Nilai Diri Manusia


22/04/2006

Teguran rakyat sumber menilai diri - Hisham
KLUANG Utusan 21 April - Ketua jabatan digesa menjadikan teguran rakyat sebagai sumber untuk menilai diri agar dapat memberi perkhidmatan lebih berkualiti.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, meskipun kualiti perkhidmatan semakin meningkat, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki oleh ketua jabatan.
"Sebarang pencapaian tidak seharusnya menjadikan kita leka kerana masih wujud kelemahan yang boleh diperbaiki," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam teks ucapan perasmian Program Mesra Rakyat Daerah Kluang di Taman Sri Lambak, di sini hari ini yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman.

Sebanyak 22 jabatan dan agensi kerajaan mengambil bahagian dalam program anjuran Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Daerah Kluang.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Semberong berkata, kerajaan kini berusaha memperkukuhkan sistem nilai tadbir sektor awam bagi meningkatkan lagi integriti kakitangan dan pegawainya.

"Sebagai kakitangan kerajaan, kita diminta memantapkan integriti diri dan menjadikannya sebagai budaya hidup dengan sentiasa mementingkan kerja baik, berkualiti, jujur dan ikhlas," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, integriti penjawat awam akan tercabar apabila terdapat pegawai menggunakan kuasa yang dimiliki untuk kepentingan diri sendiri.

Beliau berkata, hanya pegawai yang berpegang kuat kepada agama sahaja yang dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara terkutuk itu.

"Percayalah mereka yang melakukan perbuatan tidak bermoral ini akan sentiasa berada dalam keadaan takut, tertekan, runsing dan sentiasa ragu-ragu dengan keselamatan diri sendiri," katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin menggesa mereka agar menangani masalah itu secara menyeluruh menerusi penyuburan nilai murni dalam segala hal terutama tingkah laku.

"Tiada gunanya negara kita maju dan kaya dengan prasarana canggih tetapi muflis moral, etika, akhlak dan peribadi mulia," katanya.

ULASAN:
Harga diri seseorang itu banyak perkara, di antaranya:
1.Harga diri seseorang adalah akhlak mulianya
2.Nilai diri seseorang adalah peri kemanusiaannya yang tinggi
3.Kecantikan seseorang itu timbangrasa sesama manusia
4.Termasuk jati diri kemesraan dan budi bahasa
5.Yang lain-lain lagi berlebih kurang dan bertolak ansur di dalam pergaulan
6.Ilmu yang tinggi dihayati dan di amalkan, manfaatnya merata kepada manusia
7.Berlapang dada di dalam pergaulan, sabar berhadapan dengan kerenah manusia,
8.Hidup sederhana sekali pun kaya, bangga diri tidak ada di dalam sikapnya
9.Kekayaannya dapat dirasa bersama terutama orang yang memerlukannya
10.Boleh bergaul dengan semua golongan, tidak memilih-milih darjatnya
11.Dengan fakir miskin, dengan orang bodoh, cerdik pandai, kaya ada jawatan sama aja, ertinya boleh bergaul dengan semua golongan
12.Tidak mementingkan diri suka berkhidmat sesama manusia
13.Mudah memberi maaf, senang meminta maaf
14.Kejahatan orang dibalas dengan kebaikan
15.Berdendam tidak ada di dalam kamus hidupnya
16.Sentiasa tenang walaupun di dalam kesusahan
17.Kemarahan dapat ditahan hingga tidak dinampak oleh orang
18.Berkasih sayang adalah budaya hidupnya sekalipun dengan yang bukan Islam
19.Berkawan setia, dengan pemimpin atau orang tua dihormati
20.Dengan kanak-kanak disayangi, dengan keluarga sangat bertanggungjawab
Itulah kasih sayangnya kepada keluarga
Itulah di antara harga diri manusia
Itulah yang dikatakan jati diri
Itulah orang yang cemerlang, gemilang dan terbilang

22.5.2004
Menjelang tidur


Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer