Menyingkap Kehebatan Rasulullah Disebalik `ummiy`


09/04/2006

Bahagian 3

Mari kita lihat pula kaedah menuntut ilmu melalui proses luar biasa ini. Rasulullah itu digelar Ummiy kerana padanya diberikan ibu segala ilmu. Sepertimana Al Fatihah dikatakan Ummul Kitab, kerana di dalamnya adalah intipati Al Quran, begitu jugalah dengan Rasulullah, di mana wahyu yang diturunkan kepadanya adalah ibu segala ilmu . Oleh kerana apa yang dianugerahkan kepada Rasulullah itu adalah ibu ilmu, ia tidak boleh diterima melalui proses biasa. Ibarat seorang yang ingin mengail ikan yang besar, mestilah menyediakan kail yang besar dan kuat, umpan yang baik, tali kail mestilah kemas dan tahan, peralatannya mestilah gagah dan sesuai dengan ikan yang hendak dikail.

Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Tuhan sepertimana Rasulullah mendapat wahyu, tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera yang ada serta alat-alat bantuan seperti TV, video dan lain-lain. Tetapi ilmu laduni atau ilham yang Allah anugerahkan pada seseorang adalah diajar terus kepada ibu dirinya iaitu akal dan roh . Ini adalah satu realiti yang berlaku kepada orang-orang yang dikehendaki Tuhan iaitu ada orang-orang yang akalnya diproses tanpa melalui proses belajar secara biasa. Ilmunya bukan dari sumber membaca dan menulis. Melalui taqwa manusia dipandaikan tanpa sekolah. Itulah proses yang dilalui oleh imam-imam dan para mujaddid.

Cuba kita lihat, Imam Sayuti dapat mengarang 600 kitab dalam usia 40 tahun. Katalah dia mula menulis sejak usia 20 tahun, bererti dalam 20 tahun dia telah menulis 600 kitab-kitab besar. Ini bererti dalam setahun dia mengarang 30 kitab. Kalaulah dia menuntut ilmu melalui proses biasa, dari segi logiknya apakah dia mampu untuk menulis sebanyak itu?

Jika kita banding dengan profesor hari ini, hanya menulis satu atau dua buah buku, sudah cukup untuk dapat title profesor, sedangkan tulisan itu mempunyai bibliografi atau rujukan yang berjela-jela. Bererti dia bukan membawa ilmu baru tetapi menyusun semula ilmu orang lain yang dikumpulkan dan disalin dan disusun semula. Tetapi jika dibaca kitab-kitab imam-imam besar ini, kitab-kitab mereka tidak ada rujukan (tidak ada reference, bibliografi) sebab ilmunya tulen dari Tuhan. Tuhan yang pandaikan mereka, seperti Imam Ghazali menulis Ihya` Ulumiddin hanya dalam masa 40 hari bersuluk.Bila belajar melalui proses luar biasa ini.,hasilnya juga luar biasa,ianya cepat,tepat dan terjamin kebenarannya.

Kita juga membaca sejarah luarbiasa tentang Mimar Sinan di Turki.Di mana dia yang asalnya hanya seorang penjaga kuda Sultan,tetapi apabila diilhamkan,yakni dipandaikan oleh Tuhan secara karamah melalui mimpi,paduan akal dan roh yang dicerdikkan oleh Tuhan mengnasilkan seorang arkitek yang berjaya membina Blue Mosque yang , kini menjadi lambang kebanggaan Turki. Rupanya belajar melalui kaedah luar biasa ini mampu menghasilkan pulangan yang luar biasa. Mana mungkin seorang penjaga kuda boleh bertukar menjadi arkitek hanya melalui ilmu yang diperolehi melalui mimpi?

Tetapi oleh kerana Tuhan yang berkehendak, tidak ada yang mustahil. Itulah hasil belajar secara roh, telah terbukti bahawa penguasaan ilmunya lebih luas dan cepat . Kesimpulannya, sekarang barulah kita mengerti bahawa bila dikatakan Rasulullah itu Ummiy ,bukan bermakna buta huruf tetapi membawa maksud ibu atau sumber . Yang membawa erti bahawa beliau adalah sumber ilmu, sumber kebaikan, sumber rezeki, sumber bantuan, sumber kemenangan, sumber kasih sayang dan lain-lain. Beliau adalah sumber segala-galanya . Yang kita bahaskan di sini hanyalah satu sudut sahaja iaitu dari sudut sumber ilmu. Itu pun sudah cukup untuk memperlihatkan kehebatan Rasulullah dan proses menuntut ilmu cara luar biasa ini.

Layaklah Rasulullah itu menjadi sumber segala-galanya kerana sedari diciptakan Adam lagi, sewaktu Allah memperkenalkan nama-namaNya dan ciptaan-Nya kepada Nabi Adam a.s. maka terpandanglah oleh Nabi Adam kalimah Nur Muhammad, lalu bertanyalah dia pada Tuhan, siapakah itu? Maka jawab Tuhan, itulah Nur Muhammad dan kerana kemuliaan dan kesuciannya itulah Nabi Adam dan seluruh makhluk lain diciptakan. Ini bererti Nur Muhammad iaitu roh Rasulullah itu adalah sumber segala-galanya.

Malah Nabi Adam manusia pertama ciptaan Tuhan nisbah jasad pun terpaksa akur dengan kemuliaan Rasulullah yang merupakan Rasul penutup. Tidak sempurna pengenalannya selagi dia tidak diperkenalkan kepada Nur Muhammad.

Sungguh tepat dan layaklah Rasulullah itu mendapat gelaran Ummiy yang melambangkan kebesaran dan kemuliaannya. Selawat dan salam kami sembahkan padamu ya Rasulullah Nabiyyul Ummiy...

Sekian.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer