Memperjuangkan Kebenaran Dengan Tepat


20/12/2006

Islam tidak akan tegak kecuali melalui jihad atau perjuangan. Namun bukan mudah untuk memperjuangkan kebenaran. Sebelum melangkah ke gelanggang perjuangan terlebih dahulu mesti memiliki ilmu dan kefahaman tentang perjuangan. Betapa susahnya perjuangan menegakkan kebenaran itu kerana kebenaran itu amat mahal dan tinggi nilainya. Sedikit sahaja di kalangan umat Islam ini yang mampu perjuangkan kebenaran kerana untuk memiliki ilmu dan memahami segala liku dan selok-belok perjuangan itu sudah amat sukar, betapalah untuk menempuh perjuangan itu sendiri.

Kita sudah terlalu jauh dari kehidupan perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat. Tiada siapa yang berupaya mentafsirkan erti perjuangan itu secara tepat. Masing-masing ada berbagai fahaman dan tafsiran. Kalau dalam pentafsiran perjuangan itu sudah pelbagai, maka dalam perlaksanaan juga sudah pasti berbeza dan kadang-kadang bercanggah antara satu pihak dengan pihak lain atau satu puak dengan puak lain. Lebih parah lagi apabila masing-masing pihak mempertahankan bahawa takrif perjuangan pihak merekalah yang paling tepat lantas mempertikaikan pula pengertian dan cara pihak lain.

Akibatnya bukan saja Islam tidak tegak bahkan semakin runtuh kerana berlakunya krisis di kalangan pihak yang hendak memperjuangkan Islam itu. Sebab itu, tidak hairan di mana saja di dunia ini umat Islam terhina. Ini kerana tidak mendapat pembelaan Tuhan. Tuhan tidak bela dan tidak bantu para pejuang Islam kerana kaedah yang dibawa sudah tidak menepati kehendak Tuhan dan sudah jauh menyimpang dari cara yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat.

Kebenaran (Islam) itu datangnya dari Tuhan. Tuhan jugalah yang berhak untuk memenangkan agama-Nya. Sepanjang sejarah perjuangan kebenaran, di tangan para rasul, Tuhan angkat martabat kebenaran itu mengatasi yang lain. Tuhan yang mengilhamkan kepada para rasul bagaimana kebenaran itu mesti diperjuangkan. Di zaman tiada lagi rasul, Tuhan tetap agungkan agama-Nya di tangan para pemimpin berwatak rasul. Itulah dia para mujaddid yang diutus oleh Tuhan setiap 100 tahun dan dilahirkan di awal kurun. Kepada para mujaddid inilah Tuhan ilhamkan kaedah tajdid hingga Islam itu kembali gemilang. Kalau bukan di tangan mereka, Islam hanyalah ibarat bara saja. Tidak padam tetapi tidak menyala.

Para mujaddid atau para pemimpin berwatak rasul inilah yang paling faham tentang jihad dan paling tepat tafsiran dan kaedah perjuangan. Dan di tangan merekalah dijanjikan kemenangan.

Memperjuangkan kebenaran yang pertama dan utama ialah memperjuangkan Tuhan hingga Tuhan dikenali, diagungkan, dibesarkan, ditakuti, dicintai dan dirasai segala-galanya dalam hidup manusia . Apabila manusia mendapat Tuhan barulah syariat Tuhan serta yang lain-lain itu ada nilai di sisi Tuhan. Andainya Tuhan tidak diperjuangkan maka syariat Tuhan sama saja seperti ideologi. Ini kerana agama mesti ada hubungkait dengan Tuhan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer