Mengapa Kita Berkahwin???


08/06/2006

Bagi umat Islam yang faham Islam, yang beramal dengan agamanya, menghayati dan mencintai agamanya, yang ada cita-cita hendak membangunkan agamanya secara syumul atau global, kemudian diperjuangkannya, bahawa perkahwinan atau mendirikan rumahtangga adalah mempunyai erti yang besar kerana daripada peribadi muslim dan keluarga muslim itu dari sanalah titik tolak atau starting point untuk memancarkan Islam ke masyarakat, ke negara dan seluruh alam sejagat, kerana dari sinilah kalau pilihan suami isteri itu tepat mengikut ajaran Islam, kemudian hiduplah kedua sejoli atau mempelai itu secara tuntutan Islam, selepas itu kalau Allah Taala takdirkan mereka mendapat cahaya mata atau anak-anak yang banyak dari dua insan yang berpadu kasih, yang mempunyai cita-cita Islam yang mendalam itu, maka sudah tentulah anak-anak itu dididik secara kehidupan yang dikehendaki oleh Islam. Maka insya-Allah akan lahirlah satu keluarga yang hidup secara Islam yang menjadi role model. Kalau suami isteri yang lain pula mendirikan rumah tangga mempunyai cita-cita yang sama, begitulah setiap individu muslim mempunyai cita-cita yang sama juga, gabungan keluarga yang menghayati Islam itu menjadi masyarakat yang lebih besar lagi menghayati Islam pula. Selepas itu sudah tentu mudah sahaja untuk menegakkan negara Islam dan seterusnya Islam sejagat.

Tidaklah seperti apa yang berlaku di hari ini, seluruh dunia bagi pejuang-pejuang Islam, amat sulit sekali untuk memperjuangkan negara Islam, kerana individunya belum bersedia. Keluarga Islam belum bersedia, masyarakat lebih-lebih lagi. Oleh yang demikian, sudah tentu amat payah sekali untuk diajak menegakkan negara Islam. Mengapa terjadi demikian?

Kerana kesilapan itu bermula dari individu dan dari dua suami isteri yang berkahwin. Kerana Islam itu tidak menjadi matlamat mereka mendirikan rumahtangga, atau tidak ada cita-cita Islam, sekadar berkahwin itu kerana hendak melepaskan tuntutan naluri atau kemahuan semula jadi, atau tuntutan biologi, tidak ada pun dihubungkait dengan cita-cita Islam itu.

Oleh yang demikian apakah tujuan perkahwinan itu? Apakah sekadar melepaskan nafsu?
Tujuan perkahwinan mengikut Islam yang sebenarnya adalah seperti berikut:

Pertama :
Allah Taala telah mentakdirkan bahawa lelaki ada nafsu kepada perempuan. Perempuan juga ada nafsu dengan lelaki. Hakikat ini tidak boleh ditolak, kita tidak boleh lari daripada tuntutan semulajadi itu. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan maka tujuan kita berkahwin jangan sampai kita melakukan zina yang terkutuk itu. Kenalah kita berkahwin agar ia tersalur secara yang halal yang ia memang dibenarkan oleh Allah Taala yang Maha Pengasih.

Kedua :
Bahawa daripada perhubungan kelamin suami isteri itu di situlah sebagai sebab pertemuan benih kedua jenis manusia yang akan melahirkan zuriat, anak-anak, cucu-cucu yang ingin sangat kita akan jaga, asuh, didik, diberi iman dan ilmu, agar menjadi hamba-hamba Allah yang berakhlak dan bertaqwa yang akan menyambung perjuangan Islam kita itu agar perjuangan Islam kita bersambung selepas kita mati. Memang setiap umat Islam yang belum rosak jiwanya sangat menginginkan agar Islam itu terus bersambung dari satu generasi ke satu generasi.

Ketiga :
Kalau begitu tujuan kita berkahwin, kita inginkan anak yang akan kita didik menjadi seorang Islam yang sejati dan anak itu adalah merupakan aset kepada kita. Dan anak itu sendiri pula boleh menjadi harta dan tenaga kepada Islam.

Keempat :
Dengan perkahwinan itu, jika tujuan kita mendapat anak berjaya, dan berjaya pula dididik dengan Islam dan menjadi seorang muslim yang berguna, kemudian dia akan melahirkan cucu, berjaya pula dididik secara Islam yang sebaik-baiknya, berapa banyak pahala yang kita dapat sambung-menyambung. Itu adalah merupakan aset simpanan kita di Akhirat kelak

Kelima :
Islam yang maha indah itu alangkah indahnya kalau ia dapat menjadi kebudayaan hidup yang pernah mengisi ruangan dunia ini di masa yang silam, selama 3 kurun dari sejak Rasulullah SAW. Sekarang tinggal nostalgia sahaja, yang tinggal pada hari ini hanya aqidah dan ibadah, itu pun tidak semua umat Islam berbuat. Oleh itu kita ingin sangat kalau dapat diwujudkan di dalam suasana keluarga pun jadilah, kerana hendak buat lebih dari itu hari ini memang amat sulit sekali. Lantaran itulah perkahwinan itu amat perlu sekali kerana hendak melahirkan masyarakat Islam kecil, moga-moga dari situ akan tercetus masyarakat Islam yang lebih besar.

Keenam :
Seorang muslim bukan sahaja diperintah untuk mencari keredhaan Allah Taala, tapi diperintah juga untuk menghiburkan hati kekasih Allah Taala iaitu Rasulullah SAW, yang mana Rasulullah SAW sangat berbangga dengan ramainya pengikut atau umatnya di Akhirat kelak. Maka sebab itulah Rasulullah SAW menyuruh umatnya berkahwin. Setiap umat Islam hendaknya apa yang menjadi kesukaan Rasul-Nya itulah juga kesukaan mereka.

Ketujuh :
Kalaulah Rasulullah SAW berbangga dan bergembira dengan ramainya umat, maka kita sepatutnya juga berbangga dengan ramainya umat Islam di dunia ini. Maka untuk memperbanyakkannya, lantaran itulah kita berkahwin. Jadi kita berkahwin itu ada bermotifkan untuk meramaikan umat Islam, ada cita-cita Islam sejagat. Kita berkahwin itu ada cita-cita besar, bukan sekadar setakat hendak melepaskan nafsu seks seperti cita-cita kebanyakan manusia.

Kelapan :
Berkahwin itu jangan sampai putus zuriat, kerana kita berbangga dapat menyambung zuriat yang menerima Islam sebagai agamanya dan dengan keturunan itulah orang kenal siapa asal-usul kita atau mereka.

Kesembilan :
Tujuan-tujuan lain sebagai maksud tambahan daripada perkahwinan bahawa setiap lelaki dan perempuan yang menjadi pasangan suami isteri hendaklah meniatkan satu sama lain hendak memberi hiburan seorang hamba Allah Taala yang inginkan hiburan, kerana niat menghiburkan orang mukmin itu mendapat pahala.

Begitulah sebahagian daripada tujuan-tujuan dan maksud-maksud daripada perkahwinan di dalam Islam, ia mempunyai cita-cita yang murni. Melahirkan cita-cita Islam, ingin mewujudkan satu rangkaian dan elemen-elemen amalan dan suasana Islam dan kalau dapat ia digabungkan dengan rangkaian-rangkaian dan elemen-elemen golongan yang mempunyai cita-cita dan tujuan yang sama seperti yang Islam kehendaki, atau yang Islam mahu, ia lama-kelamaan akan menjadi satu masyarakat Islam yang lebih besar lagi yang syiarnya akan dapat dilihat di mana-mana sahaja di muka bumi Tuhan ini, yang akan menjadikan dunia ini amat meriah, ceria, gembira dan bahagia. Barulah boleh kita meyakinkan orang lain kerana keindahan Islam itu begitu terserlah.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer