Pelik Tapi Benar


06/01/2006

1. Tuba Dibalas Dengan Susu
Ketika berada di Makkah, seorang lelaki telah tidur di sebelah seorang hamba Allah. Sewaktu bangun dari tidur, lelaki itu terkejut apabila mendapati dompetnya telah hilang. Memandangkan hanya mereka berdua di situ, lelaki itu terus menuduh hamba Allah tadi mencurinya.

Hamba Allah itu terkejut juga, tapi dia tidaklah marah atau membela dirinya. Berapa wang yang ada dalam dompetmu? tanyanya.

Lelaki itu pun memberitahu jumlah wangnya. Tanpa banyak bicara hamba Allah tersebut kembali ke rumahnya, lalu mengambil wang sebanyak yang disebutkan oleh lelaki tadi, kemudian memberikan wang itu kepadanya.

Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang kawan lelaki itu memberitahu bahawa merekalah yang menyorokkan dompetnya kerana hendak bergurau.

Lalu lelaki itu terburu-buru mendapatkan hamba Allah tadi untuk mengembalikan wangnya dan meminta maaf. Tetapi hamba Allah itu menolaknya.

Ambillah ia sebagai harta halal yang baik. Aku tidak akan mengambil kembali harta yang telah aku keluarkan pada jalan Allah, kata hamba Allah itu.

Masya-Allah, sudah wujudkah hati begini di akhir zaman yang mana Islam kembali bersemarak ini? Sanggupkah hati manusia hari ini berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya? Tanyalah hati kita sendiri


2. "Saman Diri sendiri"
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a. tidak bersependapat dengan seorang lelaki. Semasa berbahas, beliau telah mengeluarkan sepatah perkataan yang kurang manis terhadap lelaki itu.
Dengan serta-merta itu juga Sayidina Abu Bakar menyedari akan kesalahannya lalu berkata, Wahai saudara, gunakanlah perkataan itu terhadap saya sebagai balasannya.

Lelaki itu enggan berbuat demikian. Sayidina Abu Bakar terus mendesak dan berkata hendak merujuknya kepada Rasulullah SAW. Lelaki itu tetap tidak mahu melakukannya.

Akhirnya Sayidina Abu Bakar pun meninggalkan tempat itu. Beberapa orang yang hadir berkata, Pelik betul! Dia yang melakukan kesalahan, dia pula yang mahu mengadu kepada Nabi.

Lelaki itu menjawab, Tahukah kamu siapa dia? Dia adalah Abu Bakar, menyinggungnya bererti menyinggung Nabi. Menyinggung Nabi bererti menyinggung Allah. Kalau aku menyinggung Allah, siapakah gerangan yang akan menyelamatkan aku?

Lelaki itu pun pergi berjumpa Nabi dan menceritakan peristiwa tersebut kepada baginda.
Nabi SAW pun berkata kepadanya, Keenggananmu itu kena pada tempatnya. Tetapi untuk meringankan penderitaan batinnya, sekurang-kurangnya katalah: Semoga Allah mengampuni kamu wahai Abu Bakar.

Cerita di atas memanglah pelik terutama di zaman orang
saman-menyaman ini. Akan tetapi hati orang yang takutkan Tuhan tidak begitu. Tidak bersalah pun mereka merasa berdosa, betapalah kalau terbuat salah lebih-lebih lagi mereka rasa terseksa dan menyesal yang amat sangat. Lantas tanpa tangguh-tangguh mereka berusaha menebusnya.

3. "Bisnes Dengan Alam Ghaib"
Ketika Rasulullah hendak mendirikan Masjid Nabi di Madinah, baginda telah meminta kepada tuan tanah yang akan menjadi tapak masjid tersebut agar memberikan tanahnya. Tukarannya ialah sebuah rumah di Syurga untuknya. Tuan tanah itu yang merupakan seorang penduduk Ansar, merasa keberatan, lalu datang Sayidina Usman bin Affan membawa 10,000 dirham dan membayar harga tanah itu.

Sayidina Usman menyerahkan tanah itu kepada Rasulullah dan berkata, Ya Rasullah, belilah tanah ini dari saya.

Lalu dibeli oleh Nabi dengan sebuah rumah untuk Sayidina Usman bin Affan di dalam Syurga.
(Nilai wang masa itu, 20 dirham bersamaan dengan seekor kibasy yang baik atau 10 dirham seekor kambing yang baik.)

Bagi kebanyakan ahli perniagaan hari ini, jual beli di atas tidak menguntungkan apa-apa malah ia satu kerugian. Namun keimanan para Sahabat terhadap hari Akhirat yang begitu tebal menyebabkan mereka menjual dunia untuk membeli Akhirat. Adakah keimanan dan keyakinan kita pada kehidupan di Akhirat sedemikian rupa? Sekali lagi kita perlu bertanya kepada hati kecil kita sendiri

" Wahai Tuhan, demi kemurahan dan kebesaran rahmat-Mu, rezekikanlah kami untuk untuk memperolehi hati sepertimana hati para Sahabat. "

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer