Membina Keluarga Bahagia - Didik


21/11/2005

Petikan:
" Adalah menjadi satu kesilapan besar, setelah mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak-anak, baru ibu bapa hendak membetulkannya. Ibarat nasi sudah menjadi bubur. Sudah tersilap langkah, baru hendak dibaiki. Dari rasa takut dan cinta terhadap Tuhan yang diadun pula dengan syariat Tuhan, itulah modal untuk membangunkan sebuah keluarga. Dari situ pula menjadi modal terbangunnya sebuah masyarakat, seterusnya sebuah negara dan empayar di dunia"

Untuk menjadi seorang manusia yang baik, mustahil ia berlaku secara kebetulan. Walaupun Allah sudah membekalkan kepada manusia sifat-sifat fitrah semulajadi yang baik, tetapi bekalan itu tidak mencukupi untuk membenteng manusia dari berlaku baik kerana terlalu banyak cabaran serta godaan dunia yang mendatang. Ditakuti bila dicabar, bekalan yang dibekalkan oleh Tuhan kepada manusia akan habis. Sebab itulah manusia tidak boleh hanya mengharapkan bekalan yang Allah kurniakan sahaja.

Di samping bekalan yang ada manusia juga boleh menjadi baik hasil dari didikan. Kalau begitu, untuk mendidik anak-anak serta keluarga, maka suami atau pemimpin di dalam rumahtangga mestilah memainkan tugasnya sebagai pemimpin untuk mendidik anak-anak serta isterinya. Jarang kita mendengar sesebuah keluarga berjaya secara kebetulan tetapi ia mesti bermula dari didikan yang berterusan.

Adalah menjadi satu kesilapan besar, setelah mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak-anak, baru ibu bapa hendak membetulkannya. Ibarat nasi sudah menjadi bubur. Sudah tersilap langkah, baru hendak dibaiki. Itu satu kesilapan besar. Di dalam Islam untuk membentuk sebuah keluarga yang baik, bukan difikirkan setelah pasangan anak teruna dara itu berumahtangga. Tetapi ia difikirkan sejak anak teruna dan dara itu masih bayi lagi. Silaplah kalau ada yang berfikir, bila dah menimang anak baru nak fikir tentang pendidikan anak-anak. Itu sudah terlambat. Mengapa? Kerana sumber didikan, sumber kasih sayang, sumber anak-anak boleh taat dan hormat kepada ibu bapa adalah berpunca dari sumber kerana rasa takut dan cinta kepada Tuhan. Sebab itu sejak kecil lagi mesti ditanam rasa takut dan cinta kepada Tuhan agar anak-anak nanti menjadi anak yang bertanggung jawab, amanah, jujur, berkasih sayang, pemurah, pemaaf, suka bertolak ansur, tolong menolong dan sebagainya.

Dari rasa `takut` dan `cinta` terhadap Tuhan yang diadun pula dengan syariat Tuhan, itulah modal untuk membangunkan sebuah keluarga. Dari situ pula menjadi modal terbangunnya sebuah masyarakat, seterusnya sebuah negara dan empayar di dunia. Kalau perkara yang asas itu tidak disiapkan sejak ia masih bayi lagi, tiba-tiba bila sudah ada keluarga baru nak bertanggungjawab, bukan sahaja anak-anak dan isterinya sendiri yang menjadi cabaran. Itu merupakan cabaran yang kedua. Tetapi cabaran yang pertama dan utama ialah dirinya sendiri. Disebabkan tidak ada rasa takut dan cintakan Tuhan di dalam diri, dia sendiri gagal menjadi pemimpin, ayah atau suami yang baik di dalam keluarga tersebut.

Mustahil seseorang boleh mencurahkan kasih sayang dan memberi kebahagiaan kepada orang lain sedangkan dirinya sendiri pun tidak merasa bahagia. Mana mungkin seorang ayah nak memberi kebahagiaan kepada anak-anak dan isterinya sedangkan dia sendiri pun tidak bahagia.
Mana mungkin seorang pemimpin dapat memberi kebahagiaan kepada rakyatnya jika dirinya sendiri pun tidak merasa bahagia.

Sebab itu, kalau anak-anak yang menjadi masalah, bukan mereka yang harus dipersalahkan tapi kedua ibu bapa merekalah yang bersalah . Kalau ada pasangan teruna dara yang nak berkahwin, satu kesilapan yang besar jika mereka hanya memikirkan perkahwinan hanya untuk menyelesaikan tuntutan fitrah (tuntutan biologi) sahaja. Hampir 99.9 % yang hendak berkahwin hanya untuk memuaskan tuntutan nafsu sahaja. Kasih sayang antara suami isteri yang lahir hasil dari tuntutan fitrah sahaja, ia akan luntur. Bila sakit, kurang menawan, kurang bertenaga dan sebagainya, maka akan lunturlah kasih sayang antara mereka. Si suami atau isteri akan mencari pasangan yang lain untuk menyempurnakan tuntutan fitrah mereka pula.

Kalau begitu, setiap pasangan suami isteri yang berkahwin mesti difahamkan tujuan dan matlamat mereka berkahwin. "Berkahwin bukan semata-mata melepaskan tuntutan fitrah sahaja tetapi ada cita-cita untuk perjuangan Islam." Bila ada cita-cita ini, barulah kedua pasangan suami isteri akan bertanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak sejak kecil sepertimana yang digariskan oleh syariat Islam. Nanti akan terbangunlah daulah Islamiah di dalam sebuah rumahtangga. Bila ada daulah Islamiah di dalam rumahtangga akan lahirlah keharmonian di dalam rumahtangga tersebut. Gabungan rumahtangga yang harmoni inilah akan membentuk sebuah masyarakat Islam yang harmoni. Seterusnya gabungan masyarakat yang harmoni ini pula akan terbangun sebuah daulah Islamiah.

Barulah kita sedar sekarang sebenarnya masalah yang dibuat oleh anak-anak bukan berpunca dari diri mereka tetapi berpunca dari masalah kedua ibu bapa mereka yang tidak dididik secara Islam. Persiapan perlu dibuat dari awal lagi agar hasilnya benar-benar memberi hasil yang lumayan. Umpama seorang petani yang hendak menanam padi. Tanpa disemai, dikawal, dijaga benih tersebut, mana mungkin boleh memberi hasil padi yang banyak. Ditakuti padi tak berisi (sambang). Atau kerana tak jaga, padi dimakan burung. Justeru itu pendidikan anak-anak harus difikirkan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menanamkan rasa takut dan cinta kepada Tuhan sejak mereka kecil lagi.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer