Pembongkaran Rahsia Akhir Zaman


06/06/2006

Utusan Malaysia 5 Jun 2006 Muka Hadapan
Surat layang dakwa rasuah , penyelewengan sesetengah hakim - PM arah BPR siasat

Kepala Batas 4 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dakwaan berlakunya rasuah dan penyelewengan membabitkan sesetengah hakim ........

Saban hari terpampang di dada-dada akhbar perihal salah-laku atau
penyelewengan yang dilakukan oleh sesetengah agensi Kerajaan di mana telah mengakibatkan kejadian-kejadian yang tidak diingini sehingga ada yang meragut nyawa. Antaranya yang telah diberitahu kepada kita oleh pihak media baru-baru ini, projek pembinaan bangunan Martrade yang telah terbengkalai sehingga bertahun-tahun , berlakunya tanah runtuh di kawasan Hulu Kelang yang telah meragut beberapa nyawa di mana peristiwa yang sama telah berlaku dipersekitaran kawasan tersebut, jambatan runtuh di Sabah hingga menyebabkan kematian meskipun telah dilapurkan kepada pihak berkuasa tempatan akan struktur jembatan yang semakin membahayakan penggunanya dan yang terkini isu pembabitan sesetengah hakim di Malaysia dengan rasuah.

Melihatkan kepada pendedahan demi pendedahan yang telah dibuat, di mana perkara ini jarang sangat berlaku di masa-masa yang terdahulu, kita pun merasa pelik juga kerana yang mendedahkan isu tersebut kepada khalayak ramai bukanlah daripada mana-mana parti lawan, tetapi daripada media yang dikawal oleh Kerajaan sendiri. Memang kita tak boleh juga menolak taqdir atas segala malapetaka yang menimpa, namun faktor penyebab kepada berlakunya malapetaka tersebut perlu juga diambil kira adakah berpunca daripada kecuaian, salah laku sesetengah pihak atau perkara tersebut merupakan semata-mata bencana alam yang di luar kawalan manusia. Apa yang hendak diketengahkan di sini, bukanlah soal penyelewengan yang telah berlaku kerana umum sudah mengetahui ada beberapa pihak di dalam agensi-agensi Kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab atas sesuatu perkara, telah mengabaikan tanggungjawab tersebut samada berlakunya atas faktor kecuaian mahupun kepentingan-kepentingan individu-individu tertentu sehingga timbulnya rasa tak puas hati di kalangan rakyat, kualiti kerja yang kurang baik, pilih kasih dan sebagainya. Ini tidaklah menghairankan sangat kerana sistem yang dibina atas dasar bikinan otak manusia yang dinamakan ideologi atau isme hanya akan membawa kepada malapetaka yang akan merosakkan manusia lantas menjadikan kehidupan di atas mukabumi bumi Tuhan ini tidak selamat dan tidak aman. Ianya memang tidak boleh dinafikan lagi kerana buktinya telah ada di hadapan mata kita samada kita sedar ataupun tidak. Sistem yang dibina yang tidak disandarkan kepada Tuhan Pencipta alam ini akan menyebabkan manusia hanya takut di kala tertentu sahaja iaitu di kala berhadapan dengan penguatkuasa, tetapi di belakangnya, manusia bermaharajalela tanpa ada rasa takut melakukan kejahatan.

Manusia yang diciptakan oleh Tuhan atas 3 unsur di mana masing-masing punya peranan masing-masing dalam pembentukan sesuatu masyarakat telah tidak diambil kira oleh pencipta ideologi ini sehingga mencacatkan salah satu daripada 3 unsur tadi lalu menjadilah manusia tersebut perosak kepada masyarakat. Unsur yang ada di dalam diri manusia itu adalah :-

1) Fizikal

2) Mental

3) Spiritual

Di dalam ketiga-tiga unsur tadi, hanya yang difokuskan oleh ideologi bikinan manusia adalah dua yang pertama sahaja , manakala yang ketiga pula iaitu unsur spiritual tidak menjadi tumpuan mereka lantaran mereka sendiri pun tidak tahu akan unsur spiritual itu sendiri lalu hanya mengakal-akal dan mengandaikannya sahaja tanpa panduan. Ada yang mengandaikan soal-soal ibadah khusus ataupun perkara-perkara yang menjurus kepada keTuhanan itu sahajalah yang bersifat spiritual, andaian lain pula mengatakan, spiritual itu adalah roh yang menyebabkan hidup atau matinya manusia dan sebagainya. Kekeliruan ini amat jelas malahan orang-orang agama yang hidup di atas sistem ini pun tidak mampu
menghuraikannya secara jelas dan terperinci. ( Sila rujuk buku Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia tulisan Ustaz Haji Ashaari Muhammad sebagai panduan ).

Jadi setelah kita telah mengetahui sedikit sebanyak kenapa dan mengapa manusia tidak boleh mengambil ideologi sebagai cara hidup, maka kita lihat pula maksud tertentu Tuhan daripada segala peristiwa-peristiwa yang berlaku di depan mata kita yang menjadi bahan bualan orang ramai di kala ini. Panas juga isu yang diperkatakan oleh media kepada kita sehingga ada kalanya timbul rasa marah dan benci pada sesetengah pihak.

Namun semuanya ada hikmah yang perlu sangat-sangat kita belajar daripadanya. Kita perlu melihat daripada kacamata orang Tuhan agar dengan itu kita akan terpimpin. Kita ambil contoh kisah yang berlaku pada Al-Halaj yang telah dikenakan hukuman pancung kerana terkeluar daripada lidahnya kata-kata seperti "Allah di dalam saku ku" dan sebagainya akibat mabuk atau sakar dengan Tuhan hingga hilang kawalan pada diri. Kata-kata seperti ini pada orang awam pastilah pelik kerana zat Tuhan tidak "bertempat". Maka atas dasar maslahah ummah, Khalifah telah menjatuhkan hukuman pancung ke atas Al-Halaj. Dan salah seorang yang menandatangani surat hukuman tersebut adalah Junaid Al-Baghdadi
seorang wali besar bertaraf Mursyid. Soal di sini bukanlah dilihat daripada perspektif salah laku, tetapi demi keselamatan aqidah orang ramai. Bukan kerana akibat kata-kata Al-Halaj tersebut, tetapi akibat kata-kata orang yang menuduhnya sesat sedangkan dia tidak sesat. Maka di dalam syariat Islam sesat itu akan kembali pada penuduhnya. Ini bahayanya. Bukankah pada perspektif orang Tuhan hal ini sangat berbeda dengan jangkauan akal orang awam yang menyangka bahawa benarlah Al-Halaj yang bersalah? Apabila dipancung, maka menyemburlah darah daripada tubuh Al-Halaj dan jatuh ke tanah lalu membentuk kalimah Allah, Allah. Jadi tindakan Junaid adalah amat bertepatan dengan hukuman yang dijalankan dapat membersihkan tohmahan orang-ramai terhadap kekasih Allah tersebut dan Al-Halaj telah selamat berjumpa dengan cinta sejatinya iaitu Tuhan yang telah menciptakannya.

Baiklah setelah kita boleh menilai serba sedikit tentang cara dan kaedah
orang Tuhan lakukan atas sesuatu perkara, kita lihat pula dalam hal dan
isu masa kini yang melibatkan pembongkaran demi pembongkaran ke atas salah laku di masa kini. Berikut adalah bait-bait sajak yang ditulis
oleh Yang Berbahagia Mulia Ustaz Haji Ashaari Muhammad tentang peristiwa akhir yang berlaku di akhir zaman di mana sajak ini ditulis lebih
daripada 15 tahun dahulu. Sajak yang ditulisnya adalah seperti berikut
dan bertajuk :-

Pemimpin 3 Darjat

Seorang pembela, punya karomah yang akan datang dikurun ini
Padanya jua diberikan Barokah ,
3 darjat yang ia miliki
Khalifah , Mujaddid dan Mujtahid
Ia akan pasti tiba

Kerana Rasul pun telah bersabda
Berita gembira untuk kita
Kedatangannya merubah dunia
Dari kegelapan kepada cahaya
Dari penindasan kepada pembelaan
Dari kejahatan kepada kebaikan
Dari pecah-belah kepada ukhuwah
Di waktu itu kezalimankan musnah

Ahli agama berjawatan resmi
Perosak agama di atas nama agama
Mereka akan sedar diri
Atau menerima hukuman Ilahi
Kerana kesalahan mereka

Di waktu itu dunia ini
Segalanya akan berubah
Segala rahsia akan terbongkar
Tak dapatlah lagi berpura-pura
Kerana ia akan terjadi
Ia akan pasti tiba


Jelas sekali daripada bait-bait sajak yang ditulis oleh Ustaz Haji Ashaari Muhammad ( sewaktu dahulu seorang pemimpin sebuah jemaah yang telah dibubarkan dan dikenakan tindakan ISA ke atasnya dan kini telah membuka sebuah syarikat perniagaan yang telah berdaftar secara resminya mengikut undang-undang di mana syarikat tersebut dinamakan Rufaqa' Corporation Sdn Bhd dan beliau sendiri adalah merupakan Pengerusi Eksekutif syarikat tersebut ) telahpun berlaku samada di dalam mahupun di luar negara kerana Tuhan hendak melahirkan seorang pemimpin yang bertaraf pemimpin ummah yang akan mentadbir dunia ini mengikut kehendak Tuhan sebagaimana peranannya yang diceritakan pada suku kata kedua sajak tersebut di atas. Maka pemimpin yang luarbiasa yang akan muncul ini telah diberikan tanda-tanda dan isyarat akan kedatangannya seperti, ahli agama yang berjawatan resmi tetapi menjadi perosak kepada agama dan segala rahsia akan terbongkar dan tidak dapat lagi berpura-pura.

Semuanya ini adalah kerja Tuhan yang hendak menaikkan seorang pemimpin manusia yang berperanan sebagaimana Rasul berperanan meskipun tidak bertaraf Rasul . Kerana isyarat kedatangannya sudah jelas di mana pembongkaran demi pembongkaran telah berlaku dengan "campurtangan" Tuhan bagi menyedarkan manusia siapakah selama hari ini yang telah berpura-pura dan berlakun di hadapan manusia sebagai pembela sedangkan mereka adalah pengkhianat. Hal ini bukan jadi rahsia lagi dan ianya bukan boleh disorok-sorok kerana masyarakat telah mula celik akan perbuatan mereka. Tidak ada tekanan pada mana-mana pihak, ia terjadi seolah-olah ada suatu kuasa yang berkehendakkannya begitu. Pemimpin Ummah akhir zaman ini belum lagi menzahirkan dirinya, tetapi bilamana tanda-tandanya sudah hampir tiba rasanya moleklah manusia beringat serta bersiap. Yang suka menindas, memecah-belah, yang jahat, yang zalim semuanya akan terhapus dengan kedatangan pemimpin ini. Dan dia akan meratakan keadilan kepada semua sebagaimana yang telah ditulis di dalamkitab "Babad Jawa" namanya sebagai "Ratu Adil". Iaitu Raja yang membawa keadilan.

Kita semua sudah sedia maklum, dunia hari ini semakin hari semakin tidak selamat untuk manusia hasil perbuatan manusia yang berkepentingan, zalim, penindas dan lain-lain kejahatan lagi. Semakin mereka berbuat untuk menutup kejahatan mereka, semakin Allah dedahkan. Seperti contoh Amerika yang kononnya ingin menghapuskan paksi kejahatan di Iraq, rupanya telah didedahkan tujuan dan niat jahat mereka itu untuk menawan hasil minyak bumi Iraq disamping dendam yang tidak berkesudahan terhadap Saddam. Ahli agama yang bertaraf menteri telah dipenjara kerana skandal pecah amanah wang rakyat yang digunakan bagi menunaikan haji. Manusia meletupkan diri dan membunuh orang lain dengan sewenang-wenangnya atas nama agama kononnya. Percanggahan pendapat golongan agama terhadap sesuatu isu sehingga ada pihak ketiga pula boleh memberikan pendapatnya atas satu-satu hukum dalam agama meskipun hujjah yang diberikan tanpa ada sandaran mengikut disiplin Islam. Pertelingkahan di kalangan ahli-ahli politik yang menampakkan sikap "berkepentingan" mereka dan bukan kerana membela rakyat. Pembunuhan beramai-ramai seolah-olah nyawa manusia macam binatang yang tak berharga.

Contoh-contoh yang diberikan cukuplah sebagai petanda bahawa dunia bertambah kronik dan semakin mereka cuba hendak menyelesaikannya, semakin tenat jadinya dunia ini. Jadi jalan penyelesaiannya pastilah perlu kembali kepada Tuhan. Maka berita baik buat semua manusia kerana Ratu Adil akan muncul untuk menyelesaikan masalah manusia sekaligus menghapuskan kejahatan. Sepatutnya kita bersedia dengan kedatangan pemimpin ini dengan persiapan-persiapan yang rapi dan kemas agar dengan itu kita akan dapat bersama-samanya nanti.

Mungkin isu yang dibawa pada kali ini bisa menimbulkan kontroversi,tetapi kalau dilihat daripada beberapa faktor, rasanya kontroversi akan lenyap dengan sendirinya bilamana manusia sudah menemui jalan buntu dalam semua hal lalu mencari satu jalan yang tidak mengikut kaedah biasa untuk menyelesaikannya. Kena ikut cara Tuhan dan melalui orang Tuhan juga sebagai guru yang menunjukkan kepada kita jalan. Sekiranya kita boleh membuka lagi kotak fikiran kita daripada kepompong ini, kita pastilah akan menganalisa bagaimana seorang yang hanya pendidikan formalnya sekadar darjah 6 sekolah atap boleh membuat satu statement, meskipun berbentuk sajak, akan peristiwa-peristiwa yang kini sudah berlaku di hadapan mata. Pastilah ada "sesuatu" yang ada pada diri orangini yang mampu melihat sesuatu yang berada di hari hadapan. Mampu memberikan satu gambaran tentang peristiwa yang bakal berlaku sebelum kedatangan Imamul Ummah di akhir zaman. Pastilah dia juga ada hubungkait dengan kebangkitan ini. Menurut sabda Rasul yang menyebut tentang penyerahan panji-panji hitam oleh seorang pemuda yang bernama Pemuda Bani Tamim kepada Imamul Ummah iaitu Imamul Mahdi. Maka Rasul berpesan kepada kita supaya bersama pemuda ini meskipun terpaksa merangkak di atas salji. Rasanya wajar untuk kita renungi, apakah pemuda ini sudah ada di hadapan mata kita tetapi kita masih lagi tidak nampak? Terpulang pada semua membuat penilaian dan yang paling penting minta pada Tuhan agar memberikan kita petunjuk supaya dengan itu mudah-mudah kita selamat dunia dan akhirat.

Wallahua'lam

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer