Matlamat Pelajaran & Pendidikan Islam Yg Sebenar- 2


03/03/2006


Ini kerana sekular bermaksud sesuatu yang bermatlamatkan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan dengan Akhirat. Oleh itu, sesuatu mesti dilakukan supaya sistem sekolah kita dapat disusun untuk menjadikannya satu sistem yang menjurus kepada Akhirat, dan kepada keredhaan Tuhan dan tidak hanya untuk mencetuskan kemajuan dan pembangunan duniawi.

Dalam erti kata yang lain, sistem persekolahan kita mesti mampu membina suatu tamadun rohani yang akan membawa kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Tujuan utama pelajaran dan pendidikan dalam Islam bukan semata-mata hendak menguasai berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan tetapi adalah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Iaitu insan yang menjadikan Allah cinta agungnya, Akhirat matlamat hidupnya, yang melihat dunia ini semata-mata sebagai tempat bercucuk tanam yang hasilnya diperolehi di Akhirat, agar terselamat dari Neraka dan berjaya memasuki Syurga.

Juga untuk melahirkan insan yang rela berjuang dan berkorban dalam menyampaikan pelajaran serta membangunkan syakhsiah manusia di tengah masyarakat agar ahli-ahli masyarakat juga menjadi insan-insan yang bertaqwa.

Dalam erti kata yang lain, untuk melahirkan insan yang mampu mengajak dan menyeru manusia kepada kebajikan dan kebaikan serta untuk menegah dan menghindar mereka dari kejahatan dan kemungkaran (amru bil makruf wanahyun anil mungkar).

Dalam Islam, sekolah bukan semata-mata untuk melahirkan ahli ilmu yang bertauliah dengan tujuan untuk makan gaji, untuk sara hidup atau untuk kemegahan dan nama di dunia, tetapi adalah untuk melahirkan orang-orang yang bekerja untuk Tuhan. Iaitu orang-orang yang bertanggung jawab menyampaikan ajaran Allah Taala dan memperkenalkan manusia kepada Allah. Agar agama Allah diterima oleh manusia dan dapat mengatasi seluruh agama lain di atas muka bumi ini.Agar manusia seluruhnya menyembah Allah yang mencipta mereka dan bukan tuhan-tuhan palsu yang lain.

Ini semua adalah untuk menentukan agar seluruh kehidupan berjalan dengan penuh disiplin, bertolong bantu, bekerjasama dan mengikut syariat Allah supaya akan wujud harmoni dan kasih sayang antara manusia.

Begitulah besarnya matlamat dan erti pelajaran dan pendidikan kepada manusia. Ia merupakan roh dan nadi kepada seluruh kehidupan . Kalau sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu hanya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, dapat melahirkan ahli-ahli ilmu di berbagai bidang dan dapat melahirkan cendikiawan-cendikiawan yang terbilang dan tidak lebih dari itu, maka ia dianggap telah gagal. Kerana ia telah melahirkan manusia yang tidak kenal penciptanya yang membelakangkan syariat-Nya, yang mengutamakan hidup di dunia melebihi hidup di Akhirat, yang sombong, yang mementingkan diri dan yang gilakan nama dan glamour.

Dengan adanya manusia-manusia seperti ini maka akan lahirlah budaya jatuh-menjatuh, fitnah-memfitnah, singgung-menyinggung, umpat-mengumpat dan kata-mengata. Akan timbul huru-hara dalam kehidupan dan manusia akan hilang keamanan dan keselamatan.

Matlamat pelajaran dan pendidikan ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi ianya dicipta oleh Tuhan . Dan tidaklah manusia itu dicipta oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya . Sekiranya sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan dirinya pada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia, maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah barang tentu Nerakalah tempat kembali yang selayaknya, wanauzubillah.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer