Militan(3)

Kuliah Umum


05/01/2006

...sambungan

Biasanya tuduhan militan itu ditujukan kepada kelompok atau puak yang belum mendapat kuasa. Mereka itu mungkin ada cita-cita untuk menumbangkan kerajaannya. Sekiranya kerajaan tersebut berlaku kasar terhadap mereka dengan menggunakan kuasa polis dan tentera, ini tidak boleh dikatakan militan terutama kalau tujuannya ialah untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara. Tetapi apabila sesuatu kerajaan itu menggunakan kuasa polis dan tentera lebih daripada hadnya atau bertindak kerana tidak suka kepada sesuatu puak atau kelompok walaupun mereka tidak militan, ataupun mereka sengaja dituduh militan supaya boleh ditindak dan ditekan, ini juga tidak boleh dikatakan militan tetapi zalim atau menyalahguna kuasa.

Militan tidak semestinya salah, jahat atau negatif. Kalau sesuatu puak itu diserang dan dizalimi dan puak tersebut bertindakbalas secara bersenjata untuk mempertahankan diri dan haknya, itu adalah tindakan militan yang dibolehkan.

Dunia hari ini sibuk memperkatakan tentang militan. Di sesetengah negara, pemimpin-pemimpin mereka sampai pening-pening kepala memikirkan tentang militan ini. Lebih-lebih lagi setelah berlakunya peristiwa 11 September yang lalu, soal militan ini tambah dipandang serius oleh dunia, tidak kira dunia Islam mahupun dunia bukan Islam. Hingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun membincangkannya.

Yang sebenarnya, bukan hanya isu militan ini sahaja yang dihadapi oleh dunia pada waktu ini. Berbagai-bagai isu lain turut mengancam dunia. Tetapi oleh sebab isu militan ini lebih bahaya dan lebih menakutkan, itu sebab ia diberi lebih perhatian oleh dunia.

Tambahan pada itu, masalah militan ini membawa satu dimensi baru yang sangat mencabar para pemimpin dunia. Disamping ianya bahaya dan menakutkan, ianya juga rumit dan berat untuk diselesaikan. Kerana para militan ini ialah orang-orang yang berani mati. Orang-orang yang memang hendak mati. Mereka ini rela membunuh diri. Kalau diri sendiri pun sanggup dibunuh, membunuh orang lain senang sahaja.

Kalau para militan ini tak berani mati, lebih-lebih lagi kalau mereka takut mati, tak apa juga. Banyak perkara boleh diusahakan untuk mencegah kegiatan mereka, untuk menghalang, mengancam dan menakutkan mereka. Tapi kalau matipun mereka sudah tidak takut, apa benda lagi dalam dunia ini yang boleh menakutkan mereka? Bukankah mati itu perkara yang paling dibenci dan ditakuti oleh manusia. Oleh itu para militan ini tidak makan saman. Tidak takut diugut. Tidak takut diancam. Tidak takut dihukum. Tidak takut dibunuh dan tidak makan suap. Dalam ertikata yang lain, mereka ini tidak mudah hendak dibendung. Bagaimana hendak menghadapi manusia yang berani mati ini? Inilah perkara yang merisaukan dan memeningkan kepala para pemimpin dunia.

Dunia hari ini hendak mengugut manusia dengan undang-undang dan hukuman. Tetapi kalau manusia sudah berani mati, diugut dengan hukuman apapun tidak ada makna apa-apa. Kalau hukuman pun sudah tidak memberi apa-apa makna, apa ertinya undang-undang. Bukankah kekuatan undang-undang itu terletak pada hukumannya.

Nyatalah bahawa hendak membaiki, mengawal dan membendung manusia termasuk golongan yang militan ini dengan undang-undang dan hukuman sudah tidak berkesan. Kalau begitu, apakah kaedah yang terbaik untuk membaiki golongan militan ini? Mesti ada kaedah. Mesti ada ubat. Mesti ada jalan penyelesaian.

Jalan ahli fikir dan ahli filasuf yang digunakan selama ini sudah menemui jalan buntu. Ia jelas tidak mampu lagi untuk menangani masalah ini. Malahan bukan sahaja ia tidak mampu, bahkan semakin lama ia semakin memburukkan keadaan dan membuatkan masalah ini bertambah serius dan rumit. Tidak ada jalan lain, melainkan kembali kepada jalan dan cara yang telah ditunjukkan oleh para Rasul.

Manusia perlu diajak mengenali Tuhan . Bukan sekadar percaya sahaja tetapi mengenali Tuhan. Ramai manusia tidak kira apa bangsa percaya Tuhan itu ada tetapi mereka tidak merasakan begitu. Mereka tidak rasa dan tidak perasan bahawa Tuhan itu ada. Mereka tidak merasakan bahawa Tuhan itu ada peranan dalam hidup mereka. Mereka hanya tahu dan percaya. Manusia sudah tidak pedulikan Tuhan lagi. Mereka rasakan Tuhan sudah tidak relevan lagi dalam hidup mereka. Mereka sudah lupa Tuhan. Mereka sudah kehilangan Tuhan. Hakikatnya, ada atau tidak Tuhan itu, sama sahaja kesannya pada mereka.

Bila kenal Tuhan barulah jiwa hidup. Barulah hati dapat merasakan Tuhan itu berkuasa, menghidupkan, mematikan, menghukum, memerhati, melihat, menjaga, melindung, memelihara, memberi nikmat, memberi rahmat dan mendatangkan nikmah (bala). Barulah hati dapat merasakan bahawa Tuhanlah yang mewujudkan dunia ini. Tidak ada satu habuk pun yang tidak ada campurtangan Tuhan.


...bersambung

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer