Mengapa Mempamerkan Kelemahan Pada Musuh?


30/07/2006

Arus kebangkitan Islam yang melanda dunia ketika ini telah mendatangkan beberapa kesan terhadap umat Islam. Di antaranya ialah bangkitnya semangat dan perasaan anti Yahudi dan Barat yang meluap-luap di kalangan umat Islam, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh pelusuk dunia. Apa saja tindak-tanduk atau dasar atau kata-kata kaum Yahudi dan Barat yang nampak seperti menindas,menghina atau merugikan umat Islam akan ditentang dan dikecam.

Ini mungkin satu perkembangan yang baik. Ini mungkin menandakan bahawa umat Islam sudah mula cinta pada Islam dan tidak rela lagi melihat Islam itu diapa-apakan. Mungkin juga umat Islam sedunia telah mula memahami akan maksud ayat:
Maksudnya: Tidak sekali-kali akan redha kaum Yahudi dan Nasrani itu kepada engkau (ya Muhammad) selagi engkau tidak ikut cara hidup mereka.(surah Al-Baqarah: 120)

Tetapi kita juga dapat perhatikan bahawa semangat ini telah mengakibatkan umat Islam sedunia membuat perkara-perkarayang tidak ada dan tidak diajar di dalam Islam. Semangat ini telah mendorong umat Islam berdemonstrasi dan menunjuk-nunjuk perasaan. Silap saja langkah dan cakap Yahudi atau Barat maka keluarlah umat Islam dengan sepanduk-sepanduk dan slogan-slogan. Berkumandanglah suara-suara mengutuk dan mengecam Yahudi dan Barat. Demonstrasi dimeriahkan pula dengan sorak-sorai dan jerit pekik. Suasana gawat.

Bukan sedikit umat Islam yang keluar berdemonstrasi dan menunjuk perasaan seperti ini. Bukan setakat puluhan, bukan setakat ratusan tetapi menjangkau ribuan dan puluhan ribu.Bukan sahaja yang muda, malah yang tua pun ikut sama.Bukan sahaja yang lelaki, yang perempuan pun tidak mahu ketinggalan. Kadang-kadang demonstrasi ini dibuat setempat.Kadang-kadang berarak ke hulu ke hilir. Kadang-kadang berusuh-rusuh dan berbaling-baling batu.

Apa yang para demonstrasi ini telah lupa ialah, demonstrasi dan tunjuk perasaan yang mereka lagang itu bukanlah dari Islam tetapi adalah dari budaya toghut. Islam tidak ada mengajar demonstrasi dalam bentuk yang macam itu. Di sinilah lemahnya kita. Dari satu segi kita marahkan perbuatan toghut tetapi dari segi yang lain kita pula yang mengamalkan dan mempopularkan apa yang dianjurkan toghut selama ini.Apa yang ada dalam Islam ialah menunjuk kekuatan supaya musuh gerun dan takut untuk memulakan pergaduhan atau peperangan. Ini jauh berbeza dengan demonstrasi atau menunjuk perasaan.

Cuba bayangkan berapa banyak masa dan tenaga umat Islam telah terbuang dengan sia-sia untuk berdemonstrasi.Kalau 10,000 umat Islam berdemonstrasi selama lima jam maka sudah 50,000 jam usaha manusia (man hours) terbuang yang sepatutnya boleh menyiapkan 10,000 meter jalan raya dua hala. Itu sudah 10 kilometer. Cuba kaitkan pula dengan usaha-usaha untuk membangunkan dan menguatkan Islam secara zahir dan batin. Berapa banyak yang boleh kita buat dan kita capai dengan tenaga dan masa sebanyak itu. Alangkah ruginya kerana semua itu telah dihalakan kepada demonstrasi yang tidak pernah mendatangkan apa-apa kebaikan kepada umat Islam atau perjuangan Islam, dan tidak pernah pula merugikan atau menggugat musuh.Bukan tenaga dan masa sahaja yang telah disia-siakan.

Cuba kirakan belanja dan kos berdemonstrasi. Kalau setiap orang yang berdemonstrasi perlu belanja untuk minyak, tambang dan makan minum sebanyak lima ringgit seorang, maka RM50,000 telah lesap begitu sahaja. Ini belum masuk belanja buat sepanduk dan lain-lain.

Berdemonstrasi dan menunjuk perasaan ini hakikatnya ialah mempamerkan kelemahan diri. Menunjuk perasaan ialah amalan dan jalan keluar bagi pihak yang lemah kerana tidak mampu atau tidak berani menempuh jalan keluar yang lain yang lebih drastik atau yang lebih mencabar. Itu sebabnya isteri akan tunjuk perasaan kepada suami dengan merajuk. Anak akan tunjuk perasaan kepada ayah dengan membuat kerenah. Murid akan tunjuk perasaan kepada guru dengan ponteng kelas. Mereka tidak ada kuasa. Oleh itu mereka terpaksa bertindak secara pasif untuk menarik perhatian. Kita tidak pernah dengar suami tunjuk perasaan pada isteri atau ayah tunjuk perasaan pada anak ataupun guru tunjuk perasaan pada murid.

Tunjuk perasaan pula hanya akan ada kesannya kalau dihalakan kepada pihak yang bertanggungjawab dan yang ada pertalian kasih sayang dengan kita. Itu sebabnya lojik bagi isteri menunjuk perasaan kepada suami, anak tunjuk perasaan kepada ayah atau murid menunjuk perasaan kepada guru. Seperti kata orang tua-tua, Merajuk pada yang kasih. Kalau rakyat menunjuk perasaan kepada kerajaannya sendiri, ini masih boleh diterima terutama kalau kerajaan tersebut berjiwa rakyat dan bertanggungjawab. Kesannya mungkin positif. Tetapi menunjuk perasaan kepada musuh adalah terkeluar dari batas perbuatan yang waras.

Apa bijaknya menunjuk perasaan dan menyatakan perasaan tidak puas hati kita kepada musuh yang memang kerjanya pagi petang, siang dan malam ialah berazam dan mencari jalan untuk menghancurkan dan memusnahkan kita? Apakah musuh akan ambil peduli dan akan memberhentikan usahanya?Tentu tidak! Sekali-kali tidak! Musuh akan bertambah terangsang kalau kita tunjuk perasaan kerana dia tahu jeratnya sudah mengena dan tindakannya sudah tepat. Mangsanya sedang menggelupur kesakitan. Dia akan tersenyum sinis danakan melipatgandakan lagi usahanya. Islam tidak suruh berdemonstrasi atau menunjuk-nunjuk perasaan kepada musuh. Islam suruh berstrategi dan bermuslihat.Di kala lemah, Islam suruh kita ambil sikap evasion dan consolidation. Di kala kuat, ambil sikap Aslim taslam Islamlah, kamu untuk selamat.

Seperkara lagi yang harus kita faham, Islam tidak bermusuh dengan Yahudi semata-mata kerana ianya Yahudi. Islam tidak bermusuh dengan Nasrani semata-mata kerana ianya Nasrani.Kita tidak bermusuh dengan individu orang Yahudi atau individu orang Amerika atau individu orang Eropah. Apa yang kita musuhi ialah sifat-sifat yang ada pada Yahudi dan Nasrani itu dan apa yang mereka perjuangkan sebagai satu bangsa dan entiti. Kita musuhi iktiqad dan cara hidup mereka yang hendak mereka paksa ke atas kita. Kita musuhi nilai mereka. Kita musuhi ideologi mereka.Kita musuhi pemikiran mereka. Kita musuhi budaya mereka.Kita musuhi akhlak mereka dan kita musuhi sekularisme dan sistem-sistem hidup mereka yang mana semuanya itu tersimpang jauh dari jalan yang hak dan yang diredhai Allah.Yang mana semuanya itu akan membawa manusia kepada kesengsaraan di dunia dan di akhirat. Kita juga akan memusuhi siapa sahaja yang mempunyai sifat-sifat yang sama dan yang memperjuangkan perkara-perkara yang sama walaupun mereka bukan Yahudi atau Nasrani. Kalau sifat-sifat Yahudi dan Nasrani itu ada pada diri kita maka lebih layaklah kita memerangi diri kita sendiri terlebih dahulu. Berapa ramai orang Islam yang memperjuangkan ideologi musuh. Berapa ramai orang Islam yang membawa aliran fikiran dan falsafah musuh. Berapa ramai orang Islam yang mengamalkan budaya musuh. Berapa ramai orang Islam yang berakhlak dengan akhlak musuh. Berapa ramai orang Islam yang cara hidupnya sama seperti cara hidup musuh, dan berapa ramai orang Islam yang memperjuangkan Islam dengan meniru kaedah perjuangan musuh. Ini yang harus kita fikirkan bersama. Tidak ada makna kita berjaya menumpaskan musuh kalau kita pula akan mewarisi sifat-sifat dan cara hidup mereka. Sifat-sifat yang batil itulah sebenarnya musuh kita dan musuh Islam, bukan sangatYahudi dan Nasraninya. Sifat-sifat itulah yang hendak kita banteras, dan kita akan tentang siapa sahaja yang mendukung dan melagang sifat-sifat tersebut, hatta diri kita sendiri.Tuhan cipta manusia berbangsa-bangsa supaya kita saling kenal mengenal di antara satu sama lain. Tuhan tidak jadikan manusia itu berbangsa-bangsa untuk kita bergaduh dan berperang. Dalam masa yang sama, Tuhan menyuruh kita menentang kekufuran, kezaliman dan kebatilan. Oleh itu, kalau perlu ada penentangan di kalangan manusia, ia mesti diasaskan kepada kekufuran, kezaliman dan kebatilan dan bukan kepada suku bangsa. Sesiapa sahaja yang memperjuangkan kekufuran,kezaliman dan kebatilan mesti ditentang tidak kira apa bangsanya, sekalipun dia dari kalangan bangsa kita sendiri.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer