Mengembalikan Remaja Ke Pangkuan Kemuliaan- Bhg 6a


29/08/2005

KAEDAH TRANSIT,
KAEDAH MENGHADAPI REMAJA BERMASALAH

Berhadapan dengan remaja yang sudah rosak tidak sama dengan remaja yang belum rosak. Kalau remaja sudah rosak, daripada jahat, hendak jadi baik, tidak dapat dilakukan secara mendadak. Menghadapi hal ini kita perlukan 2 langkah pemulihan :

1. Pendekatan awal, di kawasan transit

2. Pendidikan untuk dibawa ke satu keadaan cinta Tuhan dan takut Tuhan, langkah kedua ini dilakukan apabila remaja tadi sudah cukup stabil keadaannya.

Pendidikan langkah kedua adalah pendidikan dalam kes umum, dan tidak akan dibahas disini, sila rujuk buku Pendidikan Rasulullah karya ASIAMAT,

Kaedah Transit, Kaedah Peralihan

Budak yang sudah rosak, yang bermasalah, bila kita terapkan terus disiplin yang ketat, tidak akan berkesan. Mereka tak akan sanggup berlama-lama belajar secara formal di kelas. Mereka lebih suka sembang-sembang dan lepak-lepak. Sebahagiannya bahkan sudah tidak boleh diajak berfikir. Waktu jiwa sudah rosak, otak tidak boleh dipakai lagi. Kita kena tawan jiwanya dahulu. Kuliah hanya dibuat sebelah pagi sahaja. Remaja seperti ini, bila dengar ada peraturan, mereka sanggup lari. Kalau kita cakap undang-undang, itu cukup menyakitkan mereka. Undang-undang, hukuman yang tegas akan membuat mereka bertambah liar. Segala kaedah yang tegas akan membuat mereka bertindak balas lebih ganas.

Remaja yang sudah rosak, senang dengan hiburan rosak, mereka tidak akan sanggup untuk berubah secara mendadak dari rosak terus ke baik sangat. Oleh itu, pada peringkat awal, hendak mengalihkan mereka dari kiri ke kanan, kita bawa mereka dari rosak, kepada keadaan transit. Keadaan atau kawasan transit, atau kawasan neutral ini ialah dimana kita berikan mereka didikan dengan menggunakan perkara-perkara yang harus. Misal, mereka suka pada hiburan, maka di kawasan transit ini kita berikan mereka hiburan-hiburan yang diharuskan dalam Islam yakni tidaklah salah dan tidaklah baik tetapi harus. Kita beri mereka barang atau perkara yang harus, dimana perkara yang harus ini, orang yang jahat dan yang baik boleh terima. Misalnya : belanja makan, tidur di hotel dengan diawasi, ke pantai, jala ikan,dll. Bila mereka sudah stabil, barulah mereka ditingkatkan kepada yang baik.

Perlu diingat bahwa kita tidak boleh confident melulu, sebab yang kita hadapi ialah perasaan-perasaan mereka, keinginan-keinginan mereka sedangkan kita sendiri sedang berdepan dengan masalah keinginan-keinginan kita yang kadang-kadang kita tidak mampu kawal. Ini adalah cabaran yang sungguh besar. Kita berada satu seberang sungai manakala mereka di satu seberang lagi. Kawasan transition itu adalah air yang sangat merbahaya. Kalau kita tidak pandai kemudi, kita akan hanyut. Lebih-lebih lagi bila kita berhadapan dengan kes-kes dadah, bohsia, bohjan, HIV, dll. Oleh itu marilah kita menambahkan takut kepada Allah kerana atas takut itulah Allah berjanji untuk mengajar kita untuk selesaikan masalah ini. Marilah kita usahakan untuk dapat taqwa, untuk sembahyang kusyuk, untuk berzikir, mudah-mudahan Tuhan membantu usaha kita

Beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam melaksanakan kaedah transit ini adalah sebagai berikut :

1. Kasih sayang adalah pengisiannya

Kawasan transit adalah kawasan di mana kita hendak menarik anak-anak kita dari kawasan gelap ke kawasan terang. Dalam tempoh transit ini, kasih sayang adalah pengisiannya. Maka kita perlu berikan kasih sayang yang murni dan global walaupun mereka bukan darah daging kita. Sebagai manusia yang bertanggung jawab pada Tuhan, patut kita merasa sedih bila remaja tidak mengenal Tuhan, jauh dari kehidupan seperti yang Tuhan kehendaki. Kalaulah kita dapat bayangkan, bagaiman perasaan ibu ayah mereka yang mungkin menangisi anak-anak mereka setiap malam. Marilah kita hayati, untuk kita merampas mereka semula dari satu kawasan rohaniah yang sangat jauh dari kita.

Kasih sayang yang diberikan secara tidak tepat juga akan menimbulkan masalah baru. Oleh itu setiap orang tua, pendidik, pemimpin memerlukan ilmu yang tepat tentang kasih sayang yang berlandaskan Tuhan dan syariatNya. Panduan tentang cara memberi kasih sayang yang tepat dapat dirujuk pada bab yang awal dalam buku ini : Berilah mereka kasih sayang dengan cara yang tepat.

2. Kenalkan Tuhan sebelum syariatNya

Dalam kuliah-kuliah rasmi dan tidak rasmi banyakkan cerita tentang Tuhan. Jangan beratkan soal ibadah sunat. Selesaikan ibadah asas tapi banyakkan cerita tentang Tuhan. Sebaiknya huraikan apa yang mereka amalkan seharian. Huraikan apa itu azan? Apa pentingnya azan? Ajak mereka memahami bahawa azan itu besar. Selama ini bila azan dia boring sebab dia tidak faham. Ceritakan tentang kebesaran Allah melalui lafaz Allahu Akbar.

Program ibadah, digilir-gilirkan Imamnya kemudian bacalah doa dengan suara yang kuat. Kadang-kadang dalam bentuk arahan, arah mereka hafal doa umpamanya, mereka tidak akan ikut. Bila dibuat bukan dalam bentuk arahan, mereka akan buat.

3. Jangan mengherdik, jangan menghina

Dalam menghadapi pelajar, approach mesti tepat, dimana kata-kata guru mesti dituju pada hati mereka. Hindari dari mengherdik, menghina, sebab selama ini mereka sudah rasa terhina. Walau mereka melakukan kejahatan, namun fitrah mereka sangat merasa terhina bila disebut orang jahat. Stail mengarah-mengarah, mengugut-ngugut, bahkan kalau kita mengherdik, misal kita kata: tak sedar diri, kita tengok nanti dia akan bertindak balas.

Walaupun tujuan guru baik, tapi bila cara menyampaikannya salah, prejudis dengan murid, maka hasilnya akan jadi lain. Contoh, untuk memberikan kesedaran pada murid yang memang kuat merokok, tentang bahaya merokok, seorang guru meminta pelajarnya membaca sebuah tulisan dalam akbar bertajuk rokok dapat mendorong seorang untuk merogol. Walaupun niatnya baik, apabila guru meminta pelajar tersebut membacanya sambil berkata : ini ada kaitan dengan kamu. Sekarang rokok, nanti rogol. Tentu akan marahlah pelajar tersebut. Oleh itu Cara guru bercakap kenalah tepat. Orang sakit kalau ditikam lagi bertambah sakitnya. Teknik pendekatan perlu dibetulkan.

Apabila diminta membacakan berita-berita yang menakutkan dalam akhbar, guru perlu betul cara pendekatannya kepada anak murid supaya anak-anak murid faham. Contohnya terhadap kes rogol di atas, guru boleh kata:

Masyarakat kita telah rosak semuanya. Termasuk umat Islam. Kitalah yang bertanggungjawab untuk membaikinya. Sama-samalah berusaha membaikinya. Tidak ada orang lain lagi yang hendak bertanggungjawab. Cikgu cakap ini supaya kamu ada rasa hendak membela. Hendak menyelamatkan.

Mendengar perkataan guru seperti itu, tentu sejuklah hati anak didik. Dengan sangka baik dandorongan dari guru, akan bertambahlah kekuatannya untuk segera berubah menjadi anak yang baik.

....akan bersambung...

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer