Mengapa Kita Diperintahkan Solat???


27/03/2006

D i dalam ajaran Islam, upacara ibadah yang terutama dan utama disebut `SOLAT` atau di dalam Bahasa Melayu ialah sembahyang.

Sembahyang di dalam Islam ia merupakan tiang agama . Ia diwajibkan. Melakukannya di dalam sehari semalam ialah lima kali. Solat di dalam Islam merupakan ibu segala ibadah dan merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Bahkan ia adalah sebagai tiang serinya.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:
"Solat adalah tiang agama. Barangsiapa yang mengerjakannya dia telah menegakkan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya maka runtuhlah agamanya."

Siapa yang meninggalkannya, maka seluruh amalannya yang lain tertolak atau tidak diterima oleh Tuhan. Rugi sungguhlah orang yang meninggalkan sembahyang lima waktu. Kita diperintahkan mengerjakan sembahyang dengan tujuan hendak melahirkan berbagai rasa kehambaan, kerana kita adalah hamba . Rasa-rasa kehambaan itu adalah seperti rasa hina, rasa takut, malu, gementar, rendah diri, harap dan bimbang. Rasa kehambaan itu akan menghilangkan sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat jahat yang sangat merosakkan kehidupan manusia seperti sifat sombong, hasad dengki, tamak, pemarah, bakhil, ujub, jahat sangka, berdendam, menfitnah, mengadu domba, mengumpat, menghina dan lain-lain.

Sembahyang yang benar-benar dihayati dapat membakar dan memusnahkan sifat-sifat mazmumah yang sangat meracuni kehidupan masyarakat manusia. Oleh kerana itu kalau di dalam sembahyang tidak dapat melahirkan rasa kehambaan kepada Tuhan maka di luar sembahyang mustahil dapat merasakan sifat kehambaan itu. Apabila sifat kehambaan atau rasa kehambaan tidak wujud di dalam hati manusia maka yang akan mengisi hati manusia atau jiwa manusia ialah sifat mazmumah seperti sombong, pemarah, hasad, tamak, bakhil, keras hati, dendam, riak dan lain-lain lagi.

Penyakit jiwa atau sifat mazmumah itulah yang menjadikan manusia berkrisis, bergaduh, bertengkar, jatuh-menjatuhkan, bunuh-membunuh dan peperangan. Justeru itu rosaklah kehidupan manusia. Binasalah dunia, hilanglah kasih sayang, rosaklah perpaduan. Hilanglah kebahagiaan dan keharmonian maka terseksalah hidup manusia.

Khusyuknya Solat Para Sahabat
Para Sahabat sangat menjaga kekhusyukan solat. Sayidina Umar bin Khattab begitu takut dengan Tuhan, sejak berwudhuk lagi badannya bergetar hebat. Mendekati waktu solat semakin hebat rasa takutnya pada Tuhan dan kemuncaknya di waktu solat. Sewaktu sedang takut dengan Tuhan itu, Para Sahabat lain yang berada 3 saf di belakangnya boleh mendengar gelombang hatinya dan degupan jantungnya. Bahkan kadang-kadang Allah gambarkan bau hangit terbakar dari mulutnya kerana hatinya terbakar disebabkan takutkan Tuhan. Tetapi kerana Sayidina Umar itu pemimpin, maka Tuhan jaga takutnya, supaya dia boleh memimpin orang. Kalau dia bukan pemimpin, mungkin matilah dia kerana terlalu takutkan Tuhan.

Biasanya rasul-rasul dan pemimpin-pemimpin berwatak rasul, Tuhan jaga ketakutannya itu, kalau tidak hatinya boleh terbakar sampai mati. Kalau demikian yang terjadi, dia tidak boleh memimpin orang. Begitu juga dengan Rasulullah, mabuknya dengan Allah luar biasa hingga tidak dapat digambarkan, tetapi dengan rahmat Allah, Allah jaga mabuknya ini sehingga Rasulullah tidaklah sampai tidak dapat memimpin orang. Kalau dia bukan pemimpin, maka akan nampak sangatlah mabuknya dengan Tuhan, macam Rabiatul Adawiyah. Padahal takutnya Rasulullah pada Allah lebih hebat dari itu.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer