Mempertajam Hati Dan Akal


23/05/2006

Selain akal, satu lagi unsur yang cukup penting dalam diri manusia ialah hati atau jiwa . Manusia sememangnya pandai dalam usaha menajamkan akal melalui berbagai cara dan kaedah. Tetapi tidak ada orang yang memikirkan atau mempedulikan bagaimana hendak menajamkan hati. Padahal ketajaman hati adalah lebih hebat daripada kepandaian akal. Apabila seorang mukmin itu berusaha untuk mempertajamkan hati atau jiwanya iaitu dengan memperdalamkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan, membawa rasa-rasa itu kemana-mana, kemudian dia berfikir maka hasilnya dia akan menjadi orang yang cepat cerdik dan pandai. Hati dan akalnya sama-sama tajam.

Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW mendidik bangsa Arab yang tidak tahu menulis dan membaca, dengan menajamkan roh atau hati mereka sehingga hati para Sahabat begitu kenal dengan Tuhan yang Maha Agung. Hasilnya mereka mampu berhadapan dengan Rom dan Parsi yang di waktu itu menerajui tamadun lahiriah dan menguasai dunia. Sedangkan bangsa Rom dan Parsi mengasah akalnya semata-mata. Walaupun mereka boleh menjadi pandai dan membina tamadun, tetapi ia amat jauh bezanya dengan apa yang mampu dicapai oleh umat Islam.

Rasulullah mengasah jiwa sekaligus akal bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain yang mengikutnya, maka dalam masa yang singkat iaitu selama 23 tahun sahaja, umat Islam di waktu itu menjadi umat yang cepat pandai akalnya dan cerdik hatinya. Akhirnya dalam masa 30 tahun sahaja Umat Islam bukan sahaja telah berjaya menumpaskan Rom dan Parsi malah mampu menguasai 3/4 dunia.

Umat Islam sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah ini. Untuk mengejar tamadun Barat dan Timur, Amerika dan Jepun, akal dan jiwa mesti ditajamkan serentak. Maka dengan kaedah inilah umat Islam akan menjadi cerdik dan pandai dengan cepat. Hari ini Umat Islam bercita-cita untuk mengatasi ilmu-ilmu Barat, tapi hanya mampu untuk menajamkan akalnya semata-mata. Itu pun mengikut acuan Barat. Sedangkan jiwa dan hati umat Islam telah lama buta, tidak subur dan dibangunkan.

Akhirnya umat Islam bukan saja tidak mampu mengejar tamadun dan kemajuan yang dicapai oleh musuh, malah semakin jauh ketinggalan dan terus menerus ditindas dan dipermain-mainkan oleh mereka. Oleh itu bagaimana kita boleh mengalahkan mereka? Umat Islam mestilah menyedari hakikat ini. Kita perlu mengubah sikap. Jangan hanya menumpukan mempertajamkan akal semata-mata seperti yang dilakukan sekarang sedangkan kita tidak akan terkejar menandingi mereka yang jauh ke hadapan, malah ilmu yang kita pelajari itu pun sumbernya dari mereka juga.

Tetapi yang lebih utama menyediakan tapaknya dengan mempertajamkan jiwa terlebih dahulu. Di atas ketajaman jiwa itu barulah berfikir dan terus berfikir. Paduan daripada ketajaman jiwa dan akal itu akan membuahkan hasil yang luar biasa, iaitu Tuhan akan bukakan ilmu-ilmu yang hebat yang akan menakjubkannya dunia. Di waktu itulah Timur dan Barat akan tersungkur dengan kemajuan rohaniah dan matlamat yang dibawa oleh Islam hasil dari ketajaman akal dan roh tadi. Maka di waktu itu akan berulanglah kembali sejarah kegemilangan Islam sepertimana zaman Rasulullah SAW dan para Sahabat dahulu.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer