Mengatasi Kezaliman(2)


19/04/2006

Maka jelas berdasarkan jawapan tersebut bahawa kezaliman yang paling besar ialah bagi siapa saja yang tidak menyembah Allah SWT. Inilah kezaliman rohaniah. Kezaliman lahiriah yang tampak dan disaksikan setiap hari itu hanyalah manifestasi dari kezaliman besar ini iaitu tidak menyembah Allah SWT. Dosa, maksiat dan kemungkaran itu semua kerana manusia sudah tunduk kepada hawa nafsu dan tidak tunduk kepada Allah SWT. Membelakangkan agama dan syariat Allah itu adalah bukti bahawa kita berada dalam kezaliman yang amat besar. Kerana kita sudah tidak meletakkan diri kita tepat pada tempatnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Sebab itu ajaran Islam telah mengajarkan kepada umatnya bagaimana hendak menangani kezaliman. Ini yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Kita boleh lihat kaedah itu melalui pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab kepada tenteranya setiap kali berangkat ke medan peperangan. Pergi berperang itu ertinya satu cara melenyapkan kezaliman golongan kuffar.

Namun begitu tidak putus-putus Sayidina Umar memberi peringatan dengan katanya: "Hendaklah kamu lebih takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Kalau kamu mati di tangan musuh, hanya jasad bercerai dengan roh. Kalau kamu mati dengan dosa kamu itu akan membawa kamu ke Akhirat. Orang kafir itu dikalahkan oleh sebab kederhakaan mereka kepada Allah (zalim). Kalau kamu juga turut berdosa (zalim) kamu tidak dibantu oleh Allah SWT."

Sebenarnya Sayidina Umar mengajarkan kaedah paling tepat dalam meruntuhkan kezaliman iaitu bersihkan diri dari dosa dan maksiat sama ada yang lahir mahupun dosa batin. Lojiknya mudah sahaja iaitu tentulah tidak boleh mensucikan najis dengan air kencing. Hanya air mutlak saja yang dapat mensucikan najis. Air mutlak itu bersifat suci lagi mensucikan.

Di mana-mana saja sekarang ini kedengaran suara-suara lantang yang mahu meruntuh dan memusnahkan kezaliman. Apakah suara-suara itu datangnya dari mereka yang tidak zalim? Janganlah hendaknya berlaku di mana kezaliman pihak lain itu runtuh tetapi bertukar dengan orang lain yang turut menyuburkan kezaliman, cuma berlaku disudut yang berbeza. Kita yang inginkan musnahnya kezaliman tetapi turut bergelumang dalam kezaliman tetapi diaspek lain. Ertinya sama-sama zalim dalam sudut yang berbeza. Tidak hairan apabila di mana saja suara yang mahukan kezaliman itu runtuh namun bukan saja tidak berlaku malah bertambah berleluasa.

Sayidina Umar juga mengajarkan bahawa musuh itu dikalahkan oleh Allah kerana mereka derhaka (zalim). Ini dalam keadaan tentera Sayidina Umar sangat takut kepada dosa sendiri lantas mengadakan mujahadah pembersihan dosa sendiri dan membaiki diri hingga mereka layak dimenangkan oleh Allah SWT. Ertinya kuasa ghaib dari Allah yang berperanan mengalahkan musuh iaitu para penzalim.

"Apabila kamu (tentera Islam) turut sama berdosa(zalim) nescaya Allah SWT biarkan kamu kepada musuh. Pada ketika itu siapa yang kuat antara kamu akan menang." Jelas kepada kita bahawa kemenangan itu kerana kita layak mendapat pertolongan Allah SWT maka Allah SWT musnahkan para penzalim. Apabila kita juga turut zalim Allah SWT tidak bantu dalam mengalahkan musuh. Kezaliman akan runtuh tanpa jerit pekik dan laungan lantang. Kezaliman akan cepat runtuh cukup sekadar suara hati, rintihan hati, keluhan hati terhadap dosa sendiri sambil mendambakan keampunan dan RahmatNya. Bersungguh pula menjauhi dosa serta mengamalkan hidup bersyariat.

Apa yang wajar bagi kita ialah mengatur agenda hidup yang lebih baik. Kerana hati kecil kita memang menyetujui bahawa orang baik saja yang layak membaiki orang jahat.

Fitrah kita menerima dan meyakini hanya:

  1. Ulama yang baik dan bertaqwa (terpelihara) yang layak memberi tunjuk ajar.
  2. Umarak (pemimpin) yang baik dan bertaqwa yang layak memimpin umat.
  3. Pendakwah yang baik dan bertaqwa yang layak menyeru manusia.
  4. Ayah yang baik dan bertaqwa layak mendidik dan bertanggungjawab kepada anak-anak.
  5. Suami yang baik dan bertaqwa layak mengepalai isteri dan rumahtangga.
  6. Guru-guru yang baik dan bertaqwa layak mendidik para murid dan pelajar.
  7. Ketua-ketua jabatan yang baik dan bertaqwa layak mengendalikan urusan pekerja dan mentadbir urusan jabatan.

Sekian.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer