Pembangunan Jiwa Membuahkan Akhlak Yang Mulia(2)

Kuliah Tasawuf


18/02/2006

Justeru itulah sekolah Islam dan ilmu Islam bertambah serta bercambah, tapi amalan Islam tidak bertambah. Ilmu Islam tersebar tapi akhlak Islam tidak terserlah. Dakwah dan kuliah-kuliah Islam gelanggangnya bertambah luas tapi amalan dan akhlak Islam bertambah sempit. Hari ini hampir semua golongan memperkatakan Islam terutama bila berlaku gejala masyarakat yang negatif, namun kemungkaran dan gejala masyarakat bukan sahaja tidak tumpas tapi bertambah meningkat setiap hari. Ini kerana kita bercakap di sudut ilmunya tapi pendidikan tidak berjalan. Kalau ada pun dinamakan program-program pendidikan, namun ia masih berbentuk fizikal tapi tidak bersifat kejiwaan. Ia tidak membangunkan rasa tauhid di dalam jiwa seperti rasa bertuhan, rasa takut, rasa cinta, rasa gerun dengan Neraka, rasa hebat terhadap Tuhan, rasa malu, rasa hina diri dengan Tuhan, rasa berdosa, rasa takzim kepada Tuhan. Sedangkan dengan adanya rasa-rasa bertuhan itulah umat Islam boleh control diri daripada melakukan kemungkaran dan gejala masyarakat yang tidak sihat. Ia lebih berkesan dan menghalang, daripada undang-undang, peraturan dan akta-akta. Ini kerana peranan rasa hati tadi seperti rasa takut kepada Tuhan dan lain-lain lagi, ia merupakan benteng yang paling kebal daripada melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi daripada takut polis atau akta-akta yang dibuat.

Justeru itulah di dalam Islam ada dikatakan:
Maksudnya: "Hendaklah kamu takut (kepada Allah) di mana sahaja kamu berada dan hendaklah iringi kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya (kejahatan) dan hendaklah berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang baik." (Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Baihaqi)

Cuba lihat, setelah ada rasa takut dengan Tuhan baru boleh berakhlak baik. Itulah yang dikatakan akidah atau tauhid penghayatan, tauhid yang bertapak pada hati bukan di kepala, lebih-lebih lagi bukan sekadar bertapak di bibir mulut.

Bila dikatakan takutkan Allah benteng yang paling kebal menghalang diri seseorang daripada melakukan kemungkaran dan maksiat lebih daripada undang-undang, peraturan dan akta, bukan pula undang-undang, peraturan dan akta tidak perlu. Ia perlu juga, tapi ia bukan perkara asas untuk menyekat kemungkaran dan gejala masyarakat yang tidak sihat. Ia setakat mengemaskan lagi perjalanan sebuah negara, kementerian, jabatan, institusi dan lain-lain lagi. Kalau ibarat di dalam peperangan, takutkan Allah adalah kubu pertahanan yang pertama yang paling kebal menjaga keselamatan daripada musuh-musuh. Kubu-kubu yang lain adalah pertahanan sementara waktu, untuk melarikan diri dan menyelamatkan diri, tapi untuk bertahan lama tidak mungkin.

Begitulah sifat taqwa benteng yang paling kebal atau kubu yang paling kebal mempertahankan diri daripada serangan hawa nafsu dan syaitan yang mengajak manusia melakukan kejahatan. Tapi kalau di zaman taqwa sudah tidak ada tempat, kerana orang sudah lalai, nafsu pun mengaruk, syaitan pun bermaharajalela mengheret manusia melakukan kejahatan lahir dan batin, maka untuk membendung daripada berlakunya kemungkaran dan gejala-gejala masyarakat yang buruk itu jangan sampai terdedah terus kepada jahanam, maka di waktu itu perlu kepada undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta kerana tidak ada jalan lain dan tidak ada pilihan.

Jadi kalau ada orang menganggap bahawa undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta yang dibuat itu lebih berkesan di dalam membendung kemungkaran dan gejala yang negatif, adalah satu kesilapan besar.

Kalau setakat undang-undang, peraturan dan akta, orang tidak melakukan kejahatan bukan ertinya tidak mahu melakukan kesalahan, hatinya tetap mahu, cuma peluang belum ada. Dia mungkin takut kena tangkap, takut masuk jel, takut dibuang kerja, takut nanti diisytiharkan di dalam media massa dapat malu pula. Namun kalau itu semua dapat dielakkan, lebih-lebih lagi di zaman manusia pintar, alat-alat pengetahuan canggih, alat-alat sains teknologi tinggi, orang boleh buat penipuan secara halus dan payah dikesan, maka di waktu itu dia akan melakukan apa sahaja.

Katakanlah seseorang itu tidak melakukan rasuah kerana terlalu takut kalau dapat dikesan, maka kerja-kerja masyarakat dan umat terselamat daripada dikhianati dan ditipu. Tapi mengikut ajaran Islam, orang itu masih tertipu keran sikapnya itu tidak jadi ibadah. Dia tidak dapat pahala apa-apa kerana dia meninggalkan kejahatan itu bukan takut kerana Allah, tapi kerana takut dengan manusia. Nampaknya lahirnya baik, tapi sebenarnya dia belum baik bahkan berdosa pula kerana dia telah melakukan syirik. Peluang dia hendak membuat jahat tidak ada kerana tersekat oleh undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta tadi serta takut dapat dikesan. Namun kerana hatinya tetap tidak takut dengan Allah dan pembalasan di hari Akhirat, kalau ada peluang dapat menyembunyikan kejahatan itu daripada manusia dia akan lakukan juga.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer