Nabi Muhammad Saw Model Kasih Sayang.(2)


11/04/2006

**Suatu ketika seorang musuh bernama Dat`sur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di bawah pokok seorang diri. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata: "Siapa yang akan menyelamatkan nyawa kamu dari tanganku?" Rasulullah SAW spontan menjawab: "Allah!"
Mendengar jawapan Rasulullah itu, Dat`sur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.
Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya: "Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?"
Dat`sur tergamam dan menjawab: "Tiada siapa."
Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan dan melepaskan Dat`sur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah itu, Dat`sur pun mengucap dua kalimah syahadah.

**Pada ketika yang lain, dalam perjalanan menuju ke pasar, Rasulullah SAW melihat seorang budak sedang menangis di tepi jalan. Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak itu menjawab bahawa dia menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah hilang. Rasulullah SAW terus menggantikan duit yang hilang itu dengan duit baginda sendiri. Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak yang sama masih menangis. "Kenapa kamu masih menangis?" tanya Rasulullah SAW. "Kali ini saya menangis kerana takut dimarahi dan dipukul oleh tuan saya kerana saya sudah terlambat pulang dari pasar," jawab budak itu.
Untuk mengelakkan budak itu daripada dimarahi, Rasulullah SAW sendiri menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita. Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali memberi salam, barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW bertanya: "Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?" Wanita-wanita itu menjawab: "Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami mendapat doa daripada Rasulullah SAW banyak kali..."
Rasulullah SAW terus menerangkan mengapa budak itu lambat. Baginda meminta supaya budak itu tidak dirotan, tetapi sekiranya mereka tidak puas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan. Lantas Rasulullah SAW menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, kumpulan wanita itu lantas berkata:
"Ya ,Rasulullah. Mulai sekarang, kami merdekakan budak ini."

Itulah kesan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW .

**Rasulullah SAW berjiran dengan seorang Yahudi. Baginda sangat menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang menyakiti hati jirannya malah baginda selalu menghadiahkan makanan dan lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu. Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir zimmi. Baginda bersabda: "Siapa yang menzalimi kafir zimmi walaupun orang Islam sayalah pembela (penebusnya)." .

**Rasulullah SAW juga sangat mengasihi binatang. Baginda melarang kanak-kanak menyeksa binatang. Untuk menyembelih binatang, Rasulullah SAW berpesan supaya menggunakan pisau yang tajam, agar binatang tersebut cepat mati dan tidak lama dalam kesakitan.
Rasulullah SAW sering mengingatkan supaya unta-unta dan himar tidak dibebani oleh muatan yang berlebihan daripada apa yang sanggup ditanggung.
Ketika dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah di tahun kemenangan, Rasulullah melihat seekor anjing di tepi jalan. Anjing itu mengeluarkan suara seakan-akan membujuk anaknya yang sedang mengerumuninya untuk menyusu. Maka Rasulullah meminta seorang Sahabat untuk menjaga jangan sampai ada dari kalangan anggota rombongan baginda yang mengganggu anjing itu dan anak-anaknya.
Ketika Rasulullah melihat seekor himar yang telah diberi tanda dengan besi panas di mukanya, baginda menentangnya dan melarang haiwan diberi tanda dan dipukul di mukanya.

**Ketika Rasulullah meninggalkan kabilah Saqif, ada seorang lelaki yang memohon kepada baginda, "Wahai Rasulullah, berdoalah untuk kebinasaan mereka."
Rasulullah SAW sebaliknya berkata: "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kabilah Saqif dan bawalah mereka (ke jalan yang benar)."

Sekian.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer