Mengembalikan Remaja Ke Pangkuan Kemuliaan - Bhg 4


26/08/2005

PENDIDIKAN BUKAN UNTUK MELAHIRKAN ORANG PANDAI

Dalam ajaran Islam, target pendidikan bukanlah hendak melahirkan orang pandai saja. Yang kita harapkan dari pendidikan, adalah lahirnya manusia-manusia yang :

berakhlak mulia,
bersungguh-sungguh dalam beribadah,
benci dunia,
boleh berkasih sayang,
bantu membantu dan
maju dalam pelajaran
.

Tetapi dunia hari ini hendak satu iaitu hendak orang pandai. Bila ia fokuskan itu, orang tidak fikir lagi kasih sayang, kerjasama, tidak fikir masa depan. Kalau hendak didik orang atas dasar pandai, senang. Hendak jadi syaitan atau jadi jin, tidak kira. Tetapi itukah yang kita hendak. Kalau manusia sudah rosak, apa nilainya lagi.

Apakah dunia boleh diselamatkan hanya dengan orang-orang pandai sahaja? Tentu tidak boleh. Bahkan ramai orang yang bertambah pandai, maka akan bertambah berat kejahatan yang dibuatnya. Tidak pandai pun tidak apa kalau akhlak dia baik, kalau orang cinta Tuhan, kalau ada kasih sayang dan perpaduan. Inilah rosaknya dunia hari ini. Hanya fikir macamana hendak dapat A, hendak dapat 5A atau 8A. Akhlak tidak fikir, kasih sayang, perpaduan, kerjasama, kejujuran tidak difikirkan.

Pelajar yang punya otak yang baik, barangkali dia boleh pandai tetapi belum tentu dia boleh buat kerja. Boleh jadi dia jumud. Belum tahu dia seorang yang boleh beribadah dengan baik. Belum tahu dia boleh berkasih sayang dengan semua orang. Belum tahu dia boleh sabar dengan semua ujian yang Allah berikan dan belum tahu dia boleh benci dunia. Jangan-jangan dia gila dunia. Kalau begitu, dia bukanlah calon pelajar terbaik. Jangan-jangan yang secara lahir kelihatan jahat itu seorang yang sangat boleh berkasih sayang dengan orang dan lebih bijak.

Namun sudut kepandaian inilah yang diambil oleh negara dalam menilai seseorang. Kerajaan menganggap kejayaan itu adalah berjaya dalam pelajaran. Sebab itu ditumpu ke arah itu. Pelajar yang pandai akan dibelai-belai, hingga akhirnya lahirlah manusia sombong. Dia rasa dia superman, sebab dilayan lebih istimewa dari pelajar yang tidak pandai. Kelas pun dibuat pemisahan berdasarkan kepandaian pelajar. Ini mengajar orang berkasta-kasta, ada kroni-kroni. Orang yang tercicir, dia tidak pedulikan. Datang sakit hati dan dendam. Betapa bahayanya kalau terjadi begitu.

Dalam mendidik dan menilai manusia, Islam tidak memandang hanya dari satu sudut. Kita mesti menerima setiap orang ada peranannya kepada masyarakat dan kepada dunia ini. Tidak seorang pun dilahirkan sia-sia. Maka setiap satu kelas elok dicampurkan. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Orang yang akalnya cerdik tidak mesti baik dalam hal-hal yang lain. Ukuran pendidikan bukan pada akal yang baik sahaja. Orang yang akalnya baik sahaja, mungkin dia boleh jadi pandai tetapi mungkin orang itu tidak boleh membuat perniagaan dengan jayanya. Sedangkan dunia memerlukan budayawan, korporat, pemimpin, cikgu dan lain-lain.

Kalau hendak adakan kelas, subjek tidak sama, itu boleh dipisah-pisahkan. Contohnya subjek berniaga, maka bolehlah dikumpulkan orang-orang yang sama-sama hendak belajar berniaga. Tetapi bila berkaitan dengan perkara bersama, itu elok dikumpulkan satu supaya tidak timbul konflik jiwa dan perasaan sebab kalau kita bahagi-bahagi berdasarkan akal semata, sedangkan perkara yang hendak diceritakan itu sama, kedua-dua puak rosak. Satu puak rasa tersisih, tidak dihargai. Mentang-mentanglah jahat. Puak yang satu lagi akan menjadi sombong. Sekali lagi pelajar tidak baik bila dipisahkan berdasarkan kepandaian. Kecuali kalau hendak belajar subjek yang tidak sama. Tetapi kalau subjek sama, dipisahkan atas dasar kepandaiannya, bahaya bagi semua golongan. Dua-dua golongan akan rosak.

Jangan kerana hendak selamatkan pelajarannya di umur muda, lupa bahawa nanti akan wujud kasta-kasta. Pengasingan yang selama ini dibuat ikut pandai atau tidak berdasarkan keputusan peperiksaan. Ia satu teori barat yang dipakai dalam sistem pendidikan. Macam sijil, itu adalah teori barat. Mengikut akal ada logiknya. Kalau ada sijil, kita tahu dia belajar. Tapi belum tentu pandai. Setidak-tidak, kita dapat kesan yang dia belajar. Side effectnya, orang yang pandai tetapi tidak ada sijil dikorbankan. Kita akui sijil itu membuktikan dia belajar. Tetapi apa akan berlaku kepada orang yang pandai tetapi tidak ada sijil? Karena ukurannya sijil,akhirnya orang pandai tak bersijil tak dimanfaatkan oleh negara. Ertinya negara tak gunakan aset dari Tuhan untuk negara tersebut.

Kalau kita lihat sejarah zaman kegemilangan Islam di beberapa negara Arab di Timur Tengah, kesan-kesan sejarah menunjukkan dalam sebuah masjid itu ada 5-6 kelas di penjuru-penjuru masjid. Itu bukan dikatakan ini budak Sains sahaja atau budak sastera sahaja. Siapapun boleh masuk di situ. Katalah ada yang hendak belajar dengan Hassan Basri, maka dia pergilah belajar subjek pagi itu tidak kira berapa umurnya, walau apa pun kategori manusianya. Sistem itu melahirkan manusia syumul.

Ada satu kisah menarik, realiti sejarah. Waktu Sayidina Ali menjadi Amirul Mukminin, khalifah yang keempat, waktu itu Islam sudah menjadi empayar. Pusat pemerintahannya di Iraq. Ada sebuah masjid terkenal di Basra.Satu hari, Sayidina Ali pergi buat melawat masjid itu. Masa itu ramai lagi sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang masih hidup tetapi sudah tua. Ada yang berumur 80, 90 dan 100 tahun. Saidina Ali melawat Masjid Basra. Antara yang mengajar di masjid itu ialah Hassan Al Basri yang waktu itu baru berumur 12 tahun. Sayidina Ali terkejut. Yang belajar itu ada yang muda-muda, yakni golongan tabiin, ada juga di kalangan Sahabat yang menjadi murid Hassan Al Basri. Jadi yang menjadi muridnya, ada yang berumur 20 tahun dan ada yang berumur 90 atau 100 tahun. Yang mengajar berumur 12 tahun iaitu Hassan Al Basri, seorang ulama besar. Sayidina Ali buat spot check kepada guru-guru yang sedang mengajar di setiap penjuru mesjid. Jadi orang semua tidak bersedia. Kalau tidak, tentu tidak buat kelas hari itu sebab pemimpin datang. Sayidina Ali buat satu soalan dan siapa yang boleh jawab soalan, boleh terus mengajar. Kalau tidak boleh jawab, tidak boleh mengajar lagi di masjid itu. Sedangkan semua yang ada itu adalah ulama besar.
Soalannya ialah, Apakah yang boleh menyelamatkan manusia daripada tipuan dunia? Seorang pun tidak boleh menjawab dengan tepat melainkan Hassan Al Basri. Dia kata, apa yang boleh menyelamatkan manusia ini daripada tipuan dunia ialah zuhud. Dengan perintah khalifah, semuanya tidak boleh mengajar lagi kecuali Hassan Al Basri. Itulah kehebatan pemerintahan Islam waktu itu. Muda-muda lagi sudah jadi ulama.

Cara Barat menetapkan keistimewaan hanyalah pada kemampuan akalnya. Ini sangat tidak sesuai untuk manusia sebab bagi manusia akal itu bukan keutamaan. Raja diri manusia itu ialah rohnya. Jadi kita hendak cari siapa yang paling tinggi rohnya, itu pelajar terbaik dalam kelas kita. Biasanya budak yang rohnya bagus, akalnya turut ikut bagus. Kalau ada yang akalnya best in the world, tetapi bila jin sudah masuk dalam hatinya, pada kita itu mereka itu syaitan sahaja. Menilai ruhiyyah manusia itu mesti dimasukkan dalam silibus. Sistem pendidikan mesti dapat melahirkan anak-anak yang kuat rohnya, terasah akalnya dan terdidik nafsunya.

Sekolah yang canggih bukan terletak pada kegagahan bangunannya, bukan pula pada sijil pensyarah-pensyarahnya. Secara mata lahir dan akal pun kita sudah melihat bahwa kegagahan bangunan sekolah tidak pun dapat menjadikan orang Islam dapat mengatasi bangsa lain. Kecanggihan sekolah adalah diukur sejauh mana sekolah itu dapat membawa pelajarnya pada Tuhan. Sejauh mana sekolah itu dapat melahirkan orang-orang Tuhan. Pendidik perlu benar-benar mengenal manusia yang akan dididiknya dan juga para pendidik mesti mengenal Tuhan agar ia dapat membawa anak didiknya menuju Tuhan. Jika hal ini benar-benar diberi tumpuan, insyaAllah, demi Tuhan yang Maha Kuasa, Tuhan tidak akan menyia-nyiakan usaha ini.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer