Militan(1)

Kuliah Umum oleh: Mejar (B) Abu Zarim


03/01/2006

Sekarang ini dunia heboh tentang soal militan. Terutamanya Amerika Syarikat. Siapa sahaja yang mengganas dan yang menggunakan kekerasan terhadap negaranya atau negara sekutunya dianggap militan. Tetapi kalau Amerika atau sekutunya menggunakan kekerasan terhadap pihak lain, itu tidak pula dianggap militan. Dahulu istilah pengganas atau terrorist banyak digunakan. Tetapi sekarang ini istilah militan nampaknya lebih popular.

Istilah militan sepatutnya tidak digunakan terhadap individu walaupun individu itu bersikap ganas atau militan. Ia lebih ditujukan kepada kelompok yang bertindak terhadap musuhnya secara ganas yang boleh menyebabkan kecederaan, kematian dan kemusnahan harta benda dan yang menimbulkan kebimbangan dan ketakutan di kalangan musuhnya.

Sesuatu kelompok yang dikatakan militan itu ialah yang membawa sesuatu ajaran, sama ada yang berdasarkan agama atau ideologi, yang ada pemimpin dan yang dasar perjuangannya ialah untuk mengajak atau menyuruh pengikut-pengikutnya bertindak terhadap musuh-musuh atau lawannya bila ada peluang sama ada secara fizikal atau dengan senjata.

Kalau sesuatu kelompok itu, ajaran dan kepimpinannya tidak mengajak atau tidak mendorong pengikutnya berlaku kasar pada musuhnya dan kalau berlaku pun hanya secara individu yang bukan diarah dan yang bertindak secara bersendirian tanpa diketahui oleh pemimpin atau kelompoknya, maka kelompok itu tidak boleh dikatakan militan.

Juga kalau satu-satu kelompok itu menyerang dan menentang musuhnya tidak secara fizikal atau tidak dengan menggunakan senjata tetapi hanya dengan membuat komen, kritikan dan teguran melalui kata-kata yang kesat, maka itu hanya boleh dikatakan kasar, bukan militan.

Sebelum kita memperkatakan tentang militan dan sebab-sebabnya, mari kita terlebih dahulu memperkatakan tentang manusia dan tabiat-tabiat semulajadinya. Iaitu sifat-sifat positif dan negatif yang lahir secara semulajadi daripada manusia itu sendiri.

Manusia sama ada secara individu mahupun secara berkelompok, sama ada kelompok itu berdasarkan bangsa, etnik, kelompok agama atau kelompok yang mempunyai satu cita-cita, dapat melahirkan sifat baik atau jahat atau dapat bersikap negatif atau positif hasil daripada kepimpinan, pendidikan, pelajaran yang diajar atau keyakinan dan pegangannya atau hasil daripada pengaruh suasana dan alam sekeliling sama ada tempat tinggal atau suasana masyarakatnya.

Sedangkan benih-benih semulajadi yang Tuhan jadikan pada manusia itu seperti sifat-sifat malaikat, haiwan dan syaitan akan hidup subur dan akan bertindak dalam kehidupan masyarakat hasil dari kepimpinan, pendidikan, pelajaran, keyakinan dan pegangan masyarakat itu atau akan disuburkan oleh suasana dan alam sekeliling.

Manusia yang lahir di kawasan pergunungan tentu berlainan watak dan sikapnya dari manusia yang duduk di bandar. Begitu juga manusia yang duduk di kampung, wataknya tidak akan sama dengan manusia yang duduk di padang pasir atau di hutan. Ini kerana suasana tempat tinggal boleh membantu mencorak manusia. Contohnya, secara sepintas lalu, orang yang duduk di gunung, padang pasir atau hutan mempunyai sifat yang tangkas, lasak dan berani. Orang yang lahir di kampung berwatak sederhana dan agak lembut. Yang duduk di bandar pula tidak tahan diuji dan tidak tahan susah sebab dilahirkan dalam suasana mewah dan selesa. Bahkan beraninya pun tidak sama. Inilah perbezaan sifat yang disebabkan oleh pengaruh suasana dan alam sekeliling.

Walaupun begitu, manusia yang lahir daripada kepimpinan, pendidikan, pelajaran dan yang mempunyai keyakinan dan pegangan mempunyai sifat-sifat yang lebih kuat dan teguh sama ada yang negatif mahupun yang positifnya. Sifat-sifat ini sukar untuk diubah. Berbeza dengan manusia yang dibentuk oleh suasana dan alam sekeliling, sifat-sifat mereka ini tidak teguh dan tidak kuat mencengkam. Apabila tukar tempat, mereka akan berubah.

Begitulah gambaran semulajadi manusia yang melahirkan sifat negatif atau positif. Perkara baik dan buruk sudah ada. Cuma hasil didikan dan pengaruh alam sekeliling akan menyuburkan sifat-sifat sama ada yang baik atau pun yang buruk itu.

Kalau sesuatu kelompok atau orang yang duduk di padang pasir atau di gunung-gunung melahirkan sifat kasar dan keras hati, ini berlaku bukan dengan niat. Dia sendiri pun tidak sedar. Dia tidak berniat untuk berlaku dan berakhlak kasar. Apabila bertemu dengan orang bandar, agak susah untuk bergaul kerana dia kasar. Ini tidak boleh dikatakan militan.

Kelompok yang duduk di kampung yang dipenuhi dengan sumber air dan pokok-pokok yang menghijau, berwatak lemah lembut, tenang dan tingkah laku mereka sederhana. Tentu agak senang sedikit bergaul dengan orang bandar sebab dia tidak merempuh. Kelompok ini tidak pula boleh dikatakan baik. Alam sekitar yang membuatnya jadi begitu. Baik yang macam ini tidak tahan diuji. Bila dicabar, kebaikan ini akan hilang dalam sekelip mata. Kelompok ini hanya dididik oleh alam sekitar dan bukan melalui kepimpinan.

Ada sesetengah kelompok, oleh kerana suasana yang mendidiknya, dia menjadi lembut. Akan tetapi dia tetap tabah dan tahan uji apabila dicabar macam orang-orang Asli. Mereka ini tahan lasak, tabah dan cergas walaupun lembut.

Biasanya orang atau kelompok yang jadi militan ialah yang ada cita-cita, yang ada ideologi, yang ada pimpinan, ajaran, keyakinan dan pegangan sama ada ianya berdasarkan agama, ideologi atau rasa sakit hati kepada sesuatu golongan yang lain. Kelompok yang tidak ada pimpinan, yang hanya dididik oleh suasana dan alam sekitar, biasanya tidak akan menjadi militan. Mereka hanya akan menjadi kasar dan keras hati. Kalau berlaku pun, bukan secara jemaah atau kelompok tetapi secara individu

...bersambung

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer