Monolog - Dengarlah Doaku


19/12/2005

Tuhan! Setiap doaku Engkau dengarlah .

* Tuhan memang mendengar setiap rintihan hamba-Nya. Cuma kadang-kadang engkau sendiri yang tidak rasa Tuhan sentiasa mendengar apa sahaja yang terlintas di hati dan fikiran engkau.

Setiap permintaanku Engkau terimalah dengan redha. Setiap rintihanku dengan sebab dosa, hapuskanlah dosaku. Penderitaan jiwaku memang dosa, kasihanilah aku.

* Tuhan memang menerima setiap permintaan hamba-Nya. Doa itu senjata orang mukmin. Tuhan sangat suka mendengar rintihan hamba-Nya. Terutama hamba-Nya yang berdosa. Ia bagaikan nyanyian seorang kekasih terhadap orang yang dikasihinya. Tetapi pastikan engkau bertaubat atas dosa-dosamu dahulu. Kemudian lakukanlah sedekah untuk menebus kembali kesalahan yang telah dilakukan.

Setiap kesungguhanku bermujahadah Engkau kiralah Walaupun aku lemah, memanglah hamba-Mu lemah, maafkan aku. Kelemahan itu memang sifat hamba Di sinilah dengan rahmat-Mu Engkau maafkan selalu. Atau setidak-tidaknya dengan kemaafan-Mu, Engkau gugurkanlah dosa-dosaku .

* Tuhan sangat mengambil kira tentang hamba-Nya. Setiap zarah kebaikan akan dihitung. Begitu juga setiap zarah kejahatan turut akan dihitung. Kesungguhan engkau bermujahadah, berhempas pulas dengan nafsu yang rakus dan ganas, Allah tahu dan akan menilai semua itu. Jika kita mengaku diri kita lemah, itulah sifat kehambaan namanya. Di situlah letaknya kasih sayang Tuhan. Dia mahu kita rasakan kita tidak punya apa-apa. Dan tidak ada kuasa apa-apa. Semuanya berjalan atas kehendaknya jua. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dosa dengan Tuhan, mudah bagi Dia untuk ampunkan tetapi dosa sesama manusia mesti diselesaikan di dunia lagi.

Aku bukan gembira dengan dosa-dosa yang aku lakukan. Tidaklah pula aku bangga dengan kebaikan yang aku buat. Apa yang berlaku itu ada maksud dari-Mu. Dengan dosa disuruh dukacita, begitulah sifat hamba. Dengan kebaikan disuruh bersyukur, kerana itulah anugerah kepada hamba.

* Sepatutnya kita merintih bersungguh-sungguh atas dosa-dosa yang dilakukan. Menangis membasahi pipi seperti orang-orang soleh zaman dahulu. Engkau patut irihati pada mereka yang merintih pada Tuhan bersungguh-sungguh sehingga adakalanya airmata itu menitis ke bumi. Mereka merasakan kebaikan yang mereka lakukan adalah milik Tuhan. Ia berlaku kerana Allah yang mengkehendakinya begitu. Manusia tiada daya dan upaya tanpa keizinan Tuhan. Bersyukurlah jika dapat berlaku taat di kala orang lain ramai yang masih ingkar pada Tuhan.

Pimpinlah aku selalu di dalam kehidupan ini. Kerana kehidupan di dunia selalu sahaja menipu. Kalau Engkau tidak pimpin aku tidak ada ertinya hidup ini. Dan kecundanglah aku di sana.

* Allah akan menjadi pemimpin bagi orang-orang bertaqwa. Tuhan akan ajarkan engkau berbagai ilmu jika engkau mengejar taqwa. Engkau akan selamat jika engkau mengejar taqwa. Taqwa itu ialah engkau kekalkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam jiwamu setiap ketika walau di mana jua. Engkau akan dipimpin Tuhan menuju jalan-Nya dalam mencari keredhaan Dia di dunia dan Akhirat.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer