Membaiki Hati


05/02/2006

Membenteras Manusia Dari Kejahatan.
(Gejala Black Metal)
Pada diri manusia, hati adalah raja yang memerintah atau mengarah atau menggerakkan seluruh anggota manusia.Hatilah yang membuat atau bertindak. Akhlak, perangai, tabiat, tingkahlaku, tindak-tanduk,perlakuan, perbuatan,gerak-geri dan sikap manusia ditentukanoleh hati. Hati yang membuat keputusan sama ada mahu atau menolak. Hati yang memilih sama ada kebaikan atau kejahatan, positif atau negatif, rajin atau malas.

Gambaran lahiriah manusia itil adalah pantulan, natijah atau manifestasi dari hati manusia itu sendiri. Malah hati sangat berperanan membentuk atau mencorak ragam, gelagat, budaya dan tamadun sesuatu puak, golongan atau bangsa. Hati yang merupakan sebagai raja dalam diri itu pula, tempat rebutan antara nafsu dan iman . Apabila nafsu atau sifat-sifat mazmumah subur di dalam hati atau berjaya menguasai hati, maka kejahatanlah yang melanda kehidupan manusia. Subur dan berkembanglah segala macam budaya jahat dan mungkar. Tidak kira apa jenis kejahatan dan kemungkaran, semuanya adalah cetusan dari hati manusia yang sudah bersarang dengan nafsu serakah.

Sebaliknya apabila hati manusia itu berisi iman dan tagwa, adanya rasa kehambaan dan rasa bertuhan yang mendalam, maka syariat Tuhanlah yang berkembang. Kebaikan, selamat, sejahtera dan harmonilah kehidupan manusia. Akhlak mulialah yang terserlah, kasih sayanglah yang merata di kalangan manusia.

Inilah satu aspek yang sangat perlu difahami oleh semua umat Islam. Kerana inilah hakikat manusia. Kalau ini tidak difahami, biar beribu atau berjuta penyelidikan, kajian dan rumusan yang dibuat dan dihasilkan, bukan saja tidak menyelesaikan masalah bahkan merugikan masa, tenaga dan wang ringgit.

Cuba kita imbas kembali melihat peristiwa pembunuhan pertama di dunia iaitu Qabil membunuh Habil. Kedua-duanya adalah adik-beradik dan sama-sama anak kepada Nabi Adam a.s. dan Hawa a.ha. Pada waktu itu tidak ada manusia lain di dunia ini kecuali anak-beranak Nabi Adam a.s. itu saja. Sudah tentulah pada waktu itu tidak ada sama sekali sebarang pengaruh luar, sama ada dari saluran sosial, budaya, media, teknologi dan lain-lain.

Tidak ada siapa yang menjadi contoh, mengajar, mendidik, mengasuh, menyuruh, menghasut atau mempengaruhi Qabil untuk membunuh Habil. Hatta pada diri Qabil itu sendiri bukan tangan, kaki, mulut, hidung, telinga, mata, perut, leher, kuku, roma, misai, gigi, lidah dan lain yang mendorong Qabil membunuh Habil. Tidak lain dan tidak bukan adalah digerakkan oleh hati Qabil sendiri. Hati yang sudah digoda nafsu hasad dengki, iri hati,sombong, tamak, bakhil, ego, pemarah dan lain-lain sifat mazmumah.

Mari kita imbas pula mengapa rasul-rasul diutus kepada manusia. Para rasul diutus oleh Tuhan kepada manusia adalah sebagai penyelamat. Keselamatan yang dimaksudkan ialah agar manusia sejahtera, aman damai dunia Akhirat. Selamat manusia dari sebarang kejahatan dan kemungkaran dan mengikut syariat Tuhan. Manusia tidak akan mengikut syariat Tuhan kecuali hati manusia merasa kehambaan dan merasai bertuhan.

Ertinya para rasul diutus dan mereka berjuang mengenalkan manusia kepada Tuhan sekaligus merasai bertuhan. Apabila ini semua dimiliki oleh manusia maka tunduklah nafsu dan musnah segala sifat-sifat mazmumah dari hati manusia . Biar apa pun jenis godaan yang mendatang, hati manusia yang takut kepada Tuhan itu sendiri secara automatik akan menolaknya. Bilamana rasa kehambaan dan rasa bertuhan tiada di hati manusia atau rasa takut kepada Tuhan sudah tiada, tanpa ada sebarang pengaruh, godaan, pujuk rayu, maka manusia itu sendiri akan berbuat kejahatan sebagaimana peristiwa Qabil membunuh Habil.

Biar apa pun kejahatan manusia, biar apa pun namanya kemungkaran manusia, biar apa pun jenisnya kerosakan manusia termasuk black metal, kalau kita sanggup mengakui dan menerima kebenaran, sanggup mengakui dan menerima kesalahan, maka yang paling bersalah ialah kita sendirilah, yang selama ini sangat membelakangkan Tuhan, sangat mengabaikan Tuhan, sangat meminggirkan Tuhan, sangat tidak mempedulikan Tuhan. Tuhan yang setiap detik tidak pernah memutuskan rahmat dan nikmat-Nya, tetapi kita manusia sebaliknya setiap detik melupai Tuhan bahkan menderhakai-Nya. Maka setiap detik pula hati kita dikuasai oleh nafsu dan mazmumah . Black metal itu hanya salah satu dari ribuan simptom kepada kejahatan hati manusia .

Hati yang sudah tidak memiliki Tuhan inilah yang diistilahkan sebagai `mind-set`. Ertinya kalau hati itu sudah disetkan oleh nafsu, hari ini yang dicetuskannya ialah balck metal, yang itu juga merupakan kesinambungan kepada entah apa-apa jenis kejahatan yang telah berlaku. Dan entah apa-apa pula jenis kejahatan yang bakal menjelma. Mind-set` ini tak perlu ada siapa yang mengajarnya. Ianya akan pandai sendiri atau berupaya mencetuskan berbagai jenis kejahatan baru yang belum wujud sebelum ini.

Kalau hari ini kita terkejut dengan black metal yang kita tidak pernah terlintas sepuluh tahun dulu, kita juga akan terkejut pada sepuluh tahun akan datang, munculnya satu jenis kejahatan yang kita tidak terfikir hari ini. Apakah pada waktu itu kita hendak buat kajian dan penyelidikan pula, dan merumuskan satu idea baru untuk menanganinya. Kita akan ketinggalan. Kita menjadi sama senasib dengan masyarakat Barat yang tidak perlukan Tuhan itu.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer