Mendidik Manusia Adalah Rumit Dan Memerlukan Perhatian


18/11/2006

Untuk menjadi seorang manusia yang baik, mustahil ia berlaku secara kebetulan. Walaupun Allah sudah membekalkan kepada manusia sifat-sifat fitrah semulajadi yang baik, tetapi bekalan itu tidak mencukupi untuk membenteng manusia dari berlaku baik kerana terlalu banyak cabaran serta godaan dunia yang mendatang. Ditakuti bila dicabar, bekalan yang dibekalkan oleh Tuhan kepada manusia akan habis. Sebab itulah manusia tidak boleh hanya mengharapkan bekalan yang Allah kurniakan sahaja.

Di samping bekalan yang ada manusia juga boleh menjadi baik hasil dari didikan. Kalau begitu, untuk mendidik anak-anak serta keluarga, maka suami atau pemimpin di dalam rumahtangga mestilah memainkan tugasnya sebagai pemimpin untuk mendidik anak-anak serta isterinya. Jarang kita mendengar sesebuah keluarga berjaya secara kebetulan tetapi ia mesti bermula dari didikan yang berterusan.

Adalah menjadi satu kesilapan besar, setelah mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak-anak, baru ibu bapa hendak membetulkannya. Ibarat nasi sudah menjadi bubur. Sudah tersilap langkah, baru hendak dibaiki. Itu satu kesilapan besar. Di dalam Islam untuk membentuk sebuah keluarga yang baik, bukan difikirkan setelah pasangan anak teruna dara itu berumahtangga. Tetapi ia difikirkan sejak anak teruna dan dara itu masih bayi lagi. Silaplah kalau ada yang berfikir, bila dah menimang anak baru nak fikir tentang pendidikan anak-anak. Itu sudah terlambat. Mengapa? Kerana sumber didikan, sumber kasih sayang, sumber anak-anak boleh taat dan hormat kepada ibu bapa adalah berpunca dari sumber kerana rasa takut dan cinta kepada Tuhan. Sebab itu sejak kecil lagi mesti ditanam rasa takut dan cinta kepada Tuhan agar anak-anak nanti menjadi anak yang bertanggung jawab, amanah, jujur, berkasih sayang, pemurah, pemaaf, suka bertolak ansur, tolong menolong dan sebagainya.

Dari rasa `takut` dan `cinta` terhadap Tuhan yang diadun pula dengan syariat Tuhan, itulah modal untuk membangunkan sebuah keluarga. Dari situ pula menjadi modal terbangunnya sebuah masyarakat, seterusnya sebuah negara dan empayar di dunia. Kalau perkara yang asas itu tidak disiapkan sejak ia masih bayi lagi, tiba-tiba bila sudah ada keluarga baru nak bertanggungjawab, bukan sahaja anak-anak dan isterinya sendiri yang menjadi cabaran. Itu merupakan cabaran yang kedua. Tetapi cabaran yang pertama dan utama ialah dirinya sendiri. Disebabkan tidak ada rasa takut dan cintakan Tuhan di dalam diri, dia sendiri gagal menjadi pemimpin, ayah atau suami yang baik di dalam keluarga tersebut.

Mustahil seseorang boleh mencurahkan kasih sayang dan memberi kebahagiaan kepada orang lain sedangkan dirinya sendiri pun tidak merasa bahagia. Mana mungkin seorang ayah nak memberi kebahagiaan kepada anak-anak dan isterinya sedangkan dia sendiri pun tidak bahagia. Mana mungkin seorang pemimpin dapat memberi kebahagiaan kepada rakyatnya jika dirinya sendiri pun tidak merasa bahagia.

Sebab itu, kalau anak-anak yang menjadi masalah, bukan mereka yang harus dipersalahkan tapi kedua ibu bapa merekalah yang bersalah. Kalau ada pasangan teruna dara yang nak berkahwin, satu kesilapan yang besar jika mereka hanya memikirkan perkahwinan hanya untuk menyelesaikan tuntutan fitrah (tuntutan biologi) sahaja. Hampir 99.9 % yang hendak berkahwin hanya untuk memuaskan tuntutan nafsu sahaja. Kasih sayang antara suami isteri yang lahir hasil dari tuntutan fitrah sahaja, ia akan luntur. Bila sakit, kurang menawan, kurang bertenaga dan sebagainya, maka akan lunturlah kasih sayang antara mereka. Si suami atau isteri akan mencari pasangan yang lain untuk menyempurnakan tuntutan fitrah mereka pula.

Kalau begitu, setiap pasangan suami isteri yang berkahwin mesti difahamkan tujuan dan matlamat mereka berkahwin. "Berkahwin bukan semata-mata melepaskan tuntutan fitrah sahaja tetapi ada cita-cita untuk perjuangan Islam." Bila ada cita-cita ini, barulah kedua pasangan suami isteri akan bertanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak sejak kecil sepertimana yang digariskan oleh syariat Islam. Nanti akan terbangunlah daulah Islamiah di dalam sebuah rumahtangga. Bila ada daulah Islamiah di dalam rumahtangga akan lahirlah keharmonian di dalam rumahtangga tersebut. Gabungan rumahtangga yang harmoni inilah akan membentuk sebuah masyarakat Islam yang harmoni. Seterusnya gabungan masyarakat yang harmoni ini pula akan terbangun sebuah daulah Islamiah.

Barulah kita sedar sekarang sebenarnya masalah yang dibuat oleh anak-anak bukan berpunca dari diri mereka tetapi berpunca dari masalah kedua ibu bapa mereka yang tidak dididik secara Islam. Persiapan perlu dibuat dari awal lagi agar hasilnya benar-benar memberi hasil yang lumayan. Umpama seorang petani yang hendak menanam padi. Tanpa disemai, dikawal, dijaga benih tersebut, mana mungkin boleh memberi hasil padi yang banyak. Ditakuti padi tak berisi (sambang). Atau kerana tak jaga, padi dimakan burung. Justeru itu pendidikan anak-anak harus difikirkan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menanamkan rasa takut dan cinta kepada Tuhan sejak mereka kecil lagi.

Di dalam ajaran Islam manusia itu boleh jadi dewasa (baligh) paling cepat 9 tahun, paling lambat 15 tahun. Ertinya manusia boleh jadi dewasa sekitar 9 15 tahun. Maksud dewasa di sini bukan sahaja fizikalnya atau tubuh kasarnya bahkan keempat anasir di dalam badan ikut dewasa sama akalnya, nafsunya dan rohnya.

Buktinya fizikal manusia setelah dewasa sekalipun berumur 9 15 tahun jika dia berkahwin sudah ada nafsu dan boleh dapat anak. Akal ikut dewasa kalau mendapat pendidikan yang tepat. 9 15 tahun sudah boleh menjadi alim dan orang yang bertanggungjawab bahkan boleh menjadi profesor atau doktor falsafah, boleh hafaz Al Quran, dan hafaz ribuan Hadis.

Begitu juga nafsunya akan ikut dewasa jika dididik dengan betul dan tepat. Berumur 9 15 tahun seseorang boleh memiliki setidak-tidaknya mendapat nafsu mulhamah.

Seterusnya roh manusia boleh dewasa mengikut tubuh kasarnya dewasa. Berumur 9 15 tahun kalau cukup asuhannya, rohnya boleh menjadi bercahaya dan boleh mendapat hidayah dan dapat firasat dari Tuhan dan boleh menjadi orang bertaqwa.

Selama ini yang sangat dijaga jasad lahirnya sahaja, tiga anasir lagi tidak diendahkan. Ia diberi makan yang cukup, dijaga kesihatannya, dijaga kesuburan pertumbuhan badannya. Maka badan lahirnya pun segera subur dan dewasa, 10 atau 12 tahun dia sudah baligh atau matang. Malangnya tiga anasir lagi dibiarkan tidak dididik, bahkan tidak dipedulikan iaitu akal, nafsu dan rohnya.

Oleh yang demikian seseorang itu sudah tidak seimbang lagi di dalam dirinya. Di waktu badan kasar dewasa, badan halus atau rohaninya tidak dewasa, bahkan masih bersifat keanak-anakan. Akal, nafsu dan rohnya masih keanak-anakan, badan kasarnya sudah boleh melahirkan anak dan boleh menjadi ibu dan bapa. Jasad lahirnya sudah boleh membuat tugas besar, jasad batinnya belum mampu bertugas besar dan penting akibat daripada sistem pendidikan yang tidak tepat dan tidak seimbang. Di samping para pendidik, ibu bapa, guru-guru, penjaganya tidak faham mengimbangkan empat anasir di dalam diri manusia.

Maka terjadilah empat anasir di dalam diri manusia tidak serentak dewasa bersama tubuh kasarnya. Yang punya diri pun rugi, negara dan bangsa pun ikut rugi kerana manusia itu adalah aset negara dan bangsa. Cara umat Islam belajar di zaman ini sudah tersalah dan tersilap. Mereka mendapat ilmu sangat terbatas. Ilmu hanya didapati di tempat pengajian atau di sekolah rasmi semata-mata.Padahal di sekolah hanya ilmu teori bukan praktikal untuk kehidupan sehari-hari manusia.

Inilah akibat sistem pelajaran yang salah dan tidak berhati-hati dilagang. Belajar di luar sekolah di dalam kehidupan tidak dapat sijil dan ijazah tidak perlu ambil pelajaran dan perhatian lagi. Hanya sanggup belajar semata-mata di mana boleh dapat tauliah kalau tidak tak payah. Padahal ilmu lebih banyak lagi dapat dari kehidupan bukan dari sekolah dan di pengajian tinggi.

Belajar dengan mendengar, melihat berbagai-bagai perkara kalau diperhati lebih banyak dapat daripada di sekolah dan di institusi. Pergi melihat laut, pandang dengan bersahaja tidak dapat apa-apa. Melihat kehidupan nelayan, pandang tanpa membaca tidak dapat pelajaran darinya. Melihat gunung-ganang, bukit-bukau, hutan belantara tidak dapat pelajaran memandangnya kerana pergi itu semata-mata berhibur bukan hendak mengetahui kejadian dan sifat-sifatnya maka tidak dapat apa-apalah.Pergi ke padang pasir melihat kehidupan orang-orangnya pandang bersahaja tidak pun mengambil pelajaran daripada kehidupan mereka, tidak dapat ilmulah darinya. Pergi hanya buang-buang masa yang dapat hanya letih sahaja adakalanya pergi secara escapism, mengubat jiwa yang derita. Maka tentulah tidak dapat pelajaran daripada melihatnya.

Pergi ke bendang dengan kehidupan orang-orangnya tidak pun diperhati dengan akal hingga dapat pelajaran darinya hanya pandang dengan mata semata-mata tidak pun difikirkan apa yang dilihat tidak dapat pelajaranlah darinya.Pergi ke kampung, pergi ke pekan, juga ke bandar pandang tidak mengguna otak bagaimana cara hidup, budaya mereka tentu tidak sama, mengapa tidak sama, mesti ada jawapannya jika mengguna otak kita pergi hanya dapat berhibur melihat semata-mata, rahsia kehidupan mereka tidak dapat dibaca.

Padahal kalau dilihat dengan akal banyak ilmu dan pelajaran daripada kehidupan mereka. Begitulah kalau dasar pelajaran dilagang dengan tujuan semata-mata matlamat makan gaji. Mana yang tidak ada kena-mengena dengan makan gaji apa yang dilihat tidak diambil peduli. Ilmu macam ini tidak termasuk di dalam sukatan pelajaran negara. Kalau periksa tidak akan dipersoalkan apa perlu diambil perhatian, yang dipentingkan apa yang dipelajari sahaja di dalam peperiksaan dipersoalkan. Siapa yang berjaya mendapat kelulusan yang tinggi dapat pujian. Setakat itu sahajalah yang dikatakan oleh para pemimpin dan guru cemerlang, gemilang dan terbilang. Ilmu-ilmu tambahan selain di sekolah tidak diberatkan dan tidak digalakkan seolah-olah ilmu itu semata-mata di sekolah dan di tempat pengajian. Kerana itulah kelulusan tinggi ilmunya singkat sekali tidak boleh diharapkan. Ilmu hanya dapat di pengajian tinggi selain itu tidak dapat ilmu kerana tidak ambil peduli.Kemudian mengharapkan bangsa maju, cemerlang gemilang dan terbilang. Ilmu tidak boleh semata-mata diikatkan dengan makan gaji tidak kena-mengena pun dengan makan gaji, ilmu kenalah kaji dan dicari.

Sumber ilmu bukan semata-mata di tempat belajar dan mengaji kalau kita suka mengkaji dan menggali, ilmu di mana sahaja boleh didapati. Orang Melayu konsep menuntut ilmu sudah disalah erti. Ilmu dicari hanya sekadar untuk keperluan makan gaji, ia adalah satu pandangan dan fikiran yang sudah basi.

Kalau dari kecil sudah salah terima pengajaran dan didikan.Pengajaran dan didikan tidak lagi bertunjangkan iman dan ketuhanan maka manusia akan tersalah berfikir,jiwa manusia akan rosak fitrahnya. Dirosakkan oleh cara berfikirnya sejak dari kecilnya. Apabila fikrah sudah sebati dengan keyakinan yang tidak bertunjangkan iman, jiwa pula hitam dengan mazmumah disebabkan ajaran yang diterimanya. Kalau ia menjadi pengajaran dan didikan rakyat umum. Aduh, punahlah satu bangsa di dalam sebuah negara. Punahnya memakan masa paling tidak puluhan tahun kalaupun tidak ratusan tahun.

Jika ia telah menjadi fikrah dan jiwa satu bangsa bukan senang hendak dipulihkan semula. Biasanya ia akan pulih manakala Allah Taala utuskan di kalangan mereka pemimpin yang dijanjikan atau pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan. Kerana itulah setiap pendidikan dan pengajaran yang hendak dijadikan warisan bangsa hendaklah berhati-hati dan penuh teliti. Kerana kalau tersilap dari mula mengasaskannya, oleh kerana kesilapan pemimpin-pemimpin bangsa itu. Rosak binasalah bangsa itu hingga beberapa generasi hendak membetulkannya semula terpaksa makan masa berpuluh atau beratus tahun lamanya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer