Mengembalikan Remaja Ke Pangkuan Kemuliaan- Bhg 5a


27/08/2005

BERILAH MEREKA KASIH SAYANG DENGAN CARA YANG TEPAT

Kategori cara pemberian kasih sayang

Hari ini, kebanyakannya anak-anak itu rosak kerana dia hendak bahagia, mahukan kasih sayang. Ada anak-anak yang rosak kerana tidak mendapatkan kasih sayang, jadi mereka hidup sangat terbiar, ada pula yang mendapatkan kasih sayang tapi secara salah, hingga merekapun rosak kerana kasih sayang diberi secara tidak tepat.

Dalam mempersembahkan kasih sayang ini, bukanlah satu hal yang mudah.Ianya perlu kepada ilmu dan pengalaman. Bila dikatakan kasih sayang, ada kasih sayang yang diberi tetapi kasih sayang itu tidak terasa padahal itu kasih sayang. Ada pula kasih sayang yang diberi, cepat dapat dirasa, tapi boleh membawa kerosakan pada anak.

Fitrah manusia sama, hanya ada yang kuat dan ada yang ringan. Di antara fitrah semulajadi itu ialah inginkan kasih sayang. Bahkan kasih sayang itu lebih diperlukan dari makan dan minum, pakaian dan lain-lain lagi. Kasih sayang merupakan makanan jiwa. Sesetengah orang, oleh kerana dia tidak kenal Tuhan, tidak cinta dan takut Tuhan, bila tidak dapat kasih sayang, boleh jadi gila, kecewa dan putus asa. Kecuali orang yang cinta dan takut Tuhan, yang kalau tidak dapat kasih sayang dari manusia, dia tidak peduli.

Jadi kasih sayang rupanya penting untuk kebanyakan orang. Sebab itu kita pergi ke mana pun, kita harapkan kasih sayang. Cuma kerana tidak kenal Tuhan, walaupun kita hendakkan kasih sayang dari orang,kita sendiri tidak pandai memberinya. Oleh kerana kasih sayang ini diperlukan,(kerana ia makanan jiwa) maka sebab itu para penddik, guru-guru, pemimpin-pemimpin dan terutama ibu ayah, kena cuba beri kasih sayang pada anak-anaknya.Kalau kita ibu ayah, kena beri kasih sayang itu pada anak. Kalau guru, beri kasih sayang pada muridnya dan kalau pemimpin, kena beri kasih sayang kepada rakyatnya. Walaupun begitu, bukan semua golongan ini, pandai memberi kasih sayang. Tidak semua orang pandai memberinya. Pendekatannya kadang-kadang tidak sama. Kadang-kadang bila tidak pandai cara memberi kasih sayang, orang-orang yang jadi sasaran itu menjadi rosak. Macamlah kita beri makan pada anak-anak tanpa mengira apa kita beri makan, tidak ikut waktu atau displin, tidak kira ada zat atau tidak. Hendak beri,kita beri sahaja. Nampak macam baik tetapi hasilnya anak itu dapat penyakit kronik dan serius seperti barah, kencing manis dan lain-lain. Untung sekarung, ruginya segunung. Niatnya baik tetapi hasilnya tidak baik. Begitulah niat baik orang hendak beri kasih sayang pada seseorang itu, apabila tidak betul caranya, ia bukan lagi memberi manafaat.Memang kasih sayang itu, samada disedari atau tidak, ia ada hubungan dengan pendidikan.

Jadi kenyataannya ramai ibubapa, para pemimpin dan guru yang dalam usaha hendak beri kasih sayang telah merosakkan. Dalam hendak memberi kasih sayang, ibu bapa, para pemimpin, para pendidik tidak terlepas dari 3 faktor iaitu akalnya, nafsunya dan perasaannya. Bilamana seseorang itu cuba hendak beri kasih sayang pada orang hanya bersifat akal, nafsu dan perasaan tetapi tidak bertunjangkan iman maka rosaklah orang yang diberi kasih sayang itu. Kalau iman tidak berperanan, syariat Tuhan tidak menjadi teras dan penyuluhnya, maka bilamana para ibubapa, guru dan pemimpin hendak beri kasih sayang pada orang-orangnya maka rosaknya akan lebih banyak daripada baik.Inilah yang sedang berlaku pada dunia hari ini. Keadaan dunia yang sudah rosak ini adalah kerana tersalah cara pendidikan yang dipakai walaupun ada hubungan dengan kasih sayang.

Bila direnungkan,di dunia hari ini, pada umumnya orang memberi kasih sayang pada anaknya adalah dengan secara akal, perasaan dan nafsu.


1. Kasih sayang diberi secara akal

Kasih sayang yang diberi secara akal, banyak dilakukan oleh orang intelek dan ada kelulusan atau berpelajaran. Oleh kerana dia besarkan akalnya, maka apa pun dia hendak buat termasuk mendidik orang, dia rujuk pada akal. Apa kata akal,itulah yang diluluskan dan itulah yang jadi tindakannya. Sebagai contoh: Ada ahli akal yang berfikir, Orang yang saya hendak didik ini, kalau saya tidak beri kereta, payah hendak dididik. Nanti dia tidak sayang pada saya. Oleh itu untuk didik dia, saya akan beri kereta, pakaian dan lain-lain. Inilah yang akan merosakkan. Lagipun mana mampu kita hendak melayan kehendak semua manusia. Dia ukur secara logik. Paling tidak dia fikir, Aku hendak beri makan selalu pada anak didik. Itu pun boleh merosakkan.


2. Kasih sayang diberi secara perasaan

Ada pula orang yang mendidik orang, dalam hendak memberi kasih sayang, dia guna perasaannya. Dia ikut perasaan dia kerana merujuk pengalamannya. Katalah dia sudah alami masa dengan mak ayahnya dulu, kalau tidak diberi pakaian, walaupun ada pakaian yang elok lagi, sakit hatinya dan marah dengan mak ayah. Perasaan itulah yang dia ikut bila dia menjadi mak atau ayah. Bila dia dapat anak, dia terkenang sakit hatinya bila tidak dapat, maka dia beri anaknya pakaian. Walaupun dalam almari sudah ada 20 pasang baju. Bila diminta,dia beri lagi. Dia fikir, Kalau tidak beri, nanti dia sedih macam aku sedih dulu. Jadi kerana dia ada pengalaman dulu, yang mana dia rasa mak dia tidak sayang dia maka dia berilah. Untuk buktikan pada anaknya bahawa dia sayangkan anaknya itu.

Dia fikir, kalau dia ikut perasaan seolah-olah anak-anaknya atau muridnya atau rakyatnya akan baik. Jadi orang ini, kalau dia pemimpin, dia berpendapat hendak beri kasih sayang, hendak didik, bangunkan masyarakat dan untuk dapat rakyat yang baik,kenalah dia memberi-beri.Dia fikir, Dalam negara aku, mestilah aku bagi itu dan ini. Nanti rakyat akan taat dan baik, setia dan tidak akan lakukan jenayah. Dan rakyat akan patuh. Ada pemimpin begitu terutama pemimpin politik. Akhirnya jangka panjang, makan diri pemimpin itu sendiri.

3. Kasih sayang diberi secara nafsu

Tidak lagi mendidik secara akalnya dan perasaan. Dia mengambil panduan dari nafsu.Ini lagi bahaya. Kalau hendak ambil hati anak, murid atau rakyat, dia rujuk pada nafsunya. Atas dasar rangsangan nafsunyalah dia apply pada orang-orangnya. Bagi ibu ayah, bila rangsangan nafsu hendak diapplykan maka kasih sayang tidak ada batas lagi.Dia beri apa sahaja yang dia rasa. Lebih-lebih lagi ibu dan ayah terhadap anak perempuannya. Ikut sahaja bisikan nafsunya dalam hal pergaulan.Tidak ada batas antara ayah dengan anak perempuannya. Maka dia senang sahaja masuk bilik tanpa peraturan dengan alasan itu anaknya. Tidak kira waktu itu anaknya sedang tidur. Begitu juga mak terhadap anak lelakinya. Kononnya itulah cara hendak beri kasih sayang pada anak itu supaya senang didik. Walhal kaedah ini kalau diteruskan boleh jadi haruan makan anak atau anak makan mak. Kerana mendidik atau memberi kasih sayang tanpa batas.Ikut kehendak nafsu oleh kerana dia begitu maka begitulah juga cara hidup anak lelaki dan perempuannya hingga jadi sumbang muhram.

Itulah penjelasan yang dimaksudkan dengan pendidikan yang dibuat secara akal, perasaan dan nafsu. Oleh kerana tiga golongan ini tidak masukkan Tuhan dalam kehidupannya, akhirat tidak menjadi matlamat dan syariat tidak jadi displin mereka, akhirnya kaedah yang dipakai inilah yang telah merosakkan. Walaupun ada baiknya tetapi lebih banyak merosakkan anak-anak, murid-murid dan rakyat. Cara-cara pendidikan inilah telah dijalankan lebih kurang 700 tahun dahulu kepada umat Islam, hinggalah sekarang. Bila senjata sudah makan tuan, cacing sudah naik ke mata, mak ayah menjerit, apa dah jadi dengan anak-anak!
Guru menjerit, Mengapa murid sudah tidak taat. Kenapa murid jadi penjenayah dan perosak.
Pemimpin menjerit, Apa dah jadi pada rakyatku? Semua golongan sudah memekik dan menjerit, apa sudah jadi pada orang-orang mereka.
Itulah sebenarnya hasil perbuatan pendidikan mereka. Sudah beri macam-macam projek pun rakyat tetap tidak taat. Mereka tidak jumpa jalan keluar. Ini berlaku di seluruh dunia samada di negara Islam atau negara kafir.

.....akan bersambung....

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer