Pandai, Cerdik Dan Bijak


09/10/2006

 

 

Ramai orang berpendapat bahawa ilmu itu segala-galanya. Kalau ada ilmu, maka semua masalah akan selesai. Mereka merasakan ilmu adalah alat untuk menyelesaikan segala masalah. Ini termasuklah ilmu agama atau ilmu Islam. Ramai yang merasakan bahawa kalau seseorang itu mempunyai ilmu agama yang banyak hingga dia digelar ulama, maka dia mampu menyelesaikan segala masalah.

Sebenarnya, ini sangat jauh tersimpang dari kebenaran. Memang tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa ilmu itu penting dalam mencari kebenaran dan menyelesaikan masalah. Tetapi ilmu sahaja tidak cukup. Ilmu itu ibarat pedang, lagi banyak ilmu, lagi tajam pedang itu. Tetapi kalau tidak tahu macam mana hendak menggunakan pedang, pedang yang tajam pun tidak ada makna apa-apa. Hanya kita boleh tunjuk pada orang yang kita ada pedang tajam. Hendak guna tidak tahu. Kalau begitulah hakikatnya, kita boleh dikalahkan oleh orang yang hanya bersenjatakan batu.

Di samping ilmu, kita perlu tahu bagaimana cara hendak menggunakan ilmu atau pedang kita itu. Tambahan pada itu, kita perlu ada kemahiran menggunakannya dalam semua keadaan. Kita mesti tahu menggunakan pedang kita itu sambil berdiri, sambil duduk, sambil berbaring, sambil melompat, sambil berlari hatta ketika kita sedang menunggang kuda sekalipun. Barulah pedang itu betul-betul berguna untuk kita.

Untuk itu, ada ilmu sahaja tidak memadai. Orang yang ada ilmu itu dikatakan orang pandai. Pandai sebab dia ada ilmu. Sebab dia belajar. Sebab dia berguru. Sebab dia bermetelaah. Itulah dia hakikat orang pandai. Lawannya ialah jahil. Orang jahil ialah orang yang tidak ada ilmu.

Orang pandai atau orang berilmu tidak semestinya bijak. Orang berilmu tidak semestinya cerdik. Untuk mampu mempergunakan ilmunya sebaik mungkin, seseorang itu mestilah juga cerdik dan bijak. Akalnya mesti tajam. Dia mesti boleh memahami dan boleh membaca keadaan. Dia mesti boleh mentafsir masyarakat. Dia mesti boleh melihat perubahan. Dia mesti boleh menilai suasana. Dia mesti boleh membaca gerakan musuh. Dia mesti boleh memandang jauh ke hadapan. Dia mesti boleh melihat punca masalah. Dia mesti boleh mendahulukan yang dahulu dan mengkemudiankan yang kemudian. Dia mesti boleh bertindak tepat pada masa, tempat dan keadaan. Ini semua kerja orang cerdik dan orang bijak. Setakat pandai dan ada ilmu sahaja tidak memadai. Dia akan ketinggalan jauh ke belakang dan akan mudah diperkotak-katikkan.

Pandai itu boleh diusahakan. Sesiapa sahaja yang belajar dan berguru, lama kelamaan akan jadi pandai juga dan dapat ilmu. Orang yang otaknya baik sedikit, cepat dan banyaklah ilmu yang dia dapat. Yang otaknya kurang baik, lambat dan sedikitlah ilmu yang dia dapat. Tetapi sifat cerdik dan bijak tidak boleh diajar. Dia adalah anugerah dari Tuhan. Siapa yang Tuhan jadikan cerdik, maka cerdiklah dia. Siapa yang Tuhan jadikan bijak, maka bijaklah dia.

Soal pandai dan boleh mengumpul ilmu adalah semata-mata kerja akal. Tetapi soal cerdik dan bijak ada kaitan dengan hati dan roh. Siapa yang hatinya bersih dan rohnya berperanan, dia selalunya cerdik dan bijak. Dia sentiasa terdorong, terbantu dan terpandu. Di samping itu, akalnya juga terserlah ketajamannya. Cahaya rohaninya mempengaruhi akalnya.

Ulama yang tidak cerdik dan tidak bijak, kemampuannya hanya terhad kepada mengajar ilmu dan menjadi abid atau ahli ibadah. Dia tidak pandai menyelesaikan masalah. Dia tidak proaktif. Dia tidak ada bakat pemimpin. Dia terpisah daripada suasana dan alam sekeliling. Kadang-kadang dia mudah ditipu, diperguna dikotak-katik dan diperalatkan oleh orang-orang tertentu. Orang yang ada kuasa selalunya tidak hormat dan memandang rendah terhadapnya.

Ulama yang cerdik dan bijak pula, dia mempunyai wibawa yang tinggi. Dia mampu menyelesaikan masalah. Dia ada sifat kepimpinan dan manusia suka merujuk padanya. Dia banyak berkecimpung dan terlibat dengan masyarakat. Dia sangat peka tentang apa yang berlaku di sekelilingnya hatta apa yang berlaku di seluruh dunia. Ilmunya mencangkup segala hal. Bukan sahaja hal agama, bahkan juga hal politik, ekonomi, pendidikan, antarabangsa, hal-hal semasa dan sebagainya. Orang yang ada kuasa selalunya takut dan bimbang dengan ulama yang seperti ini.

Ulama yang tidak cerdik dan tidak bijak, ramai mana pun bilangan mereka di dalam masyarakat tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan. Tetapi ulama yang cerdik dan bijak, cukuplah seorang. Masyarakat akan bergolak. Hidup beragama akan terserlah. Masyarakat akan terbawa menuju kepada kebenaran, keadilan dan hidup bertuhan.

 

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer