebel, merungut-rungut, bercakap yang bukan-bukan hingga menyusahkan orang lain sama, terutama keluarga.
Oleh kerana sakit itu menyusahkan, mengganggu, banyak usaha-usaha dan kerja-kerja terbengkalai maka justeru itu orang yang sakit bahkan keluarga si sakit, menyuruh berusaha berubat dengan mendatangi atau memanggil doktor atau dukun. Sanggup mengeluarkan duit yang banyak.Sekiranya tidak sembuh dengan seorang doktor atau seorang dukun, cari doktor yang lain atau dukun yang lain walaupun terpaksa bergadai dan bergolok.
Jika tidak sembuh juga akan dicari lagi doktor atau dukun yang lain pula, bayar lagi, keluar duit lagi.Begitulah seterusnya jika tidak baik juga cari lagi doktor atau dukun atau bomoh. Namun berhenti berubat tidak, hingga doktor atau bomoh sentiasa sahaja bertukar ganti, namun putus asa daripada berubat tidak sama sekali.
Begitulah usahanya manusia kalau mereka ditimpa sakit, lebih-lebih lagi kalau sakit itu tenat dan merbahaya pula.Tapi aneh sekali bahawa kurang berlaku kepada manusia atau satu bangsa atau satu negara itu ditimpa penyakit masyarakat seperti berlakunya berbagai-bagai bentuk jenayah, berlaku perpecahan, krisis, peperangan kemudian ditambah lagi dengan bala bencana yang didatangkan oleh Allah Taala kerana dosa-dosa manusia. Bah, angin ribut, gempa, kemarau yang memusnahkan nyawa, harta benda, alat-alat hubungan dan lain-lain lagi.
Walaupun mereka susah dan menderita, sebab itulah mereka juga berusaha mengubat penyakit masyarakat itu, namun tidak pula manusia itu suka hendak mengganti pemimpin sebagai doktor masyarakat yang boleh mengubat penyakit masyarakat, cara-cara dan kaedah-kaedah yang dibawa oleh pemimpin itu.
Kadang-kadang sudah memakan masa berpuluh-puluh tahun masyarakat sesuatu bangsa itu menderita dengan disebabkan penyakit-penyakit masyarakat yang menimpa mereka. Namun mereka biarkan sahaja pemimpin mereka sebagai doktor masyarakat berkuasa memimpin masyarakat, yang dengan pimpinannya masyarakat tidak dapat dibaiki, bangsa tidak dapat disatukan, krisis tidak dapat dihentikan, jenayah-jenayah tidak dapat dibendung, ekonomi tidak dapat dipulihkan, maksiat dan kemungkaran menjadi-jadi tidak dapat dibasmi.
Ertinya pemimpin itu sudah gagal di dalam kepimpinannya namun rakyat tidak ada hati hendak menukar pemimpin. Kemudian, pemimpin itu tidak sedar diri lagi, masih lagi hendak berkuasa atau hendak memimpin.
Sepatutnya apabila penyakit masyarakat itu tidak dapat dipulihkan oleh seorang pemimpin; maka kalau dibiarkan, bangsa itu akan punah-ranah, bangsa itu cari doktor masyarakat yang lain atau pemimpin yang lain. Begitu jugalah pemimpin yang menjadi doktor masyarakat itu, patutnya malu pada diri sendiri kerana kemampuan mengubat penyakit masyarakat sudah tidak boleh dibuatnya lagi. Sepatutnya dia mesti mengundurkan diri agar diganti dengan doktor masyarakat yang lain iaitu pemimpin yang lain.
Inilah masalah yang sedang berlaku kepada masyarakat di dunia Islam. Merekamenyelesaikan masalah masyarakat tidak seperti mereka berusaha untuk membaiki penyakit badan mereka. Apabila seseorang doktor itu atau bomoh itu sudah tidak mampu lagi menyembuhkan penyakit badannya, mereka tidak teragak-agak lagi mencari doktor atau bomoh yang lain, kerana kalau tidak bertindak demikian, takut penyakit bertambah parah dan kronik, akhirnya membawa mati.
Tapi mereka tidak pula melakukan kaedah ini apabila seseorang pemimpin itu sebagai sifat doktor masyarakat; yang hendak membaiki penyakit masyarakat seperti berlakunya berbagai-bagai bentuk jenayah; sudah tidak mampu lagi membaikkan masyarakat, tidak pula anggota masyarakat itu mencuba doktor masyarakat atau pemimpin masyarakat yang lain, agar masyarakat dapat dibaikkan dan umat terselamat. Atau doktor masyarakat itu sendiri (pemimpin) meletakkan jawatan kerana sudah tidak layak lagi dan digantikan dengan pemimpin atau doktor masyarakat yang lain.
Yang malangnya kalau ada tanda-tanda ada doktor masyarakat atau pemimpin yang lain ada kelayakan dan lebih mampu lagi untuk membaiki penyakit masyarakat, sebelum pengaruhnya membesar dia telah dimusuhi sama ada oleh anggota masyarakat atau lebih-lebih lagi pemimpin yang masih berkuasa itu tidak senang. Kemudian dituduh dan difitnahlah mereka untuk membolehkan atau untuk ada alasan mereka ditangkap.
Begitulah yang berlaku kepada masyarakat dunia Islam hari ini. Justeru itulah umat Islam lambat hendak dibangunkan, susah hendak disatukan, payah kemungkaran hendak dibasmi, sulit sekali jenayah hendak ditumpaskan kerana doktor masyarakat yang tidak mampu lagi membaiki penyakit masyarakat.
Namun demikian mereka masih lagi dikekalkan sebagai doktor masyarakat walaupun penyakit masyarakat bertambah teruk dan kronik.Sepatutnya masyarakat umat Islam seluruh dunia telah berubah cara berfikir. Sikap yang negatif itu tidak sayugianya masih kekal atau masih berlaku di dalam masyarakat umat Islam. Umat Islam sepatutnya telah pandai memilih doktor masyarakat atau pemimpin demi kebaikan masyarakat, agar tidak berpanjangan dan berlarutan menanggung sakit yang tidak sembuh-sembuhnya.
Tapi apa yang berlaku, doktor masyarakat yang sudah tidak mampu lagi membaiki penyakit-penyakit masyarakat, masih lagi dibiarkan menjadi doktor, sedangkan penyakit masyarakat bertambah teruk. Yang si doktor pula tidak sedar diri dan tidak malu-malu, masih mempertahankan kedudukan padahal sudah tidak berfungsi lagi. Patutnya sudah rasa malu untuk kekal menjadi doktor masyarakat, yang sudah tidak berupaya lagi menangani penyakit masyarakat. Sepatutnya sudah memberi laluan kepada orang lain demi kebaikan agama, bangsa dan negara.
SEKIAN

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer