Orang Berfahaman Islam Merdeka Dalam Sekatan Tuhan


23/08/2006

Erti kemerdekaan ialah hati dan fikiran bebas daripada terikat dengan dunia dan kebendaan lebih-lebih lagi bebas daripada sebarang ideologi.Hati dan fikiran semata-mata dengan Tuhan. Inilah dia kemerdekaan yang hakiki dan sejati.

Mereka yang ingin merdeka dari Tuhan itu adalah merdeka yang palsu dan menipu. Bila pautan hati dengan Tuhan, terasa luas, hati manusia terasa puas. Bila pautan hati berkait dengan dunia, ingin buat apa sahaja terasa terbatas walaupun kita ingin bebas.

Tidak bebas dengan Tuhan itulah kebebasan, ingin bebas dari Tuhan inilah keterbatasan. Jiwa sentiasa tidak puas kerana dunia memang terbatas. Manusia ingin merdeka dan bebas, padahal kuasa mereka sangat terbatas. Walaupun dengan Tuhan tidak bebas, kuasa Tuhan tidak terbatas. Lahirnya tidak bebas tapi jiwanya bebas dan puas.

Merdeka dengan Tuhan nampaknya bebas, tapi terbatas jiwa tidak puas ertinya orang yang berfahaman sekular tersekat di dalam kemerdekaan. Orang yang berfaham Islam merdeka di dalam sekatan. Kemerdekaan orang sekular adalah kemerdekaan yang tertipu dan palsu. Mereka masih terbelenggu, kerana itulah jiwa mereka selalu gelisah bahkan ada yang kecewa.

Orang mukmin nampaknya terbelenggu tapi jiwanya merdeka, puas dan bahagia. Mereka merdeka dari dunia dan manusia. Itulah hakikat kemerdekaan. Merdeka dari Tuhan itulah hakikatnya tidak ada kebebasan. Orang mukmin mempunyai kemerdekaan yang sejati sedangkan orang sekular adalah golongan yang terjajah yang hakiki.

Carilah kemerdekaan, memang ia disuruh, bebaskanlah diri kita, memang ia diperintah agar kita boleh mencorak diri dengan identiti sendiri yang mengganggu dan menggugat tiada lagi.

Kemerdekaan itu banyak peringkatnya, bebas tanah air dari penjajah yang memperbodoh, bebas ekonomi dari kapitalis yang menindas, bebas undang-undang di dalam menegak keadilan.

Dari seluruh kemerdekaan itu ada yang lebih utama bebaskanlah diri dari belenggu nafsu dan syaitan, kedua-duanya amat merbahaya kerana kerosakan dari pengaruh kedua-dua ini membawa kita ke Neraka.

Memerangi penjajah setakat kemerdekaan tanahair.Memerangi kapitalis, selalunya berakhir dengan penindasan. Berjuang menegakkan keadilan ada kesudahannya.Berjuang melawan nafsu dan syaitan selagi nyawa ada di badan.

Banyak wira-wira kemerdekaan mampu mengalahkan penjajah, tidak kurang pejuang-pejuang ekonomi menumpas kapitalis lintah darat tetapi bila berhadapan dengan nafsu syaitan mereka kalah.Hakikatnya kebanyakannya masih tidak merdeka sepanjang hayatnya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer