Mengapa Musuh Dijadikan Sandaran


20/05/2006

Utusan Malaysia 19 Mei 2006 Muka Hadapan - Malaysia Bantu Palestin Ekoran pembekuan kewangan Barat kerana tidak iktiraf kerajaan Hamas

Terpampang besar di hadapan akhbar utama tanah air tentang hasrat PM Malaysia untuk membantu rakyat Palestin dalam mengurangkan penderitaan yang mereka alami akibat pembekuan kewangan daripada AS, Israel dan Kesatuan Eropah terhadap kerajaan Hamas yang menerajui kerajaan pilihan rakyat Palestin sendiri. Menurut Pak Lah, Malaysia akan membantu sedaya mungkin rakyat Palestin dan berharap agar Barat mengubah pendirian terhadap kerajaan Hamas. Satu mesej simpati buat rakyat Palestin daripada pemimpin Malaysia, dan kita pun simpati sama terhadap apa yang telah berlaku di sana.

Namun satu persoalan timbul ekoran tindakan Barat menghentikan bantuan kewangan kepada kerajaan Palestin, wakil-wakil yang dilantik oleh Hamas telah menjelajah ke seluruh dunia Islam menagih simpati agar diberi bantuan bagi mereka, demi survival perjuangan yang mereka tegakkan menggambarkan kepada kita apakah selama ini penggantungan mereka lebih kepada musuh yang mereka tentang iaitu Israel yang disokong oleh AS dan Eropah. Sungguh tidak masuk akal, perjuangan menentang musuh nombor wahid, dalam masa yang sama menerima subsidi daripada mereka. Dan bilamana musuh tidak bantu, makin memuncak kebencian mereka terhadap musuh.

Keadaan bertambah buruk lagi dengan berlakunya perebutan kuasa antara 2 kumpulan iaitu Fatah dan juga Hamas sehingga memungkinkan timbulnya konflik perang saudara yang akan memudahkan kerja Yahudi hendak membereskan bangsa Palestin daripada mukabumi sendiri tanpa perlu bersusah payah. Kita pun pening, satu pihak mendakwa mereka berjuang atas jalan jihad Islam yang sebenar, begitu juga pihak yang satu lagi, tetapi dalam pada itu perebutan kuasa antara mereka semakin sengit dan tampak seperti tiada akan titik pertemuan persefahaman sesama mereka atas nama saudara seIslam. Perbuatan dan agenda mereka ini sangat meragukan, apakah benar-benar mereka mahu menegakkan fisabilillah, ataupun menggunakan nama jihad fisabilillah atas tujuan politik dan kepentingan mereka. Sebab pembuktian atas tindakan yang telah mereka lakukan selama ini menggambarkan kepada kita bahawa mereka mirip kepada gerakan-gerakan militan seperti pemberontak kontra di Amerika Selatan, gerakan IRA di Ireland, Tamil Tiger di Sri Lanka, Tentera Merah Jepun di Jepun, Pemberontak Pulo di Selatan Thailand dan lain-lain gerakan militan di seluruh dunia ini yang perjuangan mereka hanya bermotifkan kuasa dan rasa tidak puas hati.

Maka kebetulan pula di bumi Palestin, diduduki oleh Yahudi hasil tipu muslihat mereka terhadap rakyat Palestin diera 50 dan 60an dahulu, di mana asalnya rakyat Palestin menjadi tuan di tanahair mereka, tapi kini mereka ibarat pengemis jalanan yang tidak punya apa-apa di atas tanah tempat tinggal mereka, isu yang mereka perjuangkan adalah membebaskan tanahair mereka daripada Yahudi, dan sentimen agama digunakan demi meraih simpati masyarakat Islam dalam perjuangan mereka. Mungkin kenyataan ini akan menyinggung banyak pihak terutama mereka yang tidak memahami situasi sebenar, tetapi apabila kita kaji secara mendalam perjalanan jihad mereka, nescaya kita juga akan merasa tertipu dengan apa yang mereka perjuangkan. Kenyataan ini bukan bertujuan untuk menyokong Yahudi yang menjadi musuh Islam, tetapi sekadar membetulkan persepsi terhadap konsep dan falsafah jihad yang sebenar yang diajarkan Tuhan kepada kita bermodelkan kepada Rasul junjungan.

Umum harus mengetahui bahawa falsafah jihad yang dianjurkan Islam bukanlah bermatlamatkan pertumpahan darah dan saling berbunuhan kecuali di dalam hal-hal dielakkan lagi maka ianya diharuskan, seperti musuh yang benar-benar telah menceroboh kedaulatan negara untuk merosakkan umat Islam menggunakan kekerasan fizikal seperti persenjataan dan sebagainya. Namun musuh Islam tidak lagi sebagaimana musuh Islam terdahulu. Mereka kini lebih halus dan merancang dengan teliti dalam menggunakan pelbagai cara untuk menghancurkan umat Islam tanpa perlu susah-susah menumpahkan darah. Cuma apabila kekuatan mereka sudah dirasakan oleh mereka sudah maksima, maka barulah kekerasan secara fizikal digunakan ke atas umat Islam. Kerana mereka telah mengkaji sejarah kekuatan umat Islam dan mereka kaji bagaimana hendak melemahkan mereka. Mereka tahu kekuatan umat Islam terletak pada kekuatan dalaman mereka atau kekuatan roh mereka. Kekuatan roh umat Islam adalah kekuatan taqwa atau hubungan dengan Tuhan yang kuat sebagai syarat untuk mendapat bantuan Tuhan dalam apa jua hal. Maka mereka datangkan berbagai-bagai cara untuk melemahkan kekuatan roh umat Islam iaitu dengan merancang agar umat Islam lemah hubungan mereka dengan Tuhan seperti menjerumuskan mereka ke dalam perkara-perkara dosa, cinta dunia, ism-ism ciptaan seperti demokrasi, sosialis, kapitalis, hedoinisme dan sebagainya hingga melupakan sistem ciptaan Tuhan, mencipta dasar divide and rule dalam memecahkan perpaduan Islam sejagat, menanamkan rasa cinta kepada bangsa, pendidikan sekular dan berbagai-bagai perkara lagi sehingga hilang jati diri pada umat Islam.

Apabila umat Islam sudah hilang jati diri akibat termakan perancangan musuh, maka mudahlah musuh bertindak sesuka hati mereka, dan apa yang berlaku pada umat Islam Palestin adalah manifestasi daripada kejayaan perancangan musuh Islam. Termasuklah juga Bosnia, Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara umat Islam yang sekiranya belum dijajah sekalipun, mereka sudah pun menjadi talibarut musuh Islam atau setidak-tidaknya mereka sudah menerima pakai sistem yang dicipta oleh musuh dalam urusan harian mereka malah menganggap ianya baik untuk umat Islam. Maka seharusnya satu post mortem serius perlu dilakukan oleh umat Islam secara keseluruhan akan segala kesilapan yang besar yang telah dilakukan. Segala perlakuan musuh terhadap umat Islam perlu dilihat daripada perspektif kenapa Tuhan biarkan umat Islam dihina sehingga sedemikian rupa tanpa sebarang pembelaan dan juga bantuan. Ini yang perlu kita muhasabah sungguh-sungguh agar integriti serta kewibawaan umat terbina semula atas faktor bantuan Tuhan.

Telah dinyatakan tadi bahawa, musuh merosakkan umat Islam dengan menggunakan isme yang dijadikan pedoman oleh umat Islam. Isme inilah yang dijadikan satu sistem yang merupakan cara hidup umat Islam akhir zaman ini. Maka atas faktor itulah umat Islam wajib kembali kepada sistem Islam. Sistem Islam itulah yang sewajibnya menjadi pengganti kepada sistem musuh yang sudah lama dipakai oleh umat Islam. Itulah dia dengan meletakkan kalimah Allah itu agar ia menjadi tinggi pada setiap hal segenap hal dan pada setiap sudut.

Sebagai contoh sistem ekonomi kapitalis, diganti dengan sistem ekonomi Islam yang berteraskan kepada khidmat, adil dan menghiburkan manusia. Pendidikan sekular yang memisahkan dunia ini dengan Tuhannya digantikan dengan sistem pendidikan Rasulullah yang menanamkan benih kenalkan Tuhan diperingkat sebelum bernikah lagi, dan diteruskan proses tersebut sehingga lahir satu generasi yang benar-benar kenal Tuhan serta takut dan cintakanNya. Dalam sistem kebudayaan pula, maka wajib digantikan dengan sistem kebudayaan Islam yang menghiburkan tetapi hiburan untuk mengembalikan manusia kepada Tuhan seperti nasyid, pantomen, deklamasi sajak, teater dan berbagai lagi dengan isi dan natijah hanya untuk mengingatkan dan menyuburkan kembali rasa berTuhan dan rasa kehambaan. Dalam bidang media pula, wajib ada penyampaian berita-berita yang boleh mendidik dan mencetak minda umat Islam agar mengembalikan nilai-nilai positif seperti berkasih-sayang, perpaduan, mengembalikan semangat umat Islam bagi sungguh-sungguh menyuburkan sifat-sifat mahmudah ( sifat positif ) serta mengekang sifat-sifat mazmumah ( sifat negatif ) yang menjadi punca utama kepada kelemahan umat Islam dan bagi menangkis serangan musuh dalam propaganda mereka untuk merosakkan umat Islam.

Pokoknya kesemua ini akan terbina apabila dalam diri umat Islam itu sudah terbina hubungan dengan Tuhan melalui proses pembersihan jiwa dengan jalan taubat dan penebusan dosa serta meletakkan orang-orang Tuhan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadi faktor jatuhnya pandangan Tuhan pada kita.

Dan seperkara lagi, apabila disebut jihad dan perjuangan, Islam mengajar kita, dalam perjuangan ini tidak boleh sembrono dan melulu sekalipun pejuang kebenaran. Perjuangan ini harus berpandukan kepada situasi dan era mana dia berjuang. Dalam ertikata lain perjuangan itu harus berpandukan kepada jadual yang Tuhan telah berikan. Jadual Tuhan di sini bermaksud, apakah perjuangan kita berada di awal kurun, ataupun berada di pertengahan atau hujung kurun. Ini faktor yang tidak terfikir oleh umat Islam hatta ulama sekalipun.

Maka amat wajar sekiranya kita tak tahu method perjuangan yang perlu diambil mengikut eradan masa tersebut, maka harus merujuk kepada orang yang tahu. Sekiranya berada di awal kurun, maka itulah orang yang bertaraf Mujaddid, sekiranya tidak berada di awal kurun, maka itulah dia orang yang bertaraf Ghauz. Sebab itu, sekiranya perjuangan tidak bertepatan dengan jadual, meskipun ianya pejuang kebenaran, nescaya perjuangan itu akan menemui kegagalan. Panduan ini amat penting umpama kompas kepada pelayar di lautan yang luas. Hala tuju perjuangan itu mengikut era amatlah penting sebagai faktor keberhasilan perjuangan itu disamping syarat utama iaitu taqwa dipenuhi. Sejarah telah menceritakan kepada kita, Ikhwanul Muslimin meskipun mirip perjuangan mereka di bawah pimpinan as-syahid Hassan Al-Banna, berteraskan baiki diri, namun kerana mereka bukan di awal kurun, perjuangan mereka setakat menghidupkan bara api Islam sahaja daripada padam.

Era kini adalah di awal kurun. Kita tidak boleh guna uslub musuh Islam hendak bangunkan jihad yang sebenar. Ianya mesti berpandukan kepada uslub yang dibawa oleh orang Tuhan bertaraf Mujaddid. Lebih-lebih lagi sekarang adalah kurun yang ke 15 di mana Rasul telah mengisyaratkan kepada kita bahawa Islam akan kembali gemilang di bawah pimpinan Imamul Ummah dan di dahului oleh Putera Bani Tamim. Pastilah bilamana disebut awal kurun, sekarang ialah awal kurun. Kalau menurut isyarat hadith Rasul, orang ini telah pun berada di kalangan kita dengan membawa satu tajdid (pembaharuan) di dalam pengamalan Islam. Dan seperkara lagi perjuangan yang dibawanya pastilah bersifat global bagai menangani masalah umat manusia amnya, umat Islam khususnya secara global kerana kerosakan yang telah dilakukan musuh juga bersifat global.

Jadi soal bagaimana hendak membebaskan umat Islam Palestin daripada penjajahan Yahudi perlulah mengikut method orang Tuhan ini dan tidak meniru cara musuh dalam bertindak kerana ia umpama mengukuhkan jerutan jerat yang dipasang musuh kepada mereka. Haruslah diterima hakikat bahawa, perjuangan yang silih berganti oleh rakyat Palestin terhadap membebaskan tanahair mereka daripada Yahudi tampak makin membawa mereka kepada penghinaan yang lebih hebat daripada sebelum sehinggakan untuk survival mereka pun bergantung kepada musuh yang mereka tentang. Inilah penghinaan namanya, dan pastilah formula yang mereka guna telah tersasar daripada formula yang sepatutnya. Inilah yang harus diperbetulkan melalui sekarang kerana sekiranya tidak, tunggu masa dan saat sahaja tindakan yang lebih kejam oleh Yahudi ke atas mereka tanpa mampu berbuat apa-apa

Wallahua`lam

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer