Pbb Dan Senarai Pengganas?


21/09/2005

PBB digesa sediakan senarai pengganas

(BERITA HARIAN) 19 Sept. - Rusia meminta PBB menyediakan satu senarai pengganas dan pertubuhan pengganas untuk memperhebatkan kempen memerangi keganasan.
" Penyediaan satu senarai lengkap meliputi semua pengganas dan pertubuhan pengganas sama ada dikaitkan dengan Al-Qaeda atau tidak, tidak boleh ditangguhkan lagi,`` kata Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov pada Perhimpunan Agung PBB semalam.
Lavrov yang merupakan bekas Duta Rusia ke PBB menyatakan Majlis Keselamatan telah mengenakan sekatan terhadap Taliban, Al-Qaeda serta individu dan pertubuhan yang bersekutu dengan mereka berdasarkan senarai yang disediakan oleh jawatankuasa majlis itu.
"Tetapi gerila terus mendapat bekalan senjata selain bahan dan bentuk bantuan lain,`` kata Lavrov. "Skop geografi kegiatan mereka semakin luas,`` katanya.
"Puak pelampau yang tidak ada kaitan langsung dengan Al-Qaeda memperhebatkan kegiatan mereka di seluruh dunia,`` kata menteri itu sambil menegaskan, Rusia telah menjadi sasaran serangan kumpulan seperti itu.
ULASAN
Keghairahan umat nampaknya bertambah dalam menyatakan dan memperjuangkan Islam. Kalau keghairahan ini diteruskan berjalan di atas landasan dan cara yang tepat yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya, maka kita akan sampai di satu era kehidupan yang mulia dan agung, yakni terbangunnya jemaah, daulah dan ummah Islamiah. Akan lahir sebuah jemaah dan masyarakat yang ahlinya cinta dan takutkan Tuhan, tunduk patuh dalam menerima dan mempraktikkan Islam serta menjadi rahmat bagi seluruh manusia.
Namun satu hakikat mesti diakui, bahawa untuk mencapai hal itu tidaklah semudah yang kita rasakan dan gambarkan. Di samping penentang dan musuh yang pasti tidak akan mengalah dengan kita, juga pengaruh faham sekularisma yang sangat kuat dalam sanubari umat. Kita sendiri sebenarnya sangat kabur tentang jalan-jalan yang dapat menyampaikan kita ke sana.
Contohnya, umat Islam sendiri masih banyak yang kabur dan tidak faham tentang makna berjuang dan berjihad. Erti berjuang dan berjihad sudah dipesongkan dan dipersempit kepada perjuangan bersenjata. Maka timbullah berbagai kelompok umat Islam yang menggunakan kekerasan dan senjata sebagai alat perjuangan mereka untuk membela umat Islam yang tertindas di mana-mana. Tentu saja musuh-musuh Islam sangat menyukai hal ini kerana ada alasan bagi mereka untuk melabelkan kelompok umat Islam tersebut se-bagai kelompok pengganas atau teroris. Padahal merekalah yang menindas umat Islam.
Kata Fisabilillah ertinya untuk Tuhan bukan untuk diri, kelompok,golongan atau untuk bunuh orang bukan Islam. Tentu saja perjuangan itu dengan menggunakan cara-cara yang berhikmah, pemaaf, pengasih, penyayang dan lain-lain. Patutnya bila kita hendak sangat berjuang untuk membunuh orang dengan cara dan alasan apa pun, jangan kaitkan dengan nama Islam atau Tuhan. Ini tidak, sebut berjuang fisabilillah, tetapi dia membunuh orang. Jadi samalah perjuangannya dengan perjuangan orang kafir. Sedangkan bukan itu yang disuruh oleh Islam.
Yang dimaksud dengan berjuang dan berjihad dalam Islam yang diredhai oleh Allah ialah berjuang ke arah meninggikan kalimah Allah, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Jadi tanggungjawab yang telah dibebankan oleh Allah kepada semua umat Islam ialah untuk menghidupkan dan meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini agar kalimah Allah diamalkan dan didaulatkan sepanjang waktu dan di semua aspek kehidupan. Yang dimaksudkan dengan `kalimah Allah` yang sebenarnya menurut sumber Al Quran dan Hadis serta menurut pendapat ulama-ulama di antaranya ialah:
1. Akidah yang sah
2. Menunaikan janji iaitu perintah suruh fardhu dan sunat
3. Menjauhi larangan haram dan makruh
4. Iman, Islam dan Ihsan
5. Tauhid, Feqah dan Tasawuf
6. Menegakkan undang-undang yang wajib, sunat, haram, makruh dan mubah (harus)
7. Membangunkan syariat Allah.

SEKIAN

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer