Merokok Perkara Tuhan Tak Suka, Tak Ada Kasih Sayang Tuhan


25/09/2006

Rakyat Malaysia belanja RM90 juta sebulan beli rokok
Oleh Suhana Abdul Mutalib: Utusan Malaysia

SHAH ALAM 24 Sept. Rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM3 juta sehari atau RM90 juta sebulan untuk membeli rokok.

Menyedari fenomena membimbangkan itu, kerajaan Selangor dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menganjurkan kempen khusus sempena bulan Ramadan ini untuk menggalakkan orang ramai terutama umat Islam berhenti merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, jika dalam tempoh berpuasa perokok boleh mendisiplinkan diri tidak merokok, tidak mustahil untuk mereka terus meninggalkan tabiat yang bukan sahaja mengancam kesihatan tetapi juga pembaziran.

Saya terkejut apabila angka itu didedahkan oleh Pengarah HTAR, Dr. Yahya Babai, cuba bayangkan RM3 juta sehari, kalau didarab sebulan dah jadi RM90 juta, kalau setahun? katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, memandangkan pada siang hari umat Islam berpuasa, jadi beliau amat berharap kempen ini akan berjaya dilaksanakan seterusnya mengelakkan perbelanjaan merokok di kalangan masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid di seluruh negeri agar menjadikan masjid sebagai kawasan larangan merokok.

Katanya, arahan itu diadakan bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih sihat terutamanya di tempat suci seperti masjid yang mejadi tumpuan orang ramai untuk beribadah.

Jika pemeriksaan ke masjid-masjid mendapati ada disediakan tempat abu rokok, tindakan disiplin akan diambil, kita mahu masjid bebas sepenuhnya dari kawasan merokok, katanya.

ULASAN:

Kehidupan dalam Islam tidak terlepas dari lima hukum. Apa sahaja yang kita buat atau lakukan tertakluk kepada salah satu dari lima hukum tersebut sama ada hukum wajib, sunat, haram, makruh atau harus (mubah). Hukum wajib, seperti solat lima waktu, kalau dibuat dapat pahala dan kalau ditinggalkan berdosa. Kedudukannya, tidak dapat tidak, mesti dibuat. Hukum sunat seperti solat dan puasa sunat, kalau dibuat dapat pahala dan kalau ditinggalkan tidak ada apa-apa. Kedudukannya, elok dibuat. Hukum haram, seperti meminum arak, berjudi dan berzina contohnya, kalau dibuat berdosa dan kalau ditinggalkan dapat pahala. Kedudukannya, tidak dapat tidak, mesti ditinggalkan. Hukum makruh, seperti menghisap rokok, memakan makanan yang berbau busuk dan sebagainya, kalau ditinggalkan dapat pahala dan kalau dibuat, Allah tak suka.

Kedudukannya, elok sangat ditinggalkan. Hukum harus atau mubah pula seperti makan, minum dan tidur contohnya, tepuk dada tanya selera. Dibuat tak apa, ditinggalkan pun tak apa. Tetapi seboleh-bolehnya amalan yang harus juga hendaklah kita jadikan ibadah supaya ada ganjaran pahala darinya. Untuk melayakkan sesuatu amalan itu menjadi ibadah walaupun amalan yang harus, supaya ada nilaian pahalanya, ia mesti menepati lima syarat.

Kalau lima syarat ini ditempuh, maka apa yang kita buat dan diusahakan itu dianggap sebagai ibadah. Ada pahala.
Pertama; niatnya kena betul iaitu kerana Allah Taala semata-mata.
Kedua; perlaksanaannya kena betul dan dalam melaksanakannya tidak terlibat dengan perkara-perkara atau aktiviti yang ditegah atau yang haram.
Ketiga; natijahnya kena betul iaitu hasil dari usaha itu tidak timbul atau tidak membawa kepada hal-hal yang haram.
Keempat; apa yang dibuat atau yang diusahakan itu tidak salah dan tidak haram di sisi syariat Islam.
Kelima; ibadah asas seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan sebagainya tidak ditinggal atau diabaikan.

Di antara perkara yang hendak dibincang di sini ialah tentang amalan makruh. Atau secara tepatnya tentang penerimaan dan fahaman sesetengah umat Islam tentang ibadah makruh. Kalau disarankan supaya amalan makruh itu ditinggalkan, maka akan terdengarlah ungkapan-ungkapan seperti berikut: Alah, ini tak apa. Makruh sahaja.
Atau Alah, apa nak bising tentang benda yang makruh. Yang haram pun banyak lagi kita buat.

Ramai umat Islam tidak terdorong untuk meninggalkan yang makruh. Walhal berbuat yang makruh itu Tuhan tak suka. Walaupun tidak jatuh dosa tetapi apakah kita suka berbuat sesuatu yang Tuhan tidak suka. Kalau ayah, ibu atau isteri kita tak suka kita pun, kita sudah menderita. Hatta kalau anak kita sendiri tak suka kita pun, terasa juga kecewa di hati kita. Inikan pula kalau Tuhan tak suka.

Ada pepatah Melayu yang berbunyi Siakap, senohong, gelama, ikan duri. Cakap bohong lama-lama mencuri. Mula-mula buat salah laku yang ringan. Bila sudah terbiasa dan sebati, meningkat kepada salah laku yang lebih berat. Ramai penagih dadah yang sudah sampai ke tahap menyuntik dadah heroin terus ke pembuluh darah, asalnya hanya menyedut dan menghidu sahaja asap heroin tersebut menerusi hidung. Sebelum itu dia menghisap candu. Sebelum candu dia menghisap ganja. Sebelum ganja dia menghisap rokok. Jadi, pokok pangkalnya ialah rokok. Mungkin dia telah pernah ditegur supaya berhenti merokok. Mungkin juga dia telah menjawab: Alah, makruh sahaja. Bukannya haram. Bukannya berdosa.
Ada kemungkinan yang sangat besar kalau menjual dan menghisap rokok itu diharamkan di negara kita, jumlah penghuni pusat serenti mungkin berkurangan hingga separuh. Jenayah-jenayah petty juga mungkin akan banyak berkurangan. Kerana kita sudah basmikan langkah pertamanya atau initiation phase bagi penagih dadah iaitu amalan merokok. Sembilan puluh sembilan peratus penagih dadah menghisap rokok atau pernah menagih rokok. Yang makruh akan membawa kepada yang haram atau setidak-tidaknya kepada mudarat.

Tidak hairanlah Allah tidak suka kita melakukannya. Justeru itu, tidak ada sebab mengapa usaha meninggalkan amalan-amalan yang makruh itu dipandang kecil atau diremehkan. Apa yang Allah tidak suka tidak akan membawa kepada apa-apa kebaikan malahan akan hanya membawa kepada mudarat. Apa yang Allah tidak suka tidak akan membawa kepada rahmat dan kasih sayang Allah. Apatah lagi kalau apa yang makruh dan yang Allah tidak suka itu dibuat secara berterusan dan dikekalkan sepanjang hidup, maka sepanjang hidup kitalah ada perkara pada kita yang Allah tidak suka.

Begitulah juga di antara kita dengan Tuhan. Sikap mendahulu dan membesarkan Tuhan mesti ada. Suka berbakti dan berkhidmat dengan Tuhan itu mesti ada. Sikap tidak berkira dengan Tuhan mesti ada. Ini semua ialah bukti rasa hamba kita kepada Tuhan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer