Nabi Muhammad Saw Model Kasih Sayang.(1)


10/04/2006

Rasulullah SAW diutus oleh Allah SWT ke dunia " ini sebagai pembawa rahmat.
Firman-Nya yang bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk rahmat kepada sekalian alam." (Al Anbiya: 107)

Di bawah ini dipaparkan betapa agungnya cinta dan kasih sayang Rasulullah SAW kepada manusia bahkan juga kepada binatang. Bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam.

**Pernah seorang Arab Badwi meminta sambil menarik dengan kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas di leher baginda. Tetapi baginda tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.

**Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah. Namun Rasulullah tidak bertindak balas. Pada suatu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahinya. Dengan penuh kasih baginda bertanya khabar. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.

**Rasulullah pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, "Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?"
Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, "Barangsiapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi."

**Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-Sahbatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya: "Ke mana perginya si polan, si polan itu..."

**Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW, tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan Allah tunaikan 70 hajatnya."

**Pernah suatu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata: "Biarkan dia menyelesaikan hajatnya..."
Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah sendiri menjirus air ke atas najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.

**Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh ber-buat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut baginda telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit di sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata: "Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya." Selepas itu baginda berdoa untuk penduduk Thaif, " Ya Allah, berilah petunjuk bagi kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

**Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit pahanya dengan paha Rasulullah SAW. Baginda membiarkan sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.

**Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apaapa sebaliknya memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer