Pemimpin Khadam Umat(2)


13/04/2006

Mari kita lihat falsafah, konsep dan prinsip kepimpinan mereka dan bukannya unta, tamar dan pedang. Paling jelas, mereka sangat keras dalam menolak apa yang kini disebut sebagai korupsi, kolusi dan nipotisme (KKN) . Mereka sama-sama berkongsi satu sikap dan pendirian iaitu sangat takut menerima jawatan khalifah.

Sayidina Abu Bakar As Siddiq
1. Demi Allah, tidak pernah aku mengharapkan menjadi pemimpin walau hanya sehari semalam. Dan tidak pernah aku meminta kepada Allah sama ada secara sembunyi mahupun terang-terangan. Dan kalau tidaklah meninggalkan tanggungjawab terhadap agama dan umat, tentulah aku lari ke mana saja dibawa kaki.

2. Sambil memeluk Sayidina Umar beliau berkata, "Hai Umar, aku tidak mahu jawatan khalifah ini."

3. Beliau berwasiat kepada Siti Aisyah supaya mengembalikan lebihan harta kepada kaum muslimin. Siti Aisyah melaksanakan wasiat beliau dan mengembalikan harta peninggalan iaitu seekor kaldai untuk mengangkat air, sebuah bekas (tong) untuk memerah susu dan sehelai baju yang dipakai ketika kedatangan perutusan.

4. Beliau merintih sambil menangis, "Wahai diri, bagaimana nasibku, kenapa aku tidak menjadi pohon kayu saja." Ertinya tiada lagi hisab di Akhirat.

5. Semenjak sebelum menjadi khalifah beliau sering membantu orang mikin, orang-orang tua, janda-janda dan anak yatim. Beliau selalu mengunjungi mereka, memerah susu kambing dan memberi mereka makan. Setelah menjadi khalifah, pada suatu hari beliau mengetuk pintu salah sebuah rumah, lalu dibuka oleh anak gadis yang masih kecil. Anak itu berkata pada ibunya, "Pemerah susu kambing kita, wahai ibu." Ibunya berasa malu dan memarahi anaknya, "Hai dungu, kenapa tidak menyebut khalifah."
Sayidina Abu Bakar tersenyum dan berkata, "Tidak mengapa, sesungguhnya dia telah memanggil aku dengan sebenarnya dan itulah pekerjaan yang paling aku sukai kerana Allah."

Sayidina Umar Al Khattab
1. Kata-katanya yang masyhur ialah, "Kalau aku tidur disiang hari nescaya tidak selesai urusanku terhadap umat. Kalau aku tidur di malam hari tidak selesai urusanku terhadap Allah." Oleh itu beliau terlalu sedikit waktu tidur.

2. Di hadapan harta rampasan dan baitulmal (perbendaharaan negara) beliau membuat ucapan dasar dan didengar oleh orang ramai, "Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia. Tiada seorang pun di kalangan rakyat melainkan baginya ada hak keatas harta itu. Tiada seorangpun lebih berhak daripada orang lain dan aku juga tidak berhak melainkan aku samalah seperti salah seorang daripada rakyat lain."

3. "Unta siapa ini?" Beliau bertanya berkenan seekor unta yang gemuk. Mereka menjawab, "Itu unta Abdullah bin Umar." Lantas beliau memanggil anaknya Abdullah, "Bertuahlah engkau wahai anak Amirul Mukminin."
Saidina Umar berkata, "Orang yang tahu dan melihat akan berkata, jagalah ia kerana unta anak Amirul Mukminin. Begitulah menjadikan unta engkau gemuk. Engkau mendapat untung besar dari unta anak Amirul Mukminin. Wahai Abdullah, ambillah modal engkau dan untungnya beri kepada baitulmal."

4. Beliau berucap kepada seluruh keluarganya " Manusia melihat kepada kamu seperti burung melihat kepada mangsanya dengan penuh perhatian. Apabila kamu melakukan sesuatu, mereka ikut sama. Jika kamu waspada, mereka juga berhati-hati. Demi Allah, tiada seorang pun dari kalangan kamu yang melakukannya, melainkan aku hukum berganda-ganda kerana kedudukan kamu sebagai keluarga Amirul Mukminin."

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer